
KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Aktivis MHO, Joshua, membuat pendedahan serius apabila mendakwa wujud satu rangkaian sindiket yang bukan sahaja melibatkan penipuan terhadap mangsa, malah turut dikaitkan dengan unsur kebocoran maklumat peribadi, bayaran kepada pihak tertentu serta tekanan untuk menutup laporan.
Menurut beliau, maklumat yang diperoleh daripada sebuah telefon bimbit yang kini menjadi perhatian didakwa mengandungi pelbagai butiran penting berkaitan operasi sindiket berkenaan, termasuk dakwaan pembayaran bulanan kepada beberapa pihak berkuasa bagi mendapatkan data mangsa.
Joshua mendakwa seramai 52 pihak berkuasa menerima bayaran bulanan sekitar RM998 seorang sebagai imbuhan untuk menyalurkan maklumat berkaitan mangsa kepada sindiket terbabit.
Beliau turut mendakwa terdapat bayaran tambahan antara RM300 hingga RM500 untuk membantu memastikan sesuatu laporan polis diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap integriti proses penguatkuasaan.
Lebih membimbangkan, Joshua berkata sindiket tersebut juga didakwa mempunyai taktik menekan mangsa yang sudah tampil membuat laporan. Menurutnya, terdapat arahan tertentu untuk mendesak keluarga mangsa supaya mempengaruhi mangsa menarik semula laporan yang telah dibuat.
Katanya, apa yang didedahkan setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan rangkaian yang didakwanya jauh lebih besar dan melibatkan individu berpengaruh yang disifatkan sebagai “kabel” sindiket.
Dalam masa sama, Joshua mendakwa beliau juga menerima tekanan daripada pelbagai pihak selepas isu itu mula terbongkar. Beliau mendakwa terdapat individu yang cuba berunding untuk mendapatkan semula telefon berkenaan, selain ugutan kononnya beliau boleh dikenakan tindakan undang-undang hanya kerana mengakses kandungan peranti tersebut.
Joshua turut mempersoalkan mengapa individu yang tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan media seolah-olah berdepan risiko dikenakan tindakan, sedangkan pendedahan itu menurutnya dibuat demi membongkar kegiatan yang didakwa menindas ramai mangsa.
Beliau mendakwa pernah ditawarkan wang berjumlah RM2 juta, namun menolak tawaran tersebut kerana enggan berkompromi dengan perkara yang menurutnya melibatkan nasib dan penderitaan ramai mangsa.
Menurut Joshua, ramai mangsa didakwa mengalami tekanan emosi yang berat akibat diperdaya dan diburu sindiket, selain berdepan gangguan berterusan termasuk panggilan telefon yang mencurigakan. Beliau juga mendakwa maklumat peribadi mangsa boleh diperoleh dengan mudah melalui pelbagai saluran, termasuk pihak tertentu yang mempunyai akses kepada data sensitif.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua dakwaan yang dibangkitkan, termasuk meneliti kemungkinan wujudnya elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa, kebocoran maklumat serta intimidasi terhadap mangsa dan pemberi maklumat.
Joshua menegaskan, sekiranya benar ada pihak yang mendakwa telefon tersebut milik mereka, mereka sepatutnya tampil membuat laporan polis secara terbuka dan membenarkan siasatan dijalankan mengikut saluran undang-undang.
#BeritaAAC #JoshuaDedahSindiket #SkandalDataMangsa #BongkarPenyelewengan #MalaysiaPerluBersih