Editors Pick

KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan aman secara besar-besaran dilaporkan bakal menggegar Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Julai 2026 ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

​Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) merangkap Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar mendedahkan, perhimpunan yang bertemakan “Tangkap Shafie Apdal” itu digerakkan sepenuhnya oleh solidariti kumpulan belia dan mahasiswa dari Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

​”Satu demo akan diadakan besar-besaran di Sabah pada 4 dan 5 Julai. Demo tersebut bertajuk ‘Tangkap Shafie Apdal’. Belia-belia ini termasuk mahasiswa datang meminta bantuan dan nasihat daripada saya,” katanya kepada media selepas menyerahkan satu memorandum hari ini.

​Dataran Deasoka Jadi Lokasi Tumpuan

​Menurut Zulkarnain, perhimpunan dua hari berturut-turut itu dijadualkan berlangsung di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu. Beliau turut menyeru orang ramai dan masyarakat sivil yang berkongsi sentimen sama untuk turun padang memberikan sokongan kepada kumpulan anak muda berkenaan.

​Maklumat lanjut dan terperinci mengenai tentatif program akan diumumkan oleh pihak penganjur di Sabah dalam masa terdekat.

​Enggan Komen Isu Karikatur ‘Balas Dendam’

​Apabila ditanya oleh pengamal media sama ada tindakan membawa karikatur dalam sidang media tersebut merupakan agenda balas dendam susulan isu karikatur melibatkan Tun Musa Aman sebelum ini, Zulkarnain enggan mengulas lanjut. Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut adalah idea kreatif dan hak mutlak kumpulan belia terbabit.

​”Mengenai karikatur ini, saya tidak mahu campur tangan sama ada ia bentuk balas dendam atau sebaliknya. Ini adalah idea daripada kumpulan pertubuhan belia dan mahasiswa yang didatangkan khas dari Sabah,” jelas beliau menoktahkan spekulasi.

​Pihak Berita AAC sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta pihak berkuasa tempatan berhubung penganjuran perhimpunan ini.

#TangkapShafieApdal #SabahBangkit #GerakanBelia #PolitikSabah2026 #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan dengan rasa kecewa dan terkilan susulan ketiadaan kuota jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta barisan Timbalan Menteri, MIC dipuji kerana memilih untuk kekal setia bersama Barisan Nasional (BN).

​Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menegaskan, kesetiaan yang ditunjukkan oleh MIC dan MCA ketika ini adalah bukti kepercayaan mereka terhadap institusi BN, bukannya secara khusus kepada UMNO.

​Memetik senario politik semasa, beliau mengakui wujud desas-desus sebelum ini yang mengaitkan MIC dengan perpindahan ke blok Perikatan Nasional (PN) ekoran rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi parti tersebut.

​”Dia orang memberi kepercayaan. Yelah kalau orang kata marah, memanglah marah. Rasa kecewa, memanglah rasa kecewa. Kalau kita tengok ada satu konvensyen yang dibuat oleh MIC tempoh hari, di mana dia orang menyuarakan GLC tak dapat, Timbalan Menteri tak dapat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.

​Bagaimanapun, Syed Azmi menyifatkan isu pengagihan jawatan tersebut sebagai ketentuan rezeki dan takdir.

​”Itu semua kehendak Allah. Kalau itu tempat kamu, tempat kamu lah,” jelas beliau lagi.

​Mengulas lanjut mengenai tindakan parti komponen lain seperti Gerakan yang telah keluar lebih awal, Syed Azmi memberikan penghormatan tertinggi kepada pucuk pimpinan MIC kerana tidak mengambil jalan mudah untuk melompat parti, sebaliknya terus mempertahankan solidariti di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

​”Saya menghormati keputusan MIC di mana mereka tak keluar lah daripada Barisan Nasional masuk kepada PN. So satu tahniah kita kena beri kepada pucuk pimpinan MIC,” ujarnya menutup bicara.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional #MICSetia #ZahidHamidi

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 – Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki, hari ini memulakan tindakan undang-undang rasmi terhadap aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

​Firma guaman Thomas Philip Advocates & Solicitors yang mewakili Afdlin mengesahkan bahawa satu Surat Tuntutan telah disampaikan secara rasmi kepada Chegubard pada hari ini.

​Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rakan Pengurusan firma berkenaan, Mathew Thomas Philip, tindakan itu diambil susulan penerbitan sebuah video di saluran YouTube “Agenda Daily” yang kemudiannya tular di platform TikTok dan Facebook milik Syed Rosli Harman.

​”Penyataan-penyataan tersebut, dalam maksud zahir dan biasa serta secara sindiran, memfitnah anak guam kami dengan menuduh beliau melakukan perbuatan rasuah dan tidak jujur berhubung jawatannya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” kata kenyataan itu.

​Pihak Afdlin menegaskan bahawa kesemua dakwaan tersebut adalah palsu, mengelirukan, tidak berasas sama sekali, dan disebarkan tanpa memberikan ruang kepada beliau untuk memberikan maklum balas terlebih dahulu.

​Tuntutan 7 Hari Atau Berdepan Mahkamah

​Sehubungan itu, Chegubard secara rasmi dituntut untuk memenuhi tiga syarat utama dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh surat berkenaan diserahkan:

Memadamkan serta-merta video tersebut berserta semua salinannya daripada mana-mana platform di bawah kendaliannya.

Mengeluarkan permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan secara terbuka, penuh, dan tanpa syarat di akaun-akaun media sosial beliau.

Memberikan akujanji bertulis untuk tidak lagi menerbitkan sebarang penyataan lanjut yang mempunyai kesan serupa terhadap Afdlin.


​Pihak peguam turut menegaskan bahawa kegagalan Chegubard untuk mematuhi tuntutan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan prosiding mahkamah dimulakan tanpa sebarang rujukan lanjut.

#AfdlinShauki #Chegubard #SamanFitnah #IsuDBKL #BeritaAAC

KUALA LUMPUR , 11 Jun 2026 – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka dan meneliti semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

​Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan memorandum rasmi yang dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Datuk Seri Abdul Halim Aman.

​Kehadiran beliau turut ditemani oleh peguam kanan, wakil pertubuhan belia, serta anak-anak muda Sabah yang prihatin terhadap isu integriti dan ketelusan pengurusan dana awam.

​Menurut Zulkarnain, memorandum berkenaan menumpukan kepada siasatan membabitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika beliau menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari tahun 2009 hingga 2015.

​”Hari ini saya hadir atas desakan ramai pihak yang mahu melihat SPRM meneliti semula kes ini. Perkara yang dibangkitkan membabitkan wang rakyat dalam jumlah yang besar, bukan sahaja melibatkan rakyat Sabah tetapi seluruh rakyat Malaysia yang berhak mengetahui bagaimana dana awam tersebut dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bukan Sekadar Persepsi

​Mengulas lanjut, Zulkarnain menegaskan tindakan beliau bukanlah bersandarkan khabar angin atau persepsi politik, sebaliknya beliau merupakan antara pengadu terawal yang mengemukakan laporan kepada SPRM pada tahun 2016 dan 2017.

​Memorandum yang diserahkan hari ini turut disertakan dengan pelbagai laporan media, dokumen sokongan, serta bahan rujukan yang berkaitan.

​Untuk rekod, pada tahun 2017, SPRM pernah menjalankan siasatan berskala besar dan berprofil tinggi melibatkan nilai projek keseluruhan berjumlah RM7.5 bilion, manakala siasatan tertumpu kepada penyelewengan RM1.5 bilion. Kes tersebut turut menyaksikan Shafie Apdal ditahan reman pada Oktober 2017 bagi membantu siasatan.

​Bagaimanapun, selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, kes berkenaan dilaporkan tidak diteruskan atas alasan kekurangan bukti, yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika itu, mendiang Datuk VK Liew.

​”Keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah. Adakah semua fakta, keterangan, dan maklumat yang dikumpulkan ketika siasatan dijalankan telah dinilai sepenuhnya?

​”Masa boleh berlalu, kerajaan boleh bertukar, pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi tanggungjawab terhadap wang rakyat tidak pernah luput,” tegas Zulkarnain.

Persoal Projek Air Pulau Gaya & Cabar Shafie Tampil

​Selain isu dana RM1.5 bilion, memorandum tersebut turut menggesa SPRM menyiasat semula projek bekalan air Pulau Gaya di Kota Kinabalu bernilai RM100 juta yang pernah berada di bawah perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2017.

​Zulkarnain mendakwa, walaupun dana yang besar telah diperuntukkan, sebahagian penduduk Pulau Gaya sehingga kini masih bergelut dengan masalah bekalan air bersih.

​Beliau turut melemparkan cabaran terbuka kepada Shafie Apdal untuk tampil menjelaskan pencapaian sebenar KKLW sepanjang tempoh penjelajahan beliau dalam menyelesaikan isu infrastruktur asas seperti air, elektrik, dan jalan raya di Sabah.

Sedia Hadapi Tekanan, Enggan Kutuk Langkah

​Ketika ditanya mengenai risiko keselamatan, Zulkarnain mendedahkan bahawa beliau pernah menerima ugutan bunuh pada tahun 2020 susulan kelantangannya membangkitkan isu kepentingan awam, namun menegaskan perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangat perjuangannya.

​”Saya sedar langkah yang saya ambil hari ini mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Namun saya yakin Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung. Selagi berada di landasan benar, saya akan terus bersuara tanpa gentar,” ujarnya lagi sambil mengingatkan SPRM agar melaksanakan amanah ini dengan jujur, berani, dan tanpa memilih bulu.

#SkandalSabah #DanaLuarBandar #IntegritiRakyat #BeritaAAC #DemiRakyat

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia hari ini menegaskan bahawa pendirian parti itu dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat di peringkat negeri bukanlah satu bentuk pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan.

​Setiausaha Agung UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tersebut sebaliknya merupakan satu amalan demokrasi yang sah, matang, dan berperlembagaan bagi menyerahkan semula kuasa dan mandat sepenuhnya kepada rakyat.

​Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung hari ini bagi membincangkan hala tuju parti dan mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan yang bakal menjelang.

Isu Kerajaan Negeri Johor & Perjanjian Persekutuan

​Mengulas mengenai status politik di Johor, Dr. Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah dibentuk lebih awal sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).

​”Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.

​Beliau turut menambah bahawa UMNO mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya, termasuklah PRN Johor dan Negeri Sembilan yang kini menanti tarikh rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kekal Sokong Kerajaan Perpaduan Hingga PRU

​Walau bagaimanapun, UMNO mengesahkan komitmen mereka untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Komitmen ini sebagai menghormati Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membawa kepada pembentukan kerajaan pasca-PRU15 yang lalu.

Terbuka Kepada Kerjasama Baharu

​Dalam pada itu, UMNO turut memberi sinyal bersedia untuk menerokai landskap politik yang lebih luas demi kestabilan negara.

​”UMNO terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat. Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” ujar beliau menutup kenyataan.

#UMNO #PRNJohor #KerajaanPerpaduan #DrAsyrafWajdi #PolitikMalaysia2026

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PPBM disifatkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka, sekali gus menandakan gabungan Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi relevan dalam landskap politik tanah air.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan, perkembangan terbaharu itu berkemungkinan besar akan memaksa PPBM untuk bergerak secara sendirian melalui gabungan politik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang diwujudkan oleh parti itu sendiri.

​Melihat kepada situasi semasa di mana kem Pakatan Harapan (PH) dan PN sedang bergolak, Gulam memuji kebijaksanaan kepimpinan UMNO di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) yang berjaya memastikan parti kekal tenang dan stabil.

​”Percaturan dan permainan seni politiknya terlampau halus yang kembali mengukuhkan kedudukan UMNO dalam kestabilan dan perpaduan parti. Inilah sebenarnya yang wajib diperlukan untuk menempuh peperangan PRN dan akhirnya PRU16 kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

​Tambah beliau, ketenangan yang dipamerkan oleh Ahmad Zahid di lapangan—sama ada dalam majlis rasmi kerajaan mahupun program parti—mencerminkan kaliber beliau sebagai seorang pemimpin yang luar biasa, khususnya menerusi strategi “menahan lukah di pergentingan” yang diambil pasca-PRU15.

UMNO Jangan Alpa, Terlalu Seronok

​Walau bagaimanapun, Gulam mengingatkan seluruh saf kepimpinan dan ahli UMNO agar tidak terlalu leka dengan krisis yang sedang melanda kem lawan.

​Ujarnya, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) masih mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula status quo kegemilangan era pemerintahan BN.

​”Majoriti rakyat sudah menyedari yang BN adalah gabungan parti yang kekal konsisten dan berdaya saing. Model politik inklusif dan ‘moderate’ yang dibawa oleh UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP, serta Friends of BN adalah manifestasi terbaik bagi semua kaum di negara ini. Kejayaan memerintah lebih 60 tahun adalah bukti jelas untuk dinilai rakyat menjelang PRN dan PRU16,” jelasnya lagi.

​Di akhir kenyataan, beliau menyeru ahli parti untuk menjauhi sikap alpa, ego, dan pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa berlapang dada demi kebaikan ummah dan agama Islam berdasarkan konsep ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Musyawarah Nasional’ yang diterapkan oleh Presiden parti.

#PolitikMalaysia2026 #UMNOKekalTenang #PercaturanDSZH #BarisanNasional #PraharaPN

SEREMBAN – Hidangan nasi daun pisang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, namun mencari rasa yang benar-benar menepati selera tempatan dan menggamit memori keluarga bukanlah satu perkara yang mudah.

​Bagi Aktivis Sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar, pencarian sebuah premis makanan India yang membawakan cita rasa asli tradisi India-Malaysia akhirnya ditemui di Restoran Va Thamila, yang terletak di Jalan Lok, Rahang (berhadapan Dewi Bala), Seremban.

​Menurut Dr Kalaivanar yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keunikan masakan di restoran ini terletak pada teknik penyediaan lauk-pauknya yang mengekalkan identiti masakan rumah tempatan, berbeza dengan lambakan kedai makan India yang menggajikan pekerja asing.

​”Masakan orang India yang dimasak di sini berbeza. Sayur dan ikannya direbus mengikut gaya ‘style’ Malaysia, bukan direbus hancur seperti kanji atau bubur seperti gaya masakan yang dibawa dari Tamil Nadu, India yang biasa kita lihat di Brickfields.

​”Bila saya makan sambal, kuah, dan ketam di sini, ia sungguh sedap sehingga melayangkan ingatan saya kepada kenangan lama bersama mendiang ibu saya. Ini betul-betul puji, bukan puji kosong,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekitar Seremban.

​Hidangan Untuk ‘Masyarakat Marhein’, Mesra Pelanggan Muslim

​Mengulas mengenai status hidangan tersebut untuk komuniti pelbagai kaum, Dr Kalaivanar menegaskan bahawa Restoran Va Thamila merupakan sebuah premis yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan agama.

​”Kedai ini dibuka untuk semua masyarakat marhein. Udara yang kita sedut pun tidak kenal bangsa dan agama, begitu juga kedai ini. Pagi-pagi lagi kita boleh lihat ramai pelanggan Melayu dan Cina datang makan tose dan chapati,” tambah beliau sambil memberi jaminan premis tersebut tidak menyajikan sebarang hidangan berasaskan khinzir.

​Sementara itu, pemilik Restoran Va Thamila, Charu Pannir, menjelaskan bahawa premis yang beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu sentiasa menitikberatkan sensitiviti pelanggan beragama Islam.

​Menjawab persoalan netizen mengenai status halal, Charu mengesahkan bahawa pihak restoran hanya menggunakan bahan-bahan mentah yang dijamin bersih dan halal.

​”Memang ‘safe’ (selamat) untuk orang Muslim makan di sini. Kami tidak memasak sebarang makanan bukan halal. Bekalan ayam kami pula dibeli dari pasar yang mempunyai sijil halal dan disembelih mengikut syariat. Kita sendiri periksa perkara itu.

​”Malah, barisan tukang masak kami adalah warga tempatan (Malaysia) dan sebahagiannya orang India yang memang tidak memakan makanan tidak halal. Jadi tiada isu cross-contamination (pencemaran silang) berlaku di dapur kami,” jelas Charu.

​Menu ‘Top’ Ikan Rebus Sambal Petai Jadi Buruan

​Restoran Va Thamila menyajikan pelbagai variasi makanan laut dan daging seperti kambing, ayam, udang, sotong, ketam, hinggalah kepada burung puyuh. Malah, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, menu Nasi Biryani turut disediakan untuk para pengunjung.

​Apabila ditanya mengenai menu yang paling mendapat sambutan hangat, Charu mendedahkan menu istimewa mereka jarang ditemui di restoran daun pisang yang lain.

​”Lauk paling top dan menjadi kegemaran serta maklum balas terbaik daripada pelanggan kami ialah Ikan Rebus Sambal Petai. Selain itu, Ayam Cili Padi juga antara yang paling laju habis. Sesiapa yang merindui masakan India gaya ‘homemade’, bolehlah datang mencuba sendiri di sini,” katanya menutup bicara.

#VaThamilaSeremban #NasiDaunPisang #MakanSini #CitaRasaMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Kemunculan parti baharu, BERSAMA, yang diasaskan oleh Rafizi Ramli dilihat memberi tamparan hebat dan ancaman langsung kepada PKR serta Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuka ruang kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

​Namun begitu, kelebihan tersebut bukanlah jalan mudah atau ‘jaminan automatik’ bagi BN untuk kembali mendapat mandat penuh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

​Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menjelaskan bahawa lanskap politik hari ini sudah berubah di mana rakyat tidak lagi menilai survival politik kepartian, sebaliknya lebih fokus kepada isu kos sara hidup dan kebajikan mereka.

​”Sejauh mana kita nak ukur adakah ini memberi kelebihan secara langsung ataupun dah memang ada gerenti kemenangan untuk Barisan Nasional, jawapannya tidak. Rakyat melihat kepada kehidupan mereka, sejauh mana pemimpin mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemubual.

PKR Berantakan, Lebih Ramai Ahli Parlimen Bakal Ikut Jejak Rafizi?

​Mengulas mengenai pergolakan dalam PKR, Dr. Norman tidak menolak kemungkinan bahawa gelombang perpindahan keluar parti akan menjadi lebih parah dalam masa terdekat.

​Selain Rafizi Ramli dan Nik Nazmi, beliau menjangkakan beberapa lagi Ahli Parlimen serta pemimpin kanan PKR yang merupakan penyokong kuat Rafizi akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam parti BERSAMA tidak lama lagi.

​”PH memang dalam keadaan yang berantakan dengan penubuhan parti BERSAMA. Saya rasa ramai lagi akan mengikut jejak Rafizi. Kita tahu dalam kalangan Ahli Parlimen PKR sekarang pun ramai penyokong kuat beliau. Kemungkinan minggu depan atau seminggu dua lagi, beberapa pemimpin PKR lagi akan mengikut jejak langkah tersebut,” ujar beliau dengan yakin.

Amaran Kepada UMNO & BN: Jangan Terperangkap!

​Walaupun UMNO kini dilihat menerima kemasukan ahli baharu secara mendadak impak daripada retaknya PH, Dr. Norman memberi amaran keras agar UMNO dan BN tidak leka atau terperangkap dengan situasi selesa ini.

​Rakyat katanya, sudah muak dengan ‘politik sepanjang masa’ dan pasti akan menolak mana-mana pemimpin yang hanya muncul atau turun padang ketika musim pilihan raya sahaja.

​”UMNO dan BN perlu terus bekerja keras mendampingi pengundi bagi mengembalikan keyakinan mereka. Mereka perlu membuktikan bahawa BN adalah parti yang mempunyai rekod prestasi (track record) yang terbukti mampu mentadbir negara dengan baik, harmoni, dan mempunyai hala tuju masa depan yang jelas,” tambahnya lagi.

#PolitikMalaysia #RafiziRamli’#PRU16 #UMNOBangkit #BeritaAAC

AMPANG – UMNO Bahagian Ampang menegaskan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya, termasuk bersedia bertarung habis-habisan sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak lagi berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

​Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim berkata, jentera parti di peringkat akar umbi termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah pun digerakkan dan berada dalam mod bersiap sedia pada bila-bila masa sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.

​Mengulas mengenai dinamika politik tempatan, beliau melihat situasi semasa memberikan kelebihan kepada UMNO, khususnya melibatkan isu kedudukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang merupakan Ahli Parlimen Pandan—kawasan yang berjiran dengan Ampang.

​Menurut Mohamed Nadzim, spekulasi perpindahan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke kawasan tersebut dilihat bakal mencetuskan pertembungan sengit, selain mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah buntu untuk menentukan kerusi yang sesuai buat Tengku Zafrul.

​”Satu pertembungan akan berlaku di antara Zafrul dengan Rafizi. Sebelum ini, Zafrul masuk ke sini (Ampang). Jadi PKR ini tak tahu nak letak Zafrul ini kat mana, nak lawan dengan siapa dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


​Tambah beliau lagi, situasi dalaman PKR juga dilihat mempunyai dinamika tersendiri apabila mendakwa wujudnya perbezaan kem di antara pemimpin utama mereka.

​”Kena pula, saya difahamkan YB Rodziah (Ahli Parlimen Ampang) ini bukan bersama dengan kem Anwar, tetapi bersama dengan Rafizi. Jadi pandangan saya, sekiranya kami bukan lagi dalam Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional akan bertanding dalam macam mana sekalipun. Bring it on lah! Apa-apa pun kita akan lawan,” tegas beliau.


​Mohamed Nadzim turut menambah bahawa UMNO Ampang tidak pernah gentar menghadapi saingan politik kerana parti itu telah lama menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat, biarpun ketika berada dalam fasa dinamika politik yang berubah-ubah.

​”Empat hingga lima tahun walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, kami ada fungsi kami sebagai UMNO. Jadi whatever it is, kami bersedialah. Insya-Allah, jentera pun dah ready,” katanya lagi.

#PolitikMalaysia #UMNOAmpang #RafiziRamli #TengkuZafrul #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Isu kelewatan pemulangan gajah-gajah khazanah negara, Dara Amoy dan Kelat, yang kini berada di Zoo Teknologi Osaka, Jepun, semakin meruncing apabila pihak aktivis sosial mengancam untuk membawa kempen kesedaran ini ke pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar meluahkan rasa kesal dan menyifatkan penjelasan serta janji yang diberikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian, di bawah pimpinan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sebelum ini hanyalah sebuah ‘sandiwara’ yang berpanjangan.

​Menurut beliau, walaupun pihak kementerian dan Ketua Setiausaha (KSU) telah memberikan taklimat serta menyatakan komitmen untuk menyegerakan proses membawa pulang haiwan tersebut demi memenuhi kehendak rakyat, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan muktamad yang dicapai.

​”Sandiwara ini masih berpanjangan. Sekarang dah masuk musim pilihan raya negeri di Johor, dan ia belum juga berhenti. Saya sendiri akan turun ke Johor untuk berkempen di mana-mana kawasan yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mesej kami jelas: bawa balik gajah dulu, baru bertanding,” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai kronologi usaha berkenaan, Dr Kalaivanar mendedahkan rombongan mereka bersama Puan Izwana sebelum ini pernah dipelawa oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, untuk ke Tebrau bagi menyerahkan memorandum penyelidikan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Walau bagaimanapun, beliau mendakwa pertemuan tersebut seolah-olah dipandang sepi tanpa sebarang tindakan susulan yang konkrit, meskipun pihaknya tidak menuntut sebarang peruntukan kewangan atau dana daripada mana-mana kementerian.

​Beliau turut mempersoalkan kekeliruan status perjanjian antara Malaysia dan pihak Jepun apabila timbul percanggahan kenyataan antara pihak kementerian dan pengurusan zoo tempatan. Menteri sebelum ini menyatakan urusan tersebut adalah berbentuk ‘Perniagaan kepada Perniagaan’ (B2B), manakala Yang Dipertua (YDP) Zoo Taiping, Tuan Akmal, menjelaskan ia adalah urusan ‘Zoo kepada Zoo’.

​”Jika ia sekadar urusan ‘Zoo kepada Zoo’, ini bermakna ia bukan komitmen mutlak G2G (Kerajaan kepada Kerajaan). Jadi, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mengambil inisiatif dan mengeluarkan arahan segera bagi membawa pulang gajah-gajah tersebut. Persoalannya, kenapa mereka enggan bertindak? Apakah ada ‘imbuhan’ di sebalik semua ini?” soalnya lagi.

​Tambah Dr Kalaivanar, pendedahan mengenai kesengsaraan gajah-gajah tersebut di Osaka telah mendapat simpati meluas rakyat Malaysia di media sosial sehingga ada yang meluahkan rasa tidak senang melihat keadaan haiwan tersebut. Beliau turut merujuk kepada kes gajah Asia dari India, Rani Hiroko, yang dihantar ke Jepun pada tahun 1972 dan akhirnya mati dalam kesendirian pada tahun 2018, menyebabkan India menghentikan terus penghantaran gajah ke negara tersebut.

​Memandangkan terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk menyelesaikan kemelut perjanjian 25 tahun ini melalui jalan perundangan yang dikhuatiri memakan masa bertahun-tahun, beliau menegaskan bahawa pihaknya kini beralih arah untuk memohon intervensi daripada institusi beraja.

​”Kita tidak mahu kes ini diheret sampai 3 ke 4 tahun menggunakan peguam sementara nasib haiwan tersebut terbiar. Harapan terbaik kita sekarang adalah ‘Payung Kuning’. Kami berhasrat untuk menghadap ke Istana Perak bagi memohon pembelaan demi menyelamatkan khazanah negara ini sebelum keputusan PRN Johor dimuktamadkan,” katanya menutup bicara.

#SelamatkanGajahKita #KembalikanKhazanahNegara #SuaraRakyatAAC #DatoKalaivanar #PRNJohor2026