
KUALA LUMPUR, 25 Mei 2026 – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali membantah keras cadangan supaya syarat pegangan ekuiti Bumiputera dalam pembelian tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.
Beliau mendakwa cadangan itu, jika dilaksanakan, akan memberi kesan besar terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera, khususnya dalam pemilikan aset strategik dan tanah bernilai tinggi di kawasan bandar.
Menurut Ibrahim, dasar sedia ada yang membenarkan pembelian tanah GLC dan GLIC oleh syarikat dengan pegangan 50 peratus Bumiputera dan 50 peratus bukan Bumiputera juga sudah menimbulkan kebimbangan kerana tidak menjamin penguasaan sebenar Bumiputera dalam syarikat berkenaan.
Katanya, jika syarat itu dikurangkan kepada 30 peratus Bumiputera, kedudukan Bumiputera hanya akan menjadi pemegang saham minoriti tanpa kuasa kawalan dalam syarikat.
“Dalam undang-undang syarikat, pihak yang memiliki 51 peratus saham mempunyai kuasa mengawal syarikat. Kalau Bumiputera hanya 30 peratus, mereka hanya menjadi rakan kongsi minoriti,” katanya dalam satu kenyataan video.
Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan bahawa tanah-tanah strategik milik GLC dan GLIC yang dibangunkan oleh syarikat majoriti bukan Bumiputera berisiko menghasilkan projek hartanah mewah seperti kondominium, apartmen high-end dan rumah kedai yang tidak mampu dimiliki majoriti orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau memberi contoh beberapa kawasan bandar yang menurutnya dahulu mempunyai penempatan Melayu dan Bumiputera, namun kini berubah wajah menjadi kawasan pembangunan komersial dan hartanah bernilai tinggi.
Sehubungan itu, Ibrahim berkata PUTRA menuntut kerajaan memperkenalkan dasar lebih tegas dengan menetapkan sekurang-kurangnya 70 peratus pegangan Bumiputera bagi mana-mana syarikat yang mahu membeli tanah milik GLC dan GLIC.
Katanya, syarat tersebut penting bagi memastikan tanah bernilai tinggi tidak terlepas daripada kawalan Bumiputera serta pembangunan di atas tanah berkenaan turut mengambil kira kepentingan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya menuntut tanah milik GLC dan GLIC, jika hendak dijual, mestilah kepada syarikat yang mempunyai 70 peratus kepentingan Bumiputera dan 30 peratus bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya setiap pembelian tanah strategik tersebut dikenakan syarat ketat, termasuk larangan menjual semula tanah secara sewenang-wenangnya serta kewajipan menyediakan rumah dan premis perniagaan yang mampu dimiliki orang Melayu dan Bumiputera.
Dalam masa sama, Ibrahim menggesa pemimpin Melayu daripada parti-parti besar supaya tidak berdiam diri terhadap isu yang disifatkannya menyentuh masa depan pemilikan ekonomi, tanah dan aset Bumiputera.
Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan kedudukan hak istimewa Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, selain menegaskan kepentingan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, orang Melayu perlu lebih peka terhadap isu-isu dasar yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada kedudukan mereka dalam negara.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Kita mahu lihat sama ada kerajaan akan tunduk kepada tekanan ini atau mempertahankan kepentingan Bumiputera,” katanya.
Ibrahim menegaskan, tuntutan PUTRA bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak, sebaliknya memastikan pembangunan tanah strategik negara tidak menyebabkan Bumiputera terus tercicir daripada pemilikan aset utama di negara sendiri.
#BeritaAAC #IbrahimAli #HakBumiputera #TanahGLC