
KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, berpandangan konflik berterusan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Israel berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negara sekiranya tiada langkah lebih tersusun dilaksanakan segera oleh kerajaan.
Beliau berkata, peperangan yang kini berlanjutan hampir dua bulan itu bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan geopolitik global, malah turut memberi tekanan kepada negara-negara yang bergantung kepada kestabilan harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa, termasuk Malaysia.
Menurut beliau, antara kesan yang paling dirasai ketika ini ialah peningkatan harga diesel, yang didakwa telah melonjak sehingga RM6.72 berbanding sekitar RM2 lebih sebelum krisis bermula.
“Sebagai sebuah negara, kita pasti tidak dapat lari daripada menerima tempias krisis geopolitik ini. Sebab itu saya berharap kerajaan dapat segera melaksanakan satu dasar yang lebih sistematik dan menyeluruh untuk membantu rakyat mengharungi tekanan yang semakin menghimpit,” katanya ketika menjawab soalan wartawan.
Abdul Razak berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Budi 95, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kesannya bukan hanya tertumpu kepada pengguna diesel semata-mata, tetapi melibatkan keseluruhan struktur ekonomi negara.
Katanya, sektor logistik merupakan antara yang paling awal terkesan, sebelum impaknya merebak kepada sektor perladangan, pertanian, perusahaan dan pembinaan.
Beliau mendakwa sektor pembinaan antara yang menerima kesan paling ketara apabila kos meningkat sehingga 40 peratus sejak krisis berkenaan tercetus, sekali gus memberi tekanan besar kepada syarikat dan pemain industri.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa bahawa di Selangor sahaja, seramai 15,000 pekerja telah terkesan menerusi tindakan pemberhentian kerja, pemotongan gaji dan langkah penjimatan lain oleh majikan susulan peningkatan kos operasi.
“Sudah pastilah ini memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan. Maka inilah medan terbaik untuk kerajaan membuktikan bahawa formula, langkah proaktif dan janji yang pernah mereka laungkan sebelum ini benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya lagi.
Abdul Razak turut menegaskan rakyat kini mahu melihat penyelesaian yang nyata, bukannya kenyataan berunsur retorik atau jawapan yang dianggap tidak membantu dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau sendiri menerima pelbagai persoalan daripada rakyat mengenai sama ada kerajaan benar-benar mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk mendepani tekanan ekonomi semasa.
Katanya, kerajaan perlu tampil dengan pelan rasionalisasi yang jelas serta pendekatan yang lebih matang dalam berkomunikasi dengan rakyat, terutama ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Sekarang ini masa paling sesuai untuk mereka buktikan kemampuan sebenar. Rakyat tidak mahu lagi mendengar retorik atau bahasa yang mengguris hati. Apa yang rakyat mahu ialah penyelesaian,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan wajar menggunakan ruang yang ada untuk membuktikan kredibiliti kepimpinan mereka selaras dengan janji-janji yang pernah dibuat sebelum mengambil alih pentadbiran negara.
#BeritaAAC #HargaDiesel #KosSaraHidup #EkonomiMalaysia #KrisisTimurTengah