
KUALA LUMPUR, 10 Mei 2026 – Aktivis masyarakat dan pejuang veteran, Ayahanda Rani Kulup Abdullah menegaskan beliau tidak bermusuh dengan mana-mana parti politik, sebaliknya membawa pendekatan mesra semua pihak demi mengelakkan rakyat di peringkat akar umbi menjadi mangsa perbalahan politik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan wartawan berhubung tanggapan sesetengah pihak yang melihat dirinya seolah-olah berubah-ubah sokongan politik, termasuk dikaitkan dengan UMNO, PKR, BERSATU, PAS dan PUTRA.
Menurut Rani Kulup, semua parti politik yang sah di sisi undang-undang, peraturan dan Perlembagaan Persekutuan wajar dihormati selagi tidak membawa ancaman kepada keselamatan negara.
“Kita tidak bermusuh. Sebenarnya ayah menerapkan nilai-nilai tidak bermusuh antara parti-parti politik. Parti politik yang ada dalam negara kita ini semuanya sah dari segi undang-undang dan perlembagaan negara,” katanya.
Beliau menjelaskan, penampilannya yang dilihat mesra pelbagai parti bukan bermaksud beliau terikat dengan satu parti tertentu, sebaliknya mahu menunjukkan contoh bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya membawa kepada permusuhan.
Rani Kulup turut menegaskan, perbalahan politik kebiasaannya berlaku di peringkat atasan, namun kesannya sering ditanggung oleh rakyat biasa di bawah.
“Jangan bergaduh. Orang atas sebenarnya yang suka bergaduh-gaduh ini. Orang bawah jadi mangsa. Jadi ayah terapkan nilai-nilai persefahaman dalam parti-parti politik,” katanya.
Dalam nada bersahaja, beliau mengumpamakan parti politik seperti karipap yang perlu dijaga resipinya supaya kekal sedap dan diterima rakyat.
Katanya, ada parti yang pernah kuat dan dominan suatu ketika dahulu, namun kini perlu berehat, menyusun semula strategi serta menilai kelemahan yang menyebabkan sokongan rakyat berkurangan.
“Kalau tak sedap, mesti ada sebab. Mungkin kurang gula, kurang garam atau kurang rempah. Maksud ayah, parti kena buat sedap semula. Apa yang kamu janji, kamu kena buat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan situasi politik hari ini menuntut semua parti kembali menilai janji dan tanggungjawab masing-masing kepada rakyat, bukan sekadar berpolitik untuk kepentingan kuasa.
Rani Kulup menegaskan, perjuangan sebenar beliau bukan tertumpu kepada mana-mana parti politik, sebaliknya memperjuangkan nasib veteran, khususnya berkaitan pelarasan pencen dan hak-hak kebajikan golongan berkenaan.
“Ayah berjuang bukan untuk parti. Ayah ialah veteran. Sebut Rani Kulup, orang tahu veteran, perjuangan pelarasan pencen dan hak-hak veteran yang ayah perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, fokus utama perjuangannya kekal kepada kepentingan rakyat dan veteran, sambil menyeru semua pihak menghentikan budaya bermusuh hanya kerana perbezaan fahaman politik.
#BeritaAAC #RaniKulup #PolitikMalaysia #HakVeteran #JanganBermusuh