
KUALA LUMPUR , 13 Julai 2026– Nasib 40 orang pelajar autism dan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Pandamaran kini terumbang-ambing susulan keputusan mengejut Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut pada 2 Julai 2026 yang lalu.
Pertubuhan yang telah beroperasi sejak tahun 2019 itu berfungsi sebagai pusat pendidikan khas yang menyediakan latihan serta modul pembelajaran teliti oleh barisan lapan orang guru pakar buat golongan berkeperluan khas ini dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 pagi setiap hari.
Tindakan pembatalan yang dibuat dalam tempoh singkat sekitar tiga bulan itu mengundang persoalan daripada pihak jawatankuasa baharu. Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, selaku jurucakap Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil mempersoalkan keputusan tergesa-gesa pihak ROS Selangor.
”Kami tidak faham kenapa pertubuhan ini tiba-tiba ditutup dalam masa tiga bulan. ROS sebelum ini telah menasihatkan agar diadakan penyatuan antara ahli jawatankuasa lama dan baharu, selain meminta minit mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi tahun 2021 hingga 2023. Namun, jawatankuasa baharu hanya mengambil alih pada 8 September 2024, jadi rekod-rekod lama berada di tangan jawatankuasa lama,” jelas beliau dalam satu sidang media hari ini.
Tambah Dr. Kalaivanar, penutupan ini memberikan kesan emosi dan kebajikan yang mendalam kepada anak-anak syurga ini serta ibu bapa mereka yang kini buntu memikirkan destinasi alternatif untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan khas. Justeru, beliau merayu atas dasar belas kasihan agar Pengarah ROS Selangor memanggil semula pihak terlibat untuk berbincang dan membatalkan status pembubaran tersebut.
Beliau turut menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memandang serius isu ini dan menyarankan kepada ROS agar pusat pemulihan ini dibuka semula demi masa depan para pelajar terbabit.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan, Albert, menyatakan kebimbangan mengenai bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan melalui JKM. Menurutnya, setiap pelajar menerima elaun bulanan sebanyak RM300 yang digunakan sepenuhnya oleh ibu bapa—termasuk golongan ibu tunggal—untuk membeli barangan keperluan asas seperti lampin dan susu.
”Jikalau pertubuhan ini dibatalkan, siapakah yang akan menanggung keperluan harian mereka selepas ini? Kami amat berharap agar operasi pertubuhan dapat diteruskan seperti biasa demi kebajikan anak-anak OKU ini,” rayu Albert.
Pihak pertubuhan kini berharap agar video sidang media ini mendapat perhatian tular masyarakat Malaysia bagi mendesak pihak ROS menyemak semula keputusan berkenaan demi membela nasib 40 anak-anak OKU dan autism yang terlibat.
#BelaNasibOKU #BukaSemulaPusatKhas #SavePandamaranPDK #SuaraAnakAutism #BeritaAAC
