
KUALA LUMPUR – Kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini disifatkan sebagai hasil daripada strategi gerak kerja kempen yang kemas serta pemilihan calon yang menepati cita rasa pengundi.
Penganalisis Politik, Dr. Azam Rauzan menjelaskan bahawa kemenangan tersebut membuktikan strategi meletakkan gabungan wajah baharu, orang muda, dan gandingan veteran telah membuahkan hasil yang sangat positif buat gabungan itu.
”Kita terpaksa memuji gerak kerja yang dijalankan oleh jentera pilihan raya. Pertama, kita tidak mempunyai banyak isu kali ini. Faktor kedua pula adalah pemilihan calon-calon yang tepat dan bersesuaian dengan keadaan semasa, di mana wujudnya a full mixture antara orang muda dan juga orang veteran,” katanya dalam sesi Temubual Sembang Kopi.
Mengulas lanjut mengenai peralihan sokongan, beliau menarik perhatian kepada berlakunya mood swing dalam kalangan pengundi etnik Cina. Hasil tinjauan di lapangan menunjukkan majoriti daripada mereka meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi parti pembangkang sebelum ini, sekali gus mengalihkan sokongan semula kepada Barisan Nasional.
Selain itu, sokongan padu daripada anak muda tempatan—terutamanya menerusi kemudahan dan penglibatan aktif institusi seperti Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta kelab-kelab sukarelawan Johor—turut menjadi nadi penting kepada kemenangan ini. Dr. Azam juga menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi yang tinggi daripada anak-anak Felda dan anak muda luar bandar yang pulang mengundi nyata memihak kepada BN.
Dalam pada itu, beliau turut sempat menitipkan pesanan kepada barisan kepimpinan muda dan Exco baharu yang bakal diumumkan agar menjalankan amanah dengan sebaiknya.
”Kepada anak muda yang dah pegang jawatan sekarang, yang akan diumumkan sebagai barisan Exco, do your work. Jangan ulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini,” tegas beliau mengakhiri bicara.
#PRNJohor #SembangKopiAAC #PolitikMalaysia #BangsaJohor #DrAzamRauzan
