
KUALA LUMPUR, 8 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membawa suara ratusan mangsa yang mendakwa menjadi mangsa penipuan satu program pelaburan mata wang asing (forex) yang disyaki tidak sah, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM111,795,957.74.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, seramai 432 mangsa tampil membuat aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memohon supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap program pelaburan berkenaan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah.
Menurut beliau, mangsa mengesyaki mereka telah diperdaya oleh seorang individu warganegara tempatan bersama beberapa buah syarikat yang dikaitkan dengan skim pelaburan forex tersebut.
“Mangsa hadir ke Bank Negara Malaysia untuk membuat aduan rasmi serta memohon agar satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap program pelaburan mata wang forex yang mereka syaki beroperasi tanpa lesen yang sah dan melibatkan aktiviti pengambilan deposit daripada orang awam secara tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kehadiran mangsa ke BNM juga bertujuan mendapatkan campur tangan pihak berkuasa itu untuk menilai sama ada terdapat pelanggaran undang-undang, khususnya di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Katanya, aduan itu dibuat susulan perkembangan terdahulu apabila laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia didakwa tidak diteruskan, sebelum Jabatan Peguam Negara dikatakan menyarankan agar perkara tersebut dirujuk kepada Bank Negara Malaysia selaku pihak pengawal selia yang mempunyai bidang kuasa terhadap kesalahan melibatkan pengambilan deposit tanpa lesen.
Menurut MHO, berdasarkan maklumat yang diterima daripada para pengadu, mereka mendakwa telah dipujuk untuk menyertai satu program pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap dan konsisten dalam tempoh tertentu.
Bagi meyakinkan peserta, pelbagai bahan promosi termasuk gambaran prestasi pelaburan dan unjuran keuntungan digunakan untuk menarik minat orang ramai menyertai program tersebut.
Namun, para pengadu kini mengesyaki bahawa program itu tidak melibatkan aktiviti perdagangan forex yang sebenar, sebaliknya hanya diwujudkan untuk mengumpulkan dana daripada orang awam. Mereka turut mendakwa platform pelaburan yang digunakan berkemungkinan tidak sah atau dikawal sepenuhnya oleh pihak tertentu tanpa sebarang ketelusan.
Sehubungan itu, MHO bersama mangsa merayu agar Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan secara teliti, menyeluruh dan berfokus terhadap keseluruhan fakta serta aduan yang telah dikemukakan.
“MHO berharap pihak Bank Negara Malaysia dapat menilai sama ada wujud elemen pelanggaran undang-undang, termasuk berkaitan pengambilan deposit tanpa lesen serta kesalahan lain yang berkaitan. Mangsa juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan,” katanya.
MHO menegaskan bahawa kehadiran mereka bukan bertujuan mencetuskan polemik atau membuat prejudis terhadap mana-mana pihak, sebaliknya demi menyuarakan keluhan ratusan mangsa yang mendakwa telah dikhianati dan dizalimi.
Menurut pertubuhan itu, mereka akan terus berdiri teguh sebagai suara kepada mangsa dengan harapan institusi keadilan negara dapat tampil memberikan perlindungan, pembelaan serta keyakinan bahawa tiada mana-mana pihak yang kebal daripada tindakan undang-undang.
MHO turut menegaskan bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malah mesti dilihat sedang ditegakkan demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
#PelaburanForex #MangsaSkimPelaburan #MHO #BankNegaraMalaysia #KeadilanUntukMangsa