
KUALA LUMPUR, 12 April 2026 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan berpandangan bahawa situasi semasa yang memberi tekanan kepada rakyat berpotensi mempengaruhi tahap sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya kerajaan dilihat gagal menangani isu ekonomi dengan berkesan.
Menurut beliau, sesebuah kerajaan lazimnya akan dinilai paling ketara ketika berdepan krisis, sama ada melibatkan ekonomi atau cabaran lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Bagi saya, kerajaan ini diuji ketika ada krisis. Sebenarnya tiap-tiap kali ada krisis, tak kiralah krisis apa, ekonomi dan sebagainya pun, rakyat akan memilih mereka yang pandai menangani isu ekonomi itu,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kesan situasi semasa terhadap sokongan rakyat kepada PMX.
Dr Azam berkata, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, keupayaan kerajaan bertindak pantas, cermat dan meyakinkan amat penting bagi mengekalkan keyakinan orang ramai.
Beliau turut mengimbau krisis ekonomi yang berlaku sekitar tahun 1998 dan mengaitkannya dengan keperluan supaya kerajaan masa kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, agar episod yang pernah mencetuskan perdebatan dalam landskap ekonomi negara tidak berulang.
“Ketika itu ada krisis ekonomi dunia juga. Jadi ketika ini kita harus berhati-hati supaya tidak berulang balik keadaan macam itu,” ujarnya.
Tambah beliau, keutamaan ketika ini ialah memastikan sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan segera, memandangkan rakyat sentiasa memerhati dan membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan semasa.
“Kita nak selesai masalah ini diselesaikan secara baik dan cepat. Kerana rakyat menilai,” katanya.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan kebimbangan bahawa sebarang kelewatan atau kelemahan dalam menguruskan krisis ekonomi boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat, sekali gus menjejaskan sokongan politik kepada kepimpinan sedia ada.
#PMX #AnwarIbrahim #KrisisEkonomi #KosSaraHidup #BeritaAAC