
KUALA LUMPUR, 17 Mac 2026 – Veteran UMNO, Shahbudin Embun menyifatkan hasrat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) untuk kembali ke dalam UMNO sebagai satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan semula parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali tanpa syarat adalah satu keputusan berani dan strategik demi masa depan parti serta perpaduan Melayu.
Katanya, pendekatan “rumah bangsa” yang dibawa oleh Ahmad Zahid mencerminkan usaha besar untuk menyatukan kembali kekuatan politik Melayu dan memperkukuh UMNO sebagai kuasa dominan.
“Ini satu langkah besar. Presiden sendiri menyatakan prinsip ‘forget and forgive’. Tiada syarat, tiada rekod lama – hanya perlu hantar surat untuk kembali dan diterima dengan hati terbuka,” katanya.
Shahbudin turut mengalu-alukan kemungkinan kembalinya tokoh-tokoh besar termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, selain Khairy Jamaluddin, yang disifatkan mampu memberi nilai tambah kepada kekuatan parti.
Beliau menegaskan bahawa UMNO kini tidak mempunyai banyak masa dan perlu segera memperkukuh barisan kepimpinan serta jentera parti bagi menghadapi PRU16 yang dijangka menjelang hujung tahun ini.
“UMNO sekarang ibarat bunga yang sedang kembang. Dengan kembalinya mereka yang pernah tersasar, kita boleh memperkukuh lagi parti agar terus berkembang dan kembali harum di mata rakyat,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar pihak ibu pejabat UMNO menyediakan senarai bekas ahli yang dikenakan tindakan untuk disalurkan kepada peringkat negeri dan bahagian.
Langkah itu, katanya, penting bagi membolehkan usaha mendekati semula mereka dilakukan secara proaktif, termasuk melalui komunikasi dan pendekatan yang lebih mesra.
“Kita tidak boleh tunggu. Ramai yang dipecat ini mungkin rasa kecewa atau malu. Jadi, peranan bahagian dan negeri sangat penting untuk menghubungi mereka dan menyampaikan berita baik bahawa mereka boleh kembali,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha menyatukan semula ahli dan bekas pemimpin ini adalah kunci kepada kebangkitan semula UMNO sebagai parti yang kuat dan relevan dalam landskap politik negara.
#UMNO #KhairyJamaluddin #KJComeback #RumahBangsa #PolitikMalaysia #PRU16 #ZahidHamidi #PerpaduanMelayu #AACNews #BeritaTerkini