
KUALA LUMPUR, 3 Jun 2026 – Bayangkan dilahirkan di tanah air sendiri, fasih berbahasa kebangsaan, dan menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5, namun masa depan anda ‘mati’ sekelip mata kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Itu adalah realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh Hari, seorang belia berusia 22 tahun yang kini buntu dan hilang arah selepas empat kali permohonan kewarganegaraannya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ditolak tanpa sebarang alasan munasabah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang mengetuai Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil membela nasib belia tersebut dalam satu sidang media khas hari ini. Beliau meluahkan rasa kesal yang mendalam terhadap kepincangan birokrasi yang seolah-olah menganiaya masa depan anak watan.
4 Kali Rayuan Ditolak Tanpa Alasan
Menurut Dr. Kalaivanar, Hari dilahirkan pada 3 November 2004 di hospital tempatan dan memiliki sijil kelahiran sah yang dikeluarkan pada Mei 2005. Malah, sistem JPN sendiri telah mendaftarkan nombor pengenalan diri (041103-10-2765) untuknya sewaktu bayi, namun sehingga kini fizikal kad pengenalan (MyKad) tersebut gagal diserahkan.
”Setiap kali semakan dibuat secara dalam talian, keputusan yang keluar adalah batal atau tolak. Yang paling dikesalkan, tidak ada satu pun dokumen atau surat rasmi daripada KDN yang menjelaskan kenapa permohonan itu ditolak. Dia bukan lahir di luar negara, dia lahir di sini!” tegas Dr. Kalaivanar dengan nada kesal.
Lebih memilukan, Hari sengaja meminta kedua-dua ibu bapanya, Sandra (bapa) dan Anthony Liman (ibu) untuk tidak hadir ke sidang media tersebut bagi mengelakkan mereka terus menangis menanggung duka. Ditambah pula, bapanya kini sudah berusia 68 tahun dan sedang uzur akibat penyakit jantung.
Diskriminasi Di Sektor Pendidikan Dan Pekerjaan
Menceritakan penderitaannya, Hari mendedahkan bahawa dia terpaksa menanggung diskriminasi sejak zaman persekolahan di SK Taman Nirwana dan SMK Pandan Jaya.
”Setiap tahun pada hari pertama persekolahan, saya tak boleh masuk kelas. Saya kena pergi bayar levi RM240 terlebih dahulu baru dibenarkan sekolah pada hari kedua. Buku teks pun tidak diberikan, mak ayah terpaksa beli sendiri,” kata Hari.
Kini pada usia 22 tahun, Hari mendakwa kehidupannya seolah-olah disekat sepenuhnya. Dia tidak boleh menyambung pengajian tinggi, tidak boleh membuka akaun bank, malah tidak boleh bekerja secara sah kerana tidak mempunyai MyKad atau sistem imbasan cap jari yang berdaftar.
“Tepuk Dada Tanya Selera” – JPN, Ahli Parlimen Digesa Bertindak
Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan fungsi Ahli Parlimen kawasan dan menteri yang bertanggungjawab. Beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk turun padang dan meneliti semula fail kes Hari demi prinsip kemanusiaan.
”Sistem Parlimen baru-baru ini meluluskan kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara atas dasar kemanusiaan. Kita puji usaha itu. Tetapi bagaimana pula dengan anak yang lahir di dalam negara, taat setia pada Raja dan Negara, tahu nama Perdana Menteri, tapi dibiarkan merana?”
Beliau turut menempelak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran, mengenai janji-janji politik sebelum ini untuk menyelesaikan isu dokumentasi masyarakat India dalam tempoh 100 hari.
Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menegaskan mereka akan memfailkan dan menyerahkan semula kesemua dokumen Hari kepada JPN dan KDN dalam masa terdekat, serta mendesak agar Hari diberikan sekurang-kurangnya kad pengenalan pemastautin sementara atau tetap terlebih dahulu sementara siasatan lanjut dijalankan.
#KeadilanUntukHari #IsuKewarganegaraan #JPNOfficial #SaifuddinNasution #SuaraMarhaen