Aktivis Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PPBM disifatkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka, sekali gus menandakan gabungan Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi relevan dalam landskap politik tanah air.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan, perkembangan terbaharu itu berkemungkinan besar akan memaksa PPBM untuk bergerak secara sendirian melalui gabungan politik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang diwujudkan oleh parti itu sendiri.

​Melihat kepada situasi semasa di mana kem Pakatan Harapan (PH) dan PN sedang bergolak, Gulam memuji kebijaksanaan kepimpinan UMNO di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) yang berjaya memastikan parti kekal tenang dan stabil.

​”Percaturan dan permainan seni politiknya terlampau halus yang kembali mengukuhkan kedudukan UMNO dalam kestabilan dan perpaduan parti. Inilah sebenarnya yang wajib diperlukan untuk menempuh peperangan PRN dan akhirnya PRU16 kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Tambah beliau, ketenangan yang dipamerkan oleh Ahmad Zahid di lapangan—sama ada dalam majlis rasmi kerajaan mahupun program parti—mencerminkan kaliber beliau sebagai seorang pemimpin yang luar biasa, khususnya menerusi strategi “menahan lukah di pergentingan” yang diambil pasca-PRU15.

UMNO Jangan Alpa, Terlalu Seronok

​Walau bagaimanapun, Gulam mengingatkan seluruh saf kepimpinan dan ahli UMNO agar tidak terlalu leka dengan krisis yang sedang melanda kem lawan.

​Ujarnya, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) masih mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula status quo kegemilangan era pemerintahan BN.

​”Majoriti rakyat sudah menyedari yang BN adalah gabungan parti yang kekal konsisten dan berdaya saing. Model politik inklusif dan ‘moderate’ yang dibawa oleh UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP, serta Friends of BN adalah manifestasi terbaik bagi semua kaum di negara ini. Kejayaan memerintah lebih 60 tahun adalah bukti jelas untuk dinilai rakyat menjelang PRN dan PRU16,” jelasnya lagi.

​Di akhir kenyataan, beliau menyeru ahli parti untuk menjauhi sikap alpa, ego, dan pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa berlapang dada demi kebaikan ummah dan agama Islam berdasarkan konsep ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Musyawarah Nasional’ yang diterapkan oleh Presiden parti.

#PolitikMalaysia2026 #UMNOKekalTenang #PercaturanDSZH #BarisanNasional #PraharaPN

SEREMBAN – Hidangan nasi daun pisang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, namun mencari rasa yang benar-benar menepati selera tempatan dan menggamit memori keluarga bukanlah satu perkara yang mudah.

​Bagi Aktivis Sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar, pencarian sebuah premis makanan India yang membawakan cita rasa asli tradisi India-Malaysia akhirnya ditemui di Restoran Va Thamila, yang terletak di Jalan Lok, Rahang (berhadapan Dewi Bala), Seremban.

​Menurut Dr Kalaivanar yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keunikan masakan di restoran ini terletak pada teknik penyediaan lauk-pauknya yang mengekalkan identiti masakan rumah tempatan, berbeza dengan lambakan kedai makan India yang menggajikan pekerja asing.

​”Masakan orang India yang dimasak di sini berbeza. Sayur dan ikannya direbus mengikut gaya ‘style’ Malaysia, bukan direbus hancur seperti kanji atau bubur seperti gaya masakan yang dibawa dari Tamil Nadu, India yang biasa kita lihat di Brickfields.

​”Bila saya makan sambal, kuah, dan ketam di sini, ia sungguh sedap sehingga melayangkan ingatan saya kepada kenangan lama bersama mendiang ibu saya. Ini betul-betul puji, bukan puji kosong,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekitar Seremban.

​Hidangan Untuk ‘Masyarakat Marhein’, Mesra Pelanggan Muslim

​Mengulas mengenai status hidangan tersebut untuk komuniti pelbagai kaum, Dr Kalaivanar menegaskan bahawa Restoran Va Thamila merupakan sebuah premis yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

​”Kedai ini dibuka untuk semua masyarakat marhein. Udara yang kita sedut pun tidak kenal bangsa dan agama, begitu juga kedai ini. Pagi-pagi lagi kita boleh lihat ramai pelanggan Melayu dan Cina datang makan tose dan chapati,” tambah beliau sambil memberi jaminan premis tersebut tidak menyajikan sebarang hidangan berasaskan khinzir.

​Sementara itu, pemilik Restoran Va Thamila, Charu Pannir, menjelaskan bahawa premis yang beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu sentiasa menitikberatkan sensitiviti pelanggan beragama Islam.

​Menjawab persoalan netizen mengenai status halal, Charu mengesahkan bahawa pihak restoran hanya menggunakan bahan-bahan mentah yang dijamin bersih dan halal.

​”Memang ‘safe’ (selamat) untuk orang Muslim makan di sini. Kami tidak memasak sebarang makanan bukan halal. Bekalan ayam kami pula dibeli dari pasar yang mempunyai sijil halal dan disembelih mengikut syariat. Kita sendiri periksa perkara itu.

​”Malah, barisan tukang masak kami adalah warga tempatan (Malaysia) dan sebahagiannya orang India yang memang tidak memakan makanan tidak halal. Jadi tiada isu cross-contamination (pencemaran silang) berlaku di dapur kami,” jelas Charu.

​Menu ‘Top’ Ikan Rebus Sambal Petai Jadi Buruan

​Restoran Va Thamila menyajikan pelbagai variasi makanan laut dan daging seperti kambing, ayam, udang, sotong, ketam, hinggalah kepada burung puyuh. Malah, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, menu Nasi Biryani turut disediakan untuk para pengunjung.

​Apabila ditanya mengenai menu yang paling mendapat sambutan hangat, Charu mendedahkan menu istimewa mereka jarang ditemui di restoran daun pisang yang lain.

​”Lauk paling top dan menjadi kegemaran serta maklum balas terbaik daripada pelanggan kami ialah Ikan Rebus Sambal Petai. Selain itu, Ayam Cili Padi juga antara yang paling laju habis. Sesiapa yang merindui masakan India gaya ‘homemade’, bolehlah datang mencuba sendiri di sini,” katanya menutup bicara.

#VaThamilaSeremban #NasiDaunPisang #MakanSini #CitaRasaMalaysia #BeritaAAC

SEREMBAN, 8 Jun 2026 – Aktivis sosial terkenal yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, hari ini tampil menyelar Ahli Parlimen Ipoh Barat merangkap Timbalan Menteri Perundangan Malaysia, M. Kula Segaran, berhubung kegagalan menyelesaikan isu dokumentasi dan kerakyatan masyarakat India di negara ini.

​Dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan di sini hari ini, Dr. Kalaivanar mendakwa Kula Segaran dan pihak DAP telah mengeksploitasi isu kerakyatan melibatkan hampir 300,000 masyarakat India marhaen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu semata-mata demi meraih undi.

​Sifatkan Sebagai ‘Pengkhianat Besar’

​Menurut beliau, pengumuman kononnya isu berkenaan mampu diselesaikan dalam tempoh 100 hari menerusi ‘Pengisytiharan Gelang Patah’ yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang, adalah satu pembohongan dan pengkhianatan besar kepada komuniti tersebut.

​”Daripada sejak 2018 sampai hari ini 2026, DAP tak pernah buat kerja (untuk isu ini). Masyarakat India masih merana kerana mereka tahu macam mana cara nak menipu orang India,” katanya dengan nada kecewa.

​Beliau turut mempersoalkan kapasiti Kula Segaran ketika membuat janji berkenaan, memandangkan beliau bukannya Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mahupun Menteri Dalam Negeri (KDN).

​Belia 22 Tahun Hidup Tanpa Dokumen

​Mengulas lanjut, Dr. Kalaivanar berkongsi kes terbaharu melibatkan seorang belia India berusia 22 tahun yang masih tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan mahupun kad pengenalan (IC) merah, meskipun mempunyai ibu bapa yang sah.

​Beliau mendakwa telah memanjangkan bukti video kes tersebut kepada pegawai khas Kula Segaran, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh pihak kementerian untuk mendekati atau membantu belia berkenaan.

​Gesa Perdana Menteri Campur Tangan

​Rentetan itu, Dr. Kalaivanar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan dan menegur Kula Segaran agar segera menyelesaikan isu ini sebelum menjelangnya PRU akan datang.

​Pada masa yang sama, beliau turut menyeru semua parti politik berasaskan kaum India untuk mengetepikan status dan lebih kerap ‘turun padang’ bagi membantu menyelesaikan masalah dokumentasi dalam kalangan masyarakat marhaen demi kedaulatan negara yang telah lama merdeka.

#IsuKerakyatan #KulaSegaran #MasyarakatMarhaen #KeadilanSosial #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Kemunculan parti baharu, BERSAMA, yang diasaskan oleh Rafizi Ramli dilihat memberi tamparan hebat dan ancaman langsung kepada PKR serta Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka ruang kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

​Namun begitu, kelebihan tersebut bukanlah jalan mudah atau ‘jaminan automatik’ bagi BN untuk kembali mendapat mandat penuh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

​Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menjelaskan bahawa lanskap politik hari ini sudah berubah di mana rakyat tidak lagi menilai survival politik kepartian, sebaliknya lebih fokus kepada isu kos sara hidup dan kebajikan mereka.

​”Sejauh mana kita nak ukur adakah ini memberi kelebihan secara langsung ataupun dah memang ada gerenti kemenangan untuk Barisan Nasional, jawapannya tidak. Rakyat melihat kepada kehidupan mereka, sejauh mana pemimpin mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemubual.

PKR Berantakan, Lebih Ramai Ahli Parlimen Bakal Ikut Jejak Rafizi?

​Mengulas mengenai pergolakan dalam PKR, Dr. Norman tidak menolak kemungkinan bahawa gelombang perpindahan keluar parti akan menjadi lebih parah dalam masa terdekat.

​Selain Rafizi Ramli dan Nik Nazmi, beliau menjangkakan beberapa lagi Ahli Parlimen serta pemimpin kanan PKR yang merupakan penyokong kuat Rafizi akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam parti BERSAMA tidak lama lagi.

​”PH memang dalam keadaan yang berantakan dengan penubuhan parti BERSAMA. Saya rasa ramai lagi akan mengikut jejak Rafizi. Kita tahu dalam kalangan Ahli Parlimen PKR sekarang pun ramai penyokong kuat beliau. Kemungkinan minggu depan atau seminggu dua lagi, beberapa pemimpin PKR lagi akan mengikut jejak langkah tersebut,” ujar beliau dengan yakin.

Amaran Kepada UMNO & BN: Jangan Terperangkap!

​Walaupun UMNO kini dilihat menerima kemasukan ahli baharu secara mendadak impak daripada retaknya PH, Dr. Norman memberi amaran keras agar UMNO dan BN tidak leka atau terperangkap dengan situasi selesa ini.

​Rakyat katanya, sudah muak dengan ‘politik sepanjang masa’ dan pasti akan menolak mana-mana pemimpin yang hanya muncul atau turun padang ketika musim pilihan raya sahaja.

​”UMNO dan BN perlu terus bekerja keras mendampingi pengundi bagi mengembalikan keyakinan mereka. Mereka perlu membuktikan bahawa BN adalah parti yang mempunyai rekod prestasi (track record) yang terbukti mampu mentadbir negara dengan baik, harmoni, dan mempunyai hala tuju masa depan yang jelas,” tambahnya lagi.

#PolitikMalaysia #RafiziRamli’#PRU16 #UMNOBangkit #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Ahli politik di Malaysia didakwa gemar mengeluarkan kenyataan yang ‘merapu’ di khalayak awam disebabkan tabiat buruk mereka yang malas membaca dan tidak berpijak pada kajian data yang sahih.

​Kritikan pedas itu disuarakan oleh penganalisis serta aktivis media, Dr Azam Rauzan, dalam satu sesi perbincangan panas bersama pakar penyelidik media sosial, Dr Norman Sapar, baru-baru ini.

​Menurut Dr Azam, kelemahan utama parti politik, khususnya UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 yang lalu, adalah disebabkan kegagalan total dalam menguasai naratif digital, selain sikap acuh tak acuh jentera yang diberikan peruntukan besar.

​“Politician di Malaysia ni dia banyak merapu… Sebab apa? Politician ni memang tak baca (buku).

​“Kita tengok hari ini jentera komunikasi strategi ada yang menjahannamkan parti, seperti apa yang berlaku dalam fasa pasca PRN Johor dan sebagainya. Kadang-kadang terkontang-kanting Presiden kita bercakap sendirian di depan, tapi jentera di belakang tidak membela,” katanya dengan nada kesal.

​Isu Jentera ‘Makan Gaji Buta’ Jutaan Ringgit

​Lebih mengejutkan, Dr Azam mendedahkan terdapat ketidakadilan yang berlaku dalam ekosistem jentera propaganda media sosial hari ini, di mana ‘players’ yang dibayar dengan dana yang besar didakwa gagal berfungsi dengan baik.

​“Kita gagal PRU 2018 dan PRU15 kerana kita tak ada players yang betul-betul buat kerja. Ada players yang dibayar juta-juta, ratusan ribu, semua tak buat kerja!

​“Padahal orang-orang media alternatif seperti ‘Sembang Kopi’ dan ‘The Street Media’ ni, kesian mereka… datang naik bas, minta duit (dana kecil). Ini kelemahan yang jentera negeri termasuk UMNO Johor harus lihat. Mereka ini (media jalanan) sangat penting,” tegas beliau lagi.

​Buku ‘Persepsi’: Ekstrak Tesis 30 Tahun Pengalaman Tumpangkan Strategi ‘Try and Error’

​Menyokong kenyataan tersebut, Dr Norman Sapar menjelaskan bahawa landskap media sosial politik tanah air ketika ini bergerak tanpa hala tuju dan panduan yang jelas. Kebanyakan pengendali media sosial hanya mengejar angka ‘likes’ dan algoritma semata-mata, tanpa memahami psikologi sebenar pengundi.

​“Masing-masing semua kejar algoritma, masih melihat angka (likes/views) sebagai prestasi. Tapi sebenarnya itu hanya reaksi. Orang memberi reaksi, tetapi untuk membina keyakinan pengundi, ia memerlukan konsistensi,” jelas Dr Norman.

​Menyifatkan naskhah terbaharu bertajuk ‘Persepsi: Perang Politik Media Sosial’ sebagai rujukan utama dan paling komprehensif yang pernah diterbitkan di Malaysia, Dr Norman menyatakan buku tersebut ditulis bersama pakar-pakar industri termasuk Dr Noor Azizan Majid dan Dr Abdul Razak yang mempunyai pengalamam lebih 20 hingga 30 tahun.

​“Buku ini adalah ekstrak daripada tesis saya yang mengkaji secara mendalam tentang intention (niat/kehendak) pengguna media sosial. Kita kaji posting yang macam mana yang akan membuatkan netizen buat engagement dengan orang politik.

​”Sebelum ini semua orang buat kerja secara try and error, tak ada kajian saintifik. Buku ini menamatkan zaman teka-teki itu,” tambah Dr Norman lagi.

​Cadangan Wajibkan Di Peringkat Akar Umbi

​Melihat kepada impak besar buku tersebut yang turut membedah personaliti politik kontemporari seperti Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dari sudut mobilisasi emosi dan identiti, Dr Azam Rauzan mencadangkan agar kepimpinan tertinggi parti mewajibkan naskhah ini dibaca di peringkat akar umbi.

​“Bagi sayalah, kalau saya Presiden, setiap biro penerangan bahagian dan cawangan saya dah agihkan buku ini. Baca buku, dan saya akan buat pertandingan. Siapa jentera yang paling aktif dan paling banyak buat kerja berdasarkan formula buku ini, kita bagi ganjaran. Kita kalah sebelum ini pun kerana persepsi,” akhiri Dr Azam.

#PerangPersepsi #PolitikMediaSosial #JenteraMerapu #TheStreetMedia #MediaAAC

KUALA LUMPUR – Pentas politik tanah air kini sudah berubah wajah. Era berkempen dan berpolitik di balai raya atau di atas pentas ceramah fizikal kini bukan lagi medan utama, sebaliknya landskap politik Malaysia telah berpindah sepenuhnya ke alam maya seperti TikTok, Facebook, dan Instagram.

​Menyedari hakikat ini, Dr. Norman Sapar tampil mengesyorkan sebuah naskhah terbaharu yang disifatkannya sebagai buku pertama seumpamanya di Malaysia yang mengupas isu “politik media sosial” secara komprehensif.

​Menurut Dr. Norman, buku yang diterbitkan oleh PTS ini merupakan satu rujukan wajib, bukan sahaja untuk ahli politik—terutamanya daripada parti seperti UMNO—malah buat seluruh rakyat Malaysia yang terlibat dalam perbincangan isu semasa setiap hari.

​”Buku ini membuka pemikiran kita yang selama ini hanya menilai apa yang ‘kelihatan’ di Facebook. Di dalamnya dibincangkan bagaimana persepsi di media sosial itu dicipta—adakah ia satu sandiwara yang dirancang atau sesuatu yang benar-benar tulen (genuine)?” katanya dalam satu sesi temu bual bersama Dr. Azam Rauzan, baru-baru ini.

Mengupas ‘Kes’ KJ Dan Ahli Politik Popular

​Apa yang menarik, buku ini tidak sekadar teori sains politik yang berat, tetapi turut membongkar strategi realistik dengan memuatkan kajian kes melibatkan figura politik popular tanah air yang aktif di platform digital.

​”Buku ini agak komprehensif kerana disertakan sekali dengan contoh-contoh kes pemain media sosial dan ahli politik terkenal. Antaranya termasuklah kes Khairy Jamaluddin (KJ), YB Duyung, YB Helmi, dan ramai lagi yang mempunyai pengaruh besar di alam maya,” jelas Dr. Norman lagi.

​Naskhah yang amat sesuai dijadikan panduan dan rujukan ilmiah ini dijual pada harga RM40 senaskhah. Ia boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara serta bakal diluncurkan untuk jualan dalam talian (online) menerusi platform TikTok dan Shopee dalam masa terdekat, seminggu selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

#PolitikMediaSosial #DrNormanSapar #SainsPolitikMalaysia #PBAKL2026

AMPANG – UMNO Bahagian Ampang menegaskan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya, termasuk bersedia bertarung habis-habisan sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak lagi berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

​Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim berkata, jentera parti di peringkat akar umbi termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah pun digerakkan dan berada dalam mod bersiap sedia pada bila-bila masa sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.

​Mengulas mengenai dinamika politik tempatan, beliau melihat situasi semasa memberikan kelebihan kepada UMNO, khususnya melibatkan isu kedudukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang merupakan Ahli Parlimen Pandan—kawasan yang berjiran dengan Ampang.

​Menurut Mohamed Nadzim, spekulasi perpindahan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke kawasan tersebut dilihat bakal mencetuskan pertembungan sengit, selain mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah buntu untuk menentukan kerusi yang sesuai buat Tengku Zafrul.

​”Satu pertembungan akan berlaku di antara Zafrul dengan Rafizi. Sebelum ini, Zafrul masuk ke sini (Ampang). Jadi PKR ini tak tahu nak letak Zafrul ini kat mana, nak lawan dengan siapa dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


​Tambah beliau lagi, situasi dalaman PKR juga dilihat mempunyai dinamika tersendiri apabila mendakwa wujudnya perbezaan kem di antara pemimpin utama mereka.

​”Kena pula, saya difahamkan YB Rodziah (Ahli Parlimen Ampang) ini bukan bersama dengan kem Anwar, tetapi bersama dengan Rafizi. Jadi pandangan saya, sekiranya kami bukan lagi dalam Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional akan bertanding dalam macam mana sekalipun. Bring it on lah! Apa-apa pun kita akan lawan,” tegas beliau.


​Mohamed Nadzim turut menambah bahawa UMNO Ampang tidak pernah gentar menghadapi saingan politik kerana parti itu telah lama menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat, biarpun ketika berada dalam fasa dinamika politik yang berubah-ubah.

​”Empat hingga lima tahun walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, kami ada fungsi kami sebagai UMNO. Jadi whatever it is, kami bersedialah. Insya-Allah, jentera pun dah ready,” katanya lagi.

#PolitikMalaysia #UMNOAmpang #RafiziRamli #TengkuZafrul #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Isu kelewatan pemulangan gajah-gajah khazanah negara, Dara Amoy dan Kelat, yang kini berada di Zoo Teknologi Osaka, Jepun, semakin meruncing apabila pihak aktivis sosial mengancam untuk membawa kempen kesedaran ini ke pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar meluahkan rasa kesal dan menyifatkan penjelasan serta janji yang diberikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian, di bawah pimpinan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sebelum ini hanyalah sebuah ‘sandiwara’ yang berpanjangan.

​Menurut beliau, walaupun pihak kementerian dan Ketua Setiausaha (KSU) telah memberikan taklimat serta menyatakan komitmen untuk menyegerakan proses membawa pulang haiwan tersebut demi memenuhi kehendak rakyat, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan muktamad yang dicapai.

​”Sandiwara ini masih berpanjangan. Sekarang dah masuk musim pilihan raya negeri di Johor, dan ia belum juga berhenti. Saya sendiri akan turun ke Johor untuk berkempen di mana-mana kawasan yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mesej kami jelas: bawa balik gajah dulu, baru bertanding,” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai kronologi usaha berkenaan, Dr Kalaivanar mendedahkan rombongan mereka bersama Puan Izwana sebelum ini pernah dipelawa oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, untuk ke Tebrau bagi menyerahkan memorandum penyelidikan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Walau bagaimanapun, beliau mendakwa pertemuan tersebut seolah-olah dipandang sepi tanpa sebarang tindakan susulan yang konkrit, meskipun pihaknya tidak menuntut sebarang peruntukan kewangan atau dana daripada mana-mana kementerian.

​Beliau turut mempersoalkan kekeliruan status perjanjian antara Malaysia dan pihak Jepun apabila timbul percanggahan kenyataan antara pihak kementerian dan pengurusan zoo tempatan. Menteri sebelum ini menyatakan urusan tersebut adalah berbentuk ‘Perniagaan kepada Perniagaan’ (B2B), manakala Yang Dipertua (YDP) Zoo Taiping, Tuan Akmal, menjelaskan ia adalah urusan ‘Zoo kepada Zoo’.

​”Jika ia sekadar urusan ‘Zoo kepada Zoo’, ini bermakna ia bukan komitmen mutlak G2G (Kerajaan kepada Kerajaan). Jadi, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mengambil inisiatif dan mengeluarkan arahan segera bagi membawa pulang gajah-gajah tersebut. Persoalannya, kenapa mereka enggan bertindak? Apakah ada ‘imbuhan’ di sebalik semua ini?” soalnya lagi.

​Tambah Dr Kalaivanar, pendedahan mengenai kesengsaraan gajah-gajah tersebut di Osaka telah mendapat simpati meluas rakyat Malaysia di media sosial sehingga ada yang meluahkan rasa tidak senang melihat keadaan haiwan tersebut. Beliau turut merujuk kepada kes gajah Asia dari India, Rani Hiroko, yang dihantar ke Jepun pada tahun 1972 dan akhirnya mati dalam kesendirian pada tahun 2018, menyebabkan India menghentikan terus penghantaran gajah ke negara tersebut.

​Memandangkan terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk menyelesaikan kemelut perjanjian 25 tahun ini melalui jalan perundangan yang dikhuatiri memakan masa bertahun-tahun, beliau menegaskan bahawa pihaknya kini beralih arah untuk memohon intervensi daripada institusi beraja.

​”Kita tidak mahu kes ini diheret sampai 3 ke 4 tahun menggunakan peguam sementara nasib haiwan tersebut terbiar. Harapan terbaik kita sekarang adalah ‘Payung Kuning’. Kami berhasrat untuk menghadap ke Istana Perak bagi memohon pembelaan demi menyelamatkan khazanah negara ini sebelum keputusan PRN Johor dimuktamadkan,” katanya menutup bicara.

#SelamatkanGajahKita #KembalikanKhazanahNegara #SuaraRakyatAAC #DatoKalaivanar #PRNJohor2026

AMPANG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menepis dakwaan kononnya mereka bertindak bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ terhadap rakan sekutu politik, khususnya dalam konteks pembentukan kerajaan di Johor sebelum ini.

​Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim menegaskan bahawa kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicapai menerusi kekuatan dalaman parti dan komponennya sendiri, tanpa bergantung kepada bantuan pihak luar.

​Kenyataan itu bagi mengulas dakwaan yang dibangkitkan oleh Pemuda DAP (DAPSY) baru-baru ini mengenai hubungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

​Tiada Istilah Hutang Budi Dalam Kerajaan Perpaduan

​Mengulas lanjut mengenai landskap politik pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohamed Nadzim menjelaskan bahawa keputusan UMNO dan BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah demi memastikan kestabilan negara dan kepentingan rakyat, memandangkan tiada mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

​“Ketika itu tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan sendiri. Demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara, UMNO bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan. Jadi tidak timbul isu siapa berhutang budi kepada siapa,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

​Bagaimanapun, beliau enggan mencampuri urusan dalaman parti lain termasuk spekulasi hubungan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

​Aura ‘Bossku’ Masih Berbisa, Mampu Ubah Landskap Politik

​Dalam perkembangan sama, Mohamed Nadzim turut menyentuh mengenai pengaruh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya masih mempunyai aura yang luar biasa dalam kalangan rakyat marhaen walaupun sedang menjalani hukuman penjara.

​Menurut beliau, sokongan yang diterima oleh tokoh yang popular dengan gelaran ‘Bosku’ itu di media sosial membuktikan rakyat tidak melupakan jasanya, dan kepulangan beliau ke arena politik pada masa hadapan berpotensi mengubah dinamika politik tanah air secara drastik.

​Menyentuh soal pembebasan Najib, beliau berpandangan ruang perundangan yang berbaki ketika ini adalah menerusi proses pengampunan diraja.

​“Kami tidak mendesak. Kami hanya menzahirkan kasih sayang kepada pemimpin kami dan berharap dengan ihsan serta kebijaksanaan Tuanku, Datuk Seri Najib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut proses dan pertimbangan yang ditetapkan,” ujarnya yang menegaskan institusi diraja mempunyai hak mutlak dalam perkara tersebut.

​Kemasukan Tengku Zafrul Hangatkan Politik Ampang

​Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam politik Ampang, Mohamed Nadzim melihat ia sebagai satu kelebihan strategik kepada Perdana Menteri.

​Kedudukan Ampang yang berjiran dengan Parlimen Pandan—yang kini diwakili oleh Rafizi Ramli—dilihat bakal menjadikan saingan politik di kawasan itu semakin sengit menjelang pilihan raya akan datang.

​Tegasnya, UMNO Ampang tidak gentar dan sentiasa bersedia berhadapan dengan apa jua cabaran, termasuk kemungkinan berlakunya pertembungan secara langsung.

​”Jika diarahkan oleh pucuk pimpinan, UMNO Ampang akan turun berjuang habis-habisan. Jentera parti telah bersedia dan pusat daerah mengundi (PDM) juga telah beroperasi,” katanya memutuskan bicara.

#PolitikMalaysia #UMNOAmpang #NajibRazak #KerajaanPerpaduan #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2026 – Bayangkan dilahirkan di tanah air sendiri, fasih berbahasa kebangsaan, dan menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5, namun masa depan anda ‘mati’ sekelip mata kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

​Itu adalah realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh Hari, seorang belia berusia 22 tahun yang kini buntu dan hilang arah selepas empat kali permohonan kewarganegaraannya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ditolak tanpa sebarang alasan munasabah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

​Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang mengetuai Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil membela nasib belia tersebut dalam satu sidang media khas hari ini. Beliau meluahkan rasa kesal yang mendalam terhadap kepincangan birokrasi yang seolah-olah menganiaya masa depan anak watan.

4 Kali Rayuan Ditolak Tanpa Alasan

​Menurut Dr. Kalaivanar, Hari dilahirkan pada 3 November 2004 di hospital tempatan dan memiliki sijil kelahiran sah yang dikeluarkan pada Mei 2005. Malah, sistem JPN sendiri telah mendaftarkan nombor pengenalan diri (041103-10-2765) untuknya sewaktu bayi, namun sehingga kini fizikal kad pengenalan (MyKad) tersebut gagal diserahkan.

​”Setiap kali semakan dibuat secara dalam talian, keputusan yang keluar adalah batal atau tolak. Yang paling dikesalkan, tidak ada satu pun dokumen atau surat rasmi daripada KDN yang menjelaskan kenapa permohonan itu ditolak. Dia bukan lahir di luar negara, dia lahir di sini!” tegas Dr. Kalaivanar dengan nada kesal.

​Lebih memilukan, Hari sengaja meminta kedua-dua ibu bapanya, Sandra (bapa) dan Anthony Liman (ibu) untuk tidak hadir ke sidang media tersebut bagi mengelakkan mereka terus menangis menanggung duka. Ditambah pula, bapanya kini sudah berusia 68 tahun dan sedang uzur akibat penyakit jantung.

Diskriminasi Di Sektor Pendidikan Dan Pekerjaan

​Menceritakan penderitaannya, Hari mendedahkan bahawa dia terpaksa menanggung diskriminasi sejak zaman persekolahan di SK Taman Nirwana dan SMK Pandan Jaya.

​”Setiap tahun pada hari pertama persekolahan, saya tak boleh masuk kelas. Saya kena pergi bayar levi RM240 terlebih dahulu baru dibenarkan sekolah pada hari kedua. Buku teks pun tidak diberikan, mak ayah terpaksa beli sendiri,” kata Hari.

​Kini pada usia 22 tahun, Hari mendakwa kehidupannya seolah-olah disekat sepenuhnya. Dia tidak boleh menyambung pengajian tinggi, tidak boleh membuka akaun bank, malah tidak boleh bekerja secara sah kerana tidak mempunyai MyKad atau sistem imbasan cap jari yang berdaftar.

“Tepuk Dada Tanya Selera” – JPN, Ahli Parlimen Digesa Bertindak

​Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan fungsi Ahli Parlimen kawasan dan menteri yang bertanggungjawab. Beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk turun padang dan meneliti semula fail kes Hari demi prinsip kemanusiaan.

​”Sistem Parlimen baru-baru ini meluluskan kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara atas dasar kemanusiaan. Kita puji usaha itu. Tetapi bagaimana pula dengan anak yang lahir di dalam negara, taat setia pada Raja dan Negara, tahu nama Perdana Menteri, tapi dibiarkan merana?”

​Beliau turut menempelak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran, mengenai janji-janji politik sebelum ini untuk menyelesaikan isu dokumentasi masyarakat India dalam tempoh 100 hari.

​Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menegaskan mereka akan memfailkan dan menyerahkan semula kesemua dokumen Hari kepada JPN dan KDN dalam masa terdekat, serta mendesak agar Hari diberikan sekurang-kurangnya kad pengenalan pemastautin sementara atau tetap terlebih dahulu sementara siasatan lanjut dijalankan.

#KeadilanUntukHari #IsuKewarganegaraan #JPNOfficial #SaifuddinNasution #SuaraMarhaen