KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) menegaskan keputusan untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berlandaskan pengalaman, kesefahaman serta keperluan mendesak untuk memastikan kestabilan politik negara.
Presiden PPP, Dato’ Dr Loga Balan berkata, dalam landskap politik Malaysia yang semakin tidak menentu, PPP melihat BN sebagai satu-satunya gabungan yang mampu menawarkan tiga elemen utama yang amat diperlukan rakyat iaitu kestabilan politik, keselamatan dan keyakinan terhadap masa depan negara.
“Banyak gabungan politik wujud hari ini, namun persoalannya gabungan mana yang benar-benar boleh menjamin kestabilan, keselamatan serta keyakinan rakyat. Setakat ini, hanya Barisan Nasional yang terbukti mampu menawarkan ketiga-tiga perkara ini,” katanya.
Menurut beliau, hubungan lama PPP bersama BN membentuk asas kesetiakawanan yang kukuh, selain kefahaman mendalam terhadap budaya, pemikiran dan cara kerja gabungan tersebut.
“Kita pernah bekerja lama dengan BN. Kita faham budaya mereka, minda mereka, dan cara mereka mentadbir. Itu satu kekuatan yang tidak boleh dinafikan,” jelasnya.
Dato’ Dr Loga Balan turut mengingatkan bahawa sebahagian besar sistem penting negara hari ini termasuk sistem pendidikan, pengangkutan dan pembangunan infrastruktur adalah hasil dasar serta pentadbiran BN ketika menerajui kerajaan.
“Ketika BN mentadbir, kita lihat kestabilan politik, ekonomi berkembang dengan jelas dan rakyat mempunyai peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.
Beliau menambah, keputusan PPP untuk bersama BN juga selari dengan komitmen parti itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia secara langsung di peringkat akar umbi.
“PPP boleh memberi suara kepada rakyat. Kita akan mendengar masalah ahli-ahli dan masyarakat, dan kita akan suarakan isu mereka kepada pihak kerajaan,” katanya.
Dalam masa sama, PPP juga menawarkan kekuatan tambahan kepada BN melalui keahlian parti serta jentera akar umbi yang aktif memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kepada BN, kita boleh beri kekuatan. Dari segi keahlian, perkhidmatan di akar umbi dan sokongan berterusan untuk memastikan agenda rakyat dapat dilaksanakan,” tegasnya.
Tambah beliau, inilah kepercayaan PPP – berganding bahu bersama BN demi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.
#BeritaAAC #PPP #DatoDrLogaBalan #BarisanNasional #KestabilanPolitik #SuaraRakyat #PolitikMalaysia #AkarUmbi #KeyakinanRakyat #MalaysiaStabil