
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Dr Azam Rauzan menyelar tindakan pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang didakwa cuba memusingkan kenyataan berhubung isu peletakan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Menurut Dr Azam, kenyataan awal yang dikeluarkan oleh pemimpin berkenaan seolah-olah ‘memakan diri’ dan secara tidak langsung mengesahkan bahawa parti tersebut sememangnya menjadi penghalang utama kepada pembebasan bekas Perdana Menteri itu.
Jelas beliau, dalam era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) hari ini, setiap kenyataan yang dikeluarkan mudah diterjemah dan dikesan oleh masyarakat, sekaligus menyukarkan mana-mana pihak untuk menafikan apa yang telah diperkatakan sebelum ini.
Mengulas mengenai respons sinis Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan akan ‘berjumpa’ dengan pemimpin DAP tersebut secara profesional, Dr Azam menyifatkannya sebagai satu mesej jelas agar kepimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) lebih menghormati rakan konsensus dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan DAP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak memandang remeh kehadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kabinet. Tegasnya, pembentukan kerajaan hari ini bukanlah atas kehendak peribadi, sebaliknya adalah atas titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, Dr Azam menyifatkan kemenangan besar BN sebagai isyarat jelas daripada rakyat. Beliau tidak menolak kemungkinan ‘keajaiban’ dan lonjakan sokongan yang sama boleh berlaku di Negeri Sembilan sekiranya gelombang penolakan terhadap naratif politik PH terus meningkat.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #DrAzamRauzan #IsuPanasPolitik
