KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat India di Malaysia sambil menegaskan kepentingan perpaduan, silaturahim dan semangat muhibah antara kaum dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.
Menurut beliau, masyarakat India telah lama bermastautin di negara ini dan kehadiran mereka bukan atas dasar migrasi moden, sebaliknya merupakan kesan sejarah penjajahan British yang membawa masyarakat India ke Tanah Melayu pada era kolonial.
“Kaum India datang ke Malaysia bukan pakai pasport. Pada masa itu, kita semua diperdaya dan dibawa oleh penjajah British. Namun dari situlah lahir perpaduan antara Melayu, Cina dan India,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Thaipusam.
Dato’ Dr Kalaivanar yang juga wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menekankan bahawa walaupun rakyat Malaysia lahir daripada latar belakang, budaya dan agama yang berbeza, mereka tetap berkongsi hubungan yang erat sebagai satu bangsa.
“Walaupun kita dilahirkan daripada pelbagai rahim, hubungan kita sangat erat. Inilah perpaduan yang telah lama dipupuk di negara ini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Thaipusam bukan sekadar ibadah masyarakat Hindu, malah perlu dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai simbol keharmonian dan saling menghormati antara agama.
“Thaipusam adalah ibadah masyarakat India khususnya penganut Hindu, tetapi keseluruhan warga Malaysia harus menghormatinya. Inilah semangat negara kita,” katanya lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Dato’ Dr Kalaivanar menyeru agar semangat silaturahim, toleransi dan solidariti nasional terus diperkukuh demi kestabilan serta keharmonian negara.
#Thaipusam2026 #PerpaduanMalaysia #MuafakatNasional #HarmoniBerbilangKaum #MalaysiaMadani #SilaturahimRakyat #BeritaAAC #SuaraAktivis #KesetiaanNegara #KitaSatuBangsa