
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan berpandangan pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang wajar diadakan secara serentak bagi mengelakkan pembaziran masa, kos serta tenaga rakyat dan jentera parti.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai jangkaan sama ada pilihan raya akan berlaku pada tahun ini, tahun hadapan atau dalam tempoh terdekat.
Menurut Dr Azam, dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis geopolitik di Timur Tengah dan tekanan kos sara hidup, adalah tidak wajar sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan.
“Apa pasal nak dua kali kerja, dua kali poster? Buat serentak,” katanya.
Dr Azam turut menjangkakan suasana politik negara akan menjadi lebih jelas selepas musim haji, termasuk kemungkinan pembubaran beberapa Dewan Undangan Negeri.
Beliau menyebut beberapa negeri yang berpotensi menjadi perhatian politik, antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta kemungkinan Sarawak, selain turut mengaitkannya dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum.
Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat sebagai pandangan politik beliau, memandangkan sebarang pembubaran Dewan Undangan Negeri atau Parlimen tertakluk kepada proses perundangan serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Untuk rekod, laporan media sebelum ini turut menyebut wujud perbincangan politik mengenai cadangan menyelaraskan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri bagi menjimatkan kos serta melancarkan persiapan parti. Suruhanjaya Pilihan Raya juga sebelum ini pernah menafikan dakwaan tular berhubung tarikh tertentu PRU16.
Dalam perkembangan sama, Dr Azam menyatakan keyakinan bahawa UMNO dan Barisan Nasional masih mempunyai peluang cerah di Negeri Sembilan, sambil mendakwa pengundi Cina juga akan menolak DAP.
“Saya yakin rakyat akan bersama UMNO dan Barisan Nasional. Orang Cina akan menolak DAP,” katanya.
Beliau turut menyentuh situasi politik di Johor dan Melaka, dengan menyatakan Johor tidak perlu dibimbangi kerana kepimpinan negeri itu dilihat masih berada dalam keadaan baik.
Katanya, Melaka pula sedikit membimbangkan, namun beliau mengakui perkara tersebut sensitif untuk diperkatakan secara terbuka dalam kalangan pemimpin UMNO.
Dr Azam dalam masa sama menyeru agar rakyat bersabar menunggu perkembangan politik semasa, sambil membayangkan tempoh dua bulan akan datang mungkin menjadi fasa penting dalam landskap politik negara.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #PRU16 #PRN #UMNOBN