
KUALA LUMPUR, 1 Mei 2026 – Penglibatan wanita dalam politik negara tidak harus terus bergantung kepada pendekatan sukarela parti politik semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan struktur yang lebih jelas melalui dasar, perlembagaan parti dan sistem pilihan raya.
Pengarah Projek Voices of Her, Wan Mohalina Mohammad berkata, Malaysia tidak kekurangan pemimpin wanita yang berkaliber, namun ruang yang diberikan kepada wanita untuk terlibat secara seimbang dalam politik masih belum mencapai tahap yang sewajarnya.
Menurut beliau, walaupun sasaran 30 peratus penyertaan wanita sering disebut oleh parti politik, pelaksanaannya masih tidak konsisten kerana ia lebih bersifat pilihan dan bergantung kepada kesediaan parti masing-masing.
“Yang jelas pada hari ini, kita tidak kurang dari segi pemimpin wanita yang berkaliber. Tetapi yang penting sekarang ini, kita tidak diberi ruang yang seadilnya untuk terlibat dalam politik ini secara seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran forum Voices of Her 2026 yang membawa tagline “Voice of Power”, dengan tajuk perbincangan “Wanita dan Politik: Kepimpinan, Representasi dan Realitinya.”
Wan Mohalina berkata, isu representasi wanita dalam politik bukan perkara baharu dan telah lama dibincangkan, namun perubahan yang berlaku masih terlalu kecil berbanding keperluan sebenar negara.
Katanya, selagi parti politik hanya bergantung kepada pendekatan sukarela dalam menentukan jumlah calon wanita, sasaran 30 peratus sukar dicapai secara menyeluruh.
“Walaupun pada dasarnya ada yang mengatakan akan meletakkan 30 peratus calon wanita, akhirnya mungkin perkara itu tidak kesampaian,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan tanpa perubahan dasar yang mengikat, penglibatan wanita dalam politik negara berisiko kekal pada tahap sama untuk tempoh panjang.
Menurutnya, perkara paling membimbangkan ialah negara mungkin masih bercakap tentang angka rendah penyertaan wanita dalam politik walaupun selepas satu dekad akan datang.
“Kalau kita tidak ada perubahan dari segi perlembagaan sistem pilihan raya ataupun dalam institusi politik itu sendiri, kita akan lihat penglibatan wanita dalam politik ini kekal pada tahap yang sama. Mungkin satu dekad lagi, kita masih lagi bercakap tentang 13.5 peratus,” katanya.
Wan Mohalina turut menolak dakwaan bahawa negara ketandusan calon wanita atau masyarakat belum bersedia menerima pemimpin wanita.
Jelas beliau, berdasarkan pengalaman pilihan raya, calon wanita yang diketengahkan mempunyai kadar kemenangan yang tinggi, sekali gus membuktikan bahawa isu sebenar bukan soal kebolehan atau penerimaan, tetapi soal peluang dan ruang yang diberikan.
“Ketandusan calon dan penerimaan itu saya rasa tidak menjadi masalah. Sekarang yang menjadi masalah ialah pendekatan sukarela yang kita letak pada institusi-institusi parti politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar setiap parti politik menetapkan keperluan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita secara rasmi dalam perlembagaan parti masing-masing.
Katanya, langkah tersebut bukan sahaja perlu dibincangkan dalam konteks satu parti tertentu, malah wajar dilaksanakan oleh semua parti politik di negara ini.
Beliau turut memberi contoh pencapaian sektor korporat yang berjaya meningkatkan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah apabila sasaran 30 peratus dijadikan penanda aras dan KPI yang perlu dilaksanakan.
“Kalau dari segi korporat, apabila kita tetapkan KPI lembaga pengarah perlu 30 peratus, maka itu tercapai kerana semua orang telah menetapkannya sebagai benchmark dan perlu dilaksanakan. Jadi kita perlu buat perkara yang sama dalam politik,” katanya.
Wan Mohalina berkata, perubahan tersebut perlu dimulakan dengan keberanian politik untuk menjadikan sasaran 30 peratus sebagai komitmen rasmi, bukan sekadar janji atau slogan setiap kali menjelang pilihan raya.
Tambah beliau, apabila dasar itu dimasukkan dalam perlembagaan parti dan dijadikan satu keperluan, peluang wanita untuk tampil sebagai calon serta pemimpin akan menjadi lebih adil dan seimbang.
Katanya, agenda pemerkasaan wanita dalam politik bukan hanya soal jumlah kerusi atau calon, tetapi berkait rapat dengan kualiti demokrasi, keadilan representasi dan keberkesanan kepimpinan negara.
#BeritaAAC #VoicesOfHer2026 #WanitaDalamPolitik #30PeratusWanita #VoiceOfPower