
KUALA LUMPUR, 8 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak polis supaya mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan elemen meragukan dalam pengendalian kes ahlong, termasuk isu melibatkan status laporan “covering report” dan kes yang diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pendedahan yang dibuat oleh aktivis MHO, Joshua, berhubung dakwaan 52 anggota penguat kuasa menerima habuan bulanan RM998 adalah berdasarkan maklumat yang ditemui dalam sebuah telefon bimbit yang didakwa diperoleh daripada salah seorang ketua kumpulan ahlong.
Menurut beliau, segala maklumat yang terkandung dalam telefon berkenaan masih perlu disahkan melalui siasatan rasmi pihak polis.
“Apa yang dinyatakan oleh Joshua adalah berdasarkan dapatan daripada telefon yang diperoleh daripada salah seorang team leader ahlong. Perkara itu perlu disahkan oleh pihak polis,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan.
Beliau menegaskan, Joshua hanya mendedahkan kandungan yang terdapat dalam telefon tersebut dan tidak membuat kesimpulan muktamad sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.
Sehubungan itu, MHO menuntut agar kes tersebut tidak disenyapkan, sebaliknya satu kertas siasatan dibuka dan status siasatan dimaklumkan secara telus kepada pengadu.
“Joshua selaku pengadu yang mewakili MHO berhak untuk mengetahui status siasatan. Bila seseorang membuat aduan, sudah tentu dia mahu tahu apa hasil daripada aduan itu, bukan sekadar disimpan atau disenyapkan,” katanya.
Hishamuddin berkata, pihak polis perlu segera menyiasat keseluruhan dakwaan dan mendedahkan kebenaran sebenar hasil siasatan, termasuk mengambil tindakan pendakwaan sekiranya benar wujud pelanggaran undang-undang.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tahap ketelusan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes-kes berkaitan ahlong, terutama melibatkan jumlah kes yang berakhir dengan status “covering report” dan NFA.
Menurut beliau, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini ada menyatakan bahawa kira-kira 1,000 individu telah ditangkap dan sebahagian kes telah diselesaikan, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah berapa banyak kes ahlong yang sebenarnya berstatus “covering report” dan berapa pula yang diklasifikasikan sebagai NFA.
“Ini yang perlu ada pendedahan. Sebab dalam telefon yang ditemui itu, timbul persoalan mengenai isu kes NFA dan covering report. Ini yang kita mahu tahu,” katanya.
Beliau mendakwa, berdasarkan aduan yang diterima MHO, kebanyakan mangsa yang tampil mendapatkan bantuan telah terlebih dahulu membuat laporan polis, namun mendakwa kes mereka berakhir dengan status “covering report”.
“Majoriti pengadu yang datang berjumpa MHO ini, mereka datang selepas membuat laporan polis dan kes mereka dikatakan covering report. Jarang sekali orang datang kepada kami dan cakap mereka belum buat laporan polis,” ujarnya.
Tambah beliau, keadaan itu menimbulkan tanda tanya apabila wujud pula penemuan telefon yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan isu “covering report” dan NFA, sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam pengendalian sesetengah kes.
Justeru, MHO berharap pihak polis dapat membantu para pengadu dengan menjalankan siasatan menyeluruh, mendapatkan bukti-bukti yang relevan, dan mendakwa mana-mana individu yang terlibat jika terdapat asas kukuh untuk tindakan undang-undang.
#MHO #IsuAhlong #CoveringReport #SiasatanPolis #BeritaAAC