KUALA LUMPUR – Bahang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semakin dirasai apabila Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil menggariskan hala tuju tegas yang perlu diambil parti itu demi mengembalikan dominasi UMNO sebagai teras politik negara.
Menurut beliau, fokus utama PAU 2025 bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya perlu menjawab persoalan besar “what’s next” untuk masa depan UMNO dan orang Melayu. Sebagai pemimpin akar umbi, Dr. Azam menegaskan bahawa agenda perpaduan ummah perlu difahami dengan lebih jujur dan menyeluruh.
“Perpaduan ummah itu bukan PAS. Perpaduan ummah itu adalah orang Melayu, dan ia mesti dimulakan oleh UMNO,” tegasnya ketika menjawab soalan wartawan mengenai harapan terhadap PAU 2025.
Beliau turut menyentuh kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, dengan menyatakan bahawa pendekatan yang terlalu berfokus kepada PAS adalah satu kesilapan besar. Menurut Dr. Azam, penyelesaian sebenar kepada perpaduan Melayu ialah dengan pembubaran BERSATU dan kembalinya parti itu ke pangkuan UMNO.
“Magnet kepada orang Melayu itu adalah UMNO. Bila UMNO kembali kuat, PAS sendiri akan datang tunduk dan meminta,” katanya.
Dalam nada lebih kritikal, Dr. Azam turut mempersoalkan kejujuran PAS dalam usaha membentuk Muafakat Nasional, khususnya di empat negeri yang kini dikuasai parti itu. Beliau mempertikaikan sejauh mana PAS benar-benar bersedia memberi ruang yang adil kepada UMNO.
Lebih tegas, beliau menyifatkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebagai penghalang utama kepada perpaduan ummah akibat sikap dan kenyataan yang dilihat terus menghina serta menyerang UMNO.
“Dalam keadaan PAS masih mengutuk dan menghina UMNO, di manakah kejujuran mereka?” soalnya.
Dr. Azam juga mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan tidak bersifat kekal, dan PAU 2025 adalah medan paling penting untuk Presiden UMNO bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menetapkan strategi senyap tetapi berkesan demi kebangkitan parti.
Beliau menegaskan bahawa bukan semua perancangan boleh didedahkan di media sosial, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan disiplin dan kesetiaan kepada parti. Dalam masa sama, beliau menggesa semua ahli UMNO termasuk pemimpin muda agar menghentikan budaya saling menyerang yang hanya melemahkan parti.
“PAU kali ini adalah PAU yang menentukan hala tuju UMNO. Beri sokongan penuh kepada Presiden, Biro Politik dan MKT. Jangan jadikan parti ini bahan drama murahan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Dr. Azam menyatakan keyakinan bahawa UMNO akan kembali berkuasa dan menjadi teras politik negara, sambil mengajak seluruh ahli bertemu di PAU 2025 dengan semangat perpaduan dan keikhlasan.
#PAU2025 #UMNOBangkit #PerpaduanMelayu #PolitikMalaysia #BeritaAAC #HalaTujuUMNO #AkarUmbiBersuara #MuafakatAtauRetorik #UMNOTerasNegara #BahangPAU