
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – UMNO Selangor menyambut baik hasrat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk kembali aktif dalam parti, dengan menyifatkan langkah tersebut sebagai manifestasi semangat keterbukaan dan jiwa besar kepimpinan parti.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia menerima semula penyertaan Khairy tanpa sebarang syarat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan prinsip “walk the talk” yang dizahirkan Presiden dalam usaha memperkukuh kembali parti melalui konsep “Rumah Bangsa”.
“UMNO Selangor menerima dengan hati terbuka penyertaan semula Khairy Jamaluddin, dan kita yakin kehadiran beliau mampu menyumbang kepada usaha menguatkan parti menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan bersama kepimpinan UMNO Selangor yang melibatkan ketua-ketua bahagian, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta barisan setiausaha parti.
Megat Zulkarnain turut memaklumkan bahawa Khairy dijangka akan berdaftar di salah satu cawangan dalam Bahagian Sungai Buloh, sekali gus membuka ruang untuk beliau memainkan peranan di peringkat negeri.
Tambah beliau, Khairy juga telah menyatakan secara jelas kepada Presiden bahawa beliau tidak mempunyai sebarang tuntutan atau permintaan, termasuk tidak memohon kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Fokus beliau adalah untuk membantu menguatkan UMNO berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki, khususnya sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Menurutnya lagi, satu-satunya perkara yang dimohon oleh Khairy hanyalah pertimbangan untuk mendapatkan semula nombor keahlian lamanya.
Dalam masa sama, Megat Zulkarnain menegaskan bahawa usaha membawa kembali bekas ahli UMNO bukanlah strategi politik semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada inisiatif penyatuan dalaman parti.
Beliau berkata, konsep “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti untuk kembali tanpa syarat.
“Ini adalah usaha untuk memperkukuh parti dan menyatukan kembali kekuatan UMNO di semua peringkat,” ujarnya.
Mengulas persepsi kerjasama UMNO dengan DAP, beliau menegaskan bahawa tidak wujud kerjasama langsung antara kedua-dua parti, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada struktur Kerajaan Perpaduan yang melibatkan gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Katanya, persepsi negatif tersebut sering dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk terus mengkritik UMNO, namun parti itu akan terus mendekati rakyat dan memperjelaskan kedudukan sebenar.
#KhairyJamaluddin #UMNO #RumahBangsa #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #PRU16 #UMNOSelangor #BeritaAAC #MalaysiaPolitik #ComebackKJ