
KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026 – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti keramat yang telah melalui pelbagai fasa perjuangan sepanjang lapan dekad penubuhannya, bermula daripada penentangan terhadap Malayan Union, perjuangan menuntut kemerdekaan, mengisi kemerdekaan sehinggalah berdepan cabaran politik semasa.
Menurut beliau, sejarah panjang UMNO membuktikan parti itu bukan sekadar bergerak atas nama politik, sebaliknya memainkan peranan besar dalam membangkitkan orang Melayu, memperjuangkan kemerdekaan negara serta merangka dasar-dasar penting selepas negara mencapai kemerdekaan.
“UMNO ini kalau orang kata parti keramat pun, memanglah parti keramat kerana kita telah memasuki lapan dekad. Kita bermula melalui beberapa fasa, bagaimana UMNO bangkit, Melayu bangkit menentang Malayan Union, kemudian menuntut kemerdekaan,” katanya.
Rosni berkata, selepas kemerdekaan dicapai, UMNO terus memainkan peranan dalam merancang pengisian kemerdekaan negara termasuk melalui pelaksanaan dasar-dasar besar seperti Dasar Ekonomi Baru yang memberi impak kepada pembangunan rakyat dan negara.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan UMNO turut melalui fasa mencabar ketika berada di zaman kegemilangan apabila timbul isu berkaitan integriti dan kredibiliti yang perlu ditangani secara serius oleh parti.
Katanya, cabaran tersebut turut menyumbang kepada defisit sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional sehingga menyebabkan parti itu kehilangan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
“UMNO menghadapi krisis defisit sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Sokongan itu menurun dan akhirnya UMNO kalah dalam pilihan raya serta hilang kerajaan pada PRU-14,” katanya.
Menurut Rosni, pengalaman menjadi pembangkang selepas kehilangan kerajaan merupakan satu fasa penting yang perlu dijadikan pengajaran, khususnya dalam menilai semula kekuatan, kelemahan dan hala tuju parti.
Beliau berkata, meskipun UMNO kini tidak mempunyai majoriti kerusi, parti itu masih berpeluang berada dalam kerajaan melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membuktikan kematangan UMNO dalam menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu negara.
“UMNO ini sebuah parti yang sangat matang. Sekarang ini pada saya adalah proses kita bermuhasabah diri, mengenang kembali apa yang telah kita lakukan dan pada masa sama bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Rosni turut mengambil contoh situasi politik di beberapa negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan yang memperlihatkan cabaran pembentukan kerajaan selepas pilihan raya, namun akhirnya dapat diselesaikan melalui kebijaksanaan institusi diraja dan pembentukan kerajaan gabungan.
Katanya, pengalaman tersebut membuktikan UMNO telah melalui pelbagai episod penting dalam sejarah politik negara dan perlu terus menjadikan setiap fasa sebagai pedoman untuk memperkukuh perjuangan.
Dalam masa sama, Rosni menegaskan nostalgia perjuangan lalu tidak mencukupi sekiranya UMNO mahu terus relevan, sebaliknya parti itu perlu memahami kehendak rakyat pada hari ini.
“Hari ini, kenangan lalu itu adalah nostalgia. Tetapi untuk bergerak ke hadapan, UMNO kena sama-sama fikirkan apa yang rakyat kehendaki dan apa yang rakyat mahu,” katanya.
Beliau berkata, selagi UMNO mengambil kira pandangan rakyat daripada semua golongan, parti itu mempunyai ruang dan peluang untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang diyakini rakyat.
“Kalau UMNO terus mengambil kira pandangan rakyat dan semua golongan, insya-Allah UMNO akan bangkit kembali,” katanya.
#BeritaAAC #UMNO80Tahun #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #UMNOBangkitSemula