Editors Pick

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Hubungan kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada di ambang keretakan yang serius, menyamai fasa tuntutan ‘harta sepencarian’ selepas melalui proses perceraian politik.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan masa depan gabungan tersebut yang disifatkannya sebagai penuh dengan tanda tanya selepas PAS didakwa telah menemui “isteri baru” yang dikenali sebagai Wawasan.

​Menurut beliau, kedua-dua kem kini sedang bertegas mempertahankan locus standi masing-masing ke atas aset gabungan yang dibina sepanjang enam tahun perkongsian politik mereka.

​”Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah ciptaan mereka, manakala PAS pula menegaskan bahawa kekuatan jentera PN datangnya daripada mereka. Masing-masing saling tuduh-menuduh tentang siapa yang lebih berhak,” katanya.

​Perombakan Struktur PN & Pemecatan Pemimpin Utama

​Suasana politik dalam PN dilaporkan semakin parah susulan tindakan terbaharu semalam di mana Pengerusi PN didakwa telah memecat dua tokoh kuat Bersatu, iaitu YB Radzi Jidin dan YB Azmin Ali daripada jawatan mereka.

​Tindakan itu dilihat meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) ‘keseorangan’ dalam struktur organisasi tertinggi PN tanpa sokongan orang kuatnya. Gulam turut meramalkan entiti ‘Wawasan’ bakal menyertai PN sebagai ahli gabungan baharu dalam masa terdekat, sekaligus mencetuskan perbalahan baharu sekiranya Bersatu memilih untuk terus kekal.

​Bersatu Digesa Fokus Gabungan IPR, Sifatkan Impian Ganti UMNO ‘Angan-Angan Mat Jenin’

​Mengulas lanjut, Gulam menasihatkan Bersatu agar tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap PN dan menyamakan situasi parti itu seperti “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”.

​Beliau menyarankan agar Bersatu mengalihkan fokus sepenuhnya kepada “kekasih baru” mereka, iaitu Gabungan IPR yang ditubuhkan pada Oktober 2025, yang dilaporkan dianggotai oleh 11 parti politik termasuk Pejuang, Berjasa, Urimai, dan Putra.

​”Ambil iktibar dari pepatah Melayu, ‘bercinta pada yang sudi, berkasih pada yang sayang, berbudi pada yang setia’ kerana kesetiaan itu mahal.

​”Nampaknya cita-cita Bersatu untuk menggantikan UMNO kini hanya ibarat angan-angan Mat Jenin,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

#PerikatanNasional #PolitikMalaysia2026 #PASvsBersatu #HartaSepencarianPN #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara ‘go solo’ atau sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negeri, selain memberi bayangan bahawa terdapat strategi luar aturan yang sedang dirancang.

​Menurut Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharudin Aziz, tindakan yang diumumkan oleh Pengerusi BN UMNO Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi itu menunjukkan bahawa Menteri Besar Johor tersebut berkemungkinan mempunyai penilaian tersendiri yang tidak diketahui umum.

​”Saya rasa Menteri Besar Johor tahu sesuatu yang kita rakyat biasa ini tak tahu. Kenapa dia pergi solo? Dia sahaja yang tahu,” katanya ketika mengulas mengenai hala tuju politik bloc berkenaan baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Dr. Baharudin menjelaskan bahawa model Kerajaan Perpaduan (Madani) yang menggabungkan UMNO, BN, dan parti-parti lain setakat ini hanyalah termaktub di peringkat Persekutuan (Federal).

​Jelas beliau, tiada sebarang ketetapan atau titah nasihat yang mewajibkan formula politik yang sama dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.

​”Jadi untuk negeri, tak ada pun titah nasihat Tuanku yang mengatakan di peringkat negeri pun perlu ada dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini. Sebab itu tidak ada masalah (untuk bergerak solo),” ujar beliau lagi.

​Beliau turut menyifatkan keputusan drastik itu sebagai satu langkah dan strategi yang sangat baik serta dinamik dalam usaha memastikan kestabilan serta kemajuan masa depan Johor.

​”Mungkin dia lihat itu satu pendekatan dan strategi yang baik untuk memacu negeri Johor ke tahap yang lebih baik di masa hadapan, moving forward,” tambahnya.

#BNJohorGoSolo #OnnHafizGhazi #PolitikJohor #PRNJohor #AACNews

​KUALA LUMPUR – Lambakan parti politik berasaskan orang Melayu yang wujud ketika ini hanya akan mengelirukan rakyat serta melemahkan kedudukan kaum majoriti dan umat Islam di negara ini.

​Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menzahirkan rasa kesal dan sedih dengan landskap politik semasa yang menyaksikan perpecahan ketara, terbaru dengan peralihan kumpulan ‘RESET’ yang kini menubuhkan pula parti serpihan baharu dikenali sebagai ‘WAWASAN’.

​Beliau membuat perbandingan dengan komuniti bukan Melayu yang dilihat lebih fokus dan hanya mempunyai sekitar empat parti utama seperti DAP, Gerakan, MCA, dan MIC.

​”Kalau kita tengok dalam kalangan orang Melayu ni, dia terlampau banyak sangat parti. Jadi, rakyat kadang-kadang tu dia keliru, bercelaru, mereka pun tak tahu yang mana satu nak pilih.

​”Bila terlampau banyak, kita nak jaga orang kita pun kita tak boleh. Nanti orang ni mendakwa ini kumpulan dia, ini kumpulan dia. Akhirnya orang lain tengok, mereka tepuk tangan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Syed Azmi menegaskan bahawa sebagai sebuah negara Islam, kekuatan politik orang Melayu seharusnya diperkukuhkan dan bukannya terus dipecah-belahkan dengan agenda peribadi.

​Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin atasan parti-parti Melayu untuk mengetepikan ego, duduk semeja, dan menunjukkan kematangan politik demi masa depan bangsa.

​Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang ‘berjiwa besar’ melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

​”Saya menyerulah kepada semua pemimpin-pemimpin atasan, terutamanya yang di atas-atas ni, duduk berbincanglah. Di mana kita ni kena ada berjiwa besar.

​”Berjiwa besar seperti mana Presiden UMNO… beliau buat ‘Rumah Bangsa’, panggil balik yang lama-lama ni masuk balik, duduk bersama-sama untuk kita memperkukuh dan memperkuatkan lagi orang Melayu dan orang Islam kita,” ujarnya lagi.

#PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #Alumni4B #RumahBangsa #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, digesa untuk tidak bersikap acuh tidak acuh atau ‘lepas tangan’ berhubung dakwaan kes rasuah melibatkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular baru-baru ini.

​Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyelar kenyataan Anthony Loke yang meminta pengadu mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap rakyat marhaen.

​Menurut beliau, insiden yang dilaporkan berlaku pada 9 Jun 2026 itu membabitkan seorang pemandu e-hailing yang mendakwa diminta suapan sebanyak RM2,000 oleh anggota JPJ sebelum “dikurangkan” kepada RM800, di mana transaksi tersebut didakwa berlaku di dalam tandas sebuah stesen minyak BHP berhampiran Dewan Bahasa dan Pulstaka (DBP).

​”Tandas itu biasanya tempat buang air kecil dan air besar. Tapi sekarang tandas juga jadi ‘port’ untuk mengagihkan rasuah, saya percaya. Ini bukan saya kata, ini laporan Harian Metro,” katanya dalam satu kenyataan media.

​Mana Perginya Kamera Badan (Bodycam)?

​Mengulas lanjut, Dr. Kalaivanar mempersoalkan keberkesanan penggunaan kamera badan (bodycam) dalam kalangan anggota penguat kuasa JPJ yang dibiayai menggunakan jutaan ringgit dana cukai rakyat.

​”Saya nak tanya kepada Anthony Loke, mana kamera itu? Awak cakap orang telus, betul. Berjuta duit digunakan daripada cukai rakyat untuk beli kamera bagi penjawat awam dan penguatkuasa JPJ. Mana kamera (rakaman) tersebut?” soal beliau.

​Beliau menambah, menteri sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Kifli, bagi memanggil anggota yang bertugas pada hari kejadian dan memeriksa rakaman video atau sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi premis berkenaan.

​”Guna Otak, Jangan Guna Lutut”

​Dr. Kalaivanar turut menyifatkan respons Anthony Loke yang sekadar meminta mangsa ke SPRM sebagai satu tindakan yang kasar dan tidak mesra rakyat, terutama apabila melibatkan pemandu e-hailing yang merupakan golongan pekerja biasa.

​”Anthony Loke sebagai menteri kena pakai otak, jangan pakai lutut. You kena panggil bos dia, panggil orang JPJ itu, tanya siapa pegawai yang bertugas. Ini pula macam samseng berkata, ‘eh pergi SPRM, eh pergi SPRM’. Bapak punya government ke ini?” bidasnya lagi.

​Di akhir kenyatannya, beliau turut memberikan amaran politik yang keras kepada Anthony Loke dan parti pimpinannya, dengan mengingatkan prestasi pilihan raya mereka sebelum ini.

​”Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga Anthony Loke. Awak tak cukupkan 8 kerusi lingkup di Sabah. Sekarang semenanjung… we are coming there, Anthony Loke,” tegas beliau.

#BeritaAAC #AnthonyLoke #RasuahJPJ #PemanduEhailing #DatoDrKalai

​KUALA LUMPUR, 17 Jun 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) bersama sekumpulan pengusaha lori dari seluruh negara hari ini mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengkaji semula pemotongan mendadak kuota subsidi diesel yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

​Aktivis Sosial SBKN, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan, tindakan mengurangkan subsidi diesel daripada 3,999 liter kepada hanya 1,200 liter sebulan bagi lori berkapasiti 5 dan 10 tan telah menjejaskan rantaian industri logistik negara serta mengancam kelangsungan hidup para pengusaha lori.

​Menurut beliau, dengan harga diesel semasa mencecah RM4.67 seliter, jumlah kuota baharu itu hanya membolehkan lori beroperasi sekitar 7 hari sahaja berbanding tempoh biasa iaitu 26 hari sebulan.

​”Jika kuota subsidi ini habis, pengusaha terpaksa memakirkan lori mereka. Persoalannya, siapa yang akan membayar ansuran bank untuk lori, rumah, cukai pendapatan, gaji pemandu, dan perbelanjaan sara hidup keluarga serta pendidikan anak-anak mereka?

​”Jangan disebabkan kegagalan mengawal ketirisan dan kecurian diesel, pengusaha lori tempatan pula yang menjadi mangsa dan dibebankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

​Kesal Menteri Didakwa ‘Kurang Turun Padang’ Di Semenanjung

​Dalam kenyataan sama, Dr. Kalaivanar turut meluahkan rasa kesal terhadap Menteri KPDN, YB Datuk Armizan Mohd Ali yang didakwa kurang meluangkan masa untuk turun padang melihat sendiri penderitaan pengusaha lori di kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya di Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Johor.

​Beliau turut memetik nama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan mengingatkan kepimpinan Kerajaan Madani agar tidak melupakan jasa golongan pemandu serta pengusaha lori yang pernah memberikan sokongan padu semasa Pilihan Raya Umum lalu.

​Turut hadir memberikan sokongan moral dalam sidang media tersebut adalah barisan pengusaha lori merangkumi pelbagai latar belakang kaum termasuk Encik Hiran Singh, Encik Parwin, Mr. Guna, Encik Hamim, dan Encik Hakim.

​Amaran 7 Hari Guna Budi Bicara

​Bagi mengelakkan implikasi yang lebih buruk terhadap ekonomi negara—termasuk risiko lumpuhnya sektor pengangkutan barang sekiranya pengusaha bertindak menghentikan operasi secara besar-besaran—SBKN memberikan tempoh selama tujuh (7) hari kepada pihak kementerian untuk tampil dengan jalan penyelesaian.

​”Kami bukan berniat mengancam atau memberi amaran keras, tetapi ini adalah rayuan dan tuntutan demi periuk nasi rakyat marhein. Kami mohon budi bicara menteri untuk mengkaji semula perkara ini secara profesional dan mengembalikan kuota subsidi sedia kala demi kesejahteraan bersama,” tambah beliau.

#SubsidiDiesel #PengusahaLoriMerana #KPDN #MenteriTidur #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2026 – Hasrat seorang beliawanis tempatan untuk menyahut seruan kerajaan dalam menceburi bidang pertanian bertukar menjadi igauan ngeri selepas beliau mendakwa digertak dan diugut oleh seorang ‘samseng’ tempatan yang menguasai tanah di kawasan sekitar Johan Setia, Klang.

​Mangsa, Shalini Ramachandran, 25, yang telah mengusahakan perniagaan nurseri tanaman sejak berusia 21 tahun, mendakwa kawasan tanah rizab di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Highlands yang dibersihkannya secara sah untuk permohonan projek pertanian, telah diganggu oleh individu tidak bertanggungjawab.

​Isu berkenaan mendapat perhatian Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) melalui Aktivis Sosialnya, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang tampil membongkar salah laku impak sosial tersebut dalam satu sidang media hari ini.

​Kronologi Gangguan dan Ugutan ‘Monyet Tak Ada Ekor’

​Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, mangsa telah mengikut saluran profesional dengan memohon lot tanah seluas hampir dua ekar di bawah kabel pembekal tenaga (TNB) mengikut syarat-syarat parlimen yang membenarkan tanah kontang diusahakan dengan tanaman rendah (bawah 1.8 meter).

​Bagaimanapun, sejurus selepas kawasan semak samun tersebut dibersihkan demi penilaian pihak berkuasa, mangsa menerima ugutan melalui kenalannya.

​”Samseng itu mengugut mangsa dan menyatakan dalam masa tiga hari, mangsa akan dihalau keluar. Malah, individu terbabit secara berani menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Gunaraj untuk menakut-nakutkan mangsa.

​Namun apabila mangsa sendiri merujuk kepada YB Gunaraj, wakil rakyat tersebut menegaskan beliau langsung tidak tahu-menahu dan tidak terlibat dengan cubaan rampasan tersebut,” tegas Dr. Kalaivanar.

​Skandal Tanah Johan Setia: Warga Asing Jadi ‘Raja’, Ejen Tempatan Kutip Hasil

​Lebih mengejutkan, SBKN mendakwa individu samseng yang sama dipercayai telah memonopoli kawasan tanah pertanian yang sangat luas di Johan Setia dan menyewakannya secara haram kepada lambakan warga asing—sekaligus mengaut keuntungan atas angin setiap bulan.

​Tinjauan mendedahkan seawal jam 4.30 pagi hingga 6.30 pagi, lambakan warga asing (termasuk warga Bangladesh) dikesan telah menguasai sepanjang jalan Johan Setia untuk menurunkan dan menyusun hasil sayur-sayuran, seolah-olah mereka adalah ‘pemilik’ sah ekonomi kawasan tersebut.

​Meskipun aduan dalam talian telah dibuat sebelum ini dan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pernah turun melakukan pemeriksaan, tiada sebarang tindakan konkrit atau tangkapan dibuat ke atas dalang/ejen tempatan yang mengamalkan perniagaan ala ‘Alibaba’ ini.

​Persoalan Tindakan Drastik PTG Kelang: Siapa Dalang Sebenar?

​SBKN turut mempersoalkan integriti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Klang serta Majlis Perbandaran yang bertindak pantas meletakkan ‘tali kuning’ (seal) serta-merta bagi menghalang struktur nurseri beliawanis tersebut, sedangkan binaan kekal (permanent structure) yang dibina secara haram oleh pihak samseng di atas tanah rizab TNB berhampiran dibiarkan tanpa tindakan roboh.

​”Di Kuala Selangor, tanaman beliawanis ini habis dimusnahkan monyet ber ekor. Di Klang pula, dia diganggu oleh ‘monyet tak ada ekor’ (samseng).

​Kita hairan kenapa PTG begitu cepat bertindak menyekat anak tempatan yang mahu berniaga secara sah, tetapi memejamkan mata terhadap struktur haram milik samseng tempatan yang menggaji warga asing?” soal Dr. Kalaivanar lagi.

​Tempoh 7 Hari Diberikan Kepada Pihak Berkuasa

​Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa hari ini, SBKN memberikan tempoh tujuh (7) hari kepada pihak berkuasa termasuk Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Dato’ Luqman, OCPD kawasan, Ketua Polis Negeri Selangor, serta Pentadbir Tanah Klang untuk:

​Menangkap dan menyiasat individu samseng yang membuat ugutan jenayah di bawah Seksyen 506/507 Kanun Keseksaan.

​Merobohkan semua struktur binaan haram milik samseng di atas tanah rizab.

​Melakukan operasi pembersihan besar-besaran terhadap warga asing tanpa dokumen sah di Johan Setia yang menjalankan perniagaan secara haram.

#KeadilanUntukShalini #SamsengTanahKlang #GempurWargaAsing #IntegritiPTG #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026  – Di sebalik kesibukan ibu kota, terdapat sebuah warung kecil tepi jalan di Lorong 5 Titiwangsa yang menyimpan kisah penyatuan masyarakat berbilang bangsa melalui sekadar segelas minuman.

​Kedai Teh Halia Mr. Maniam, yang mula dibuka sejak tahun 1985, kini menjadi tumpuan warga kota dari segenap pelosok seperti Gombak, Cheras, Kepong, malah sejauh Karak, Pahang. Bersesuaian dengan usianya yang mencecah 41 tahun, keunikan teh halia yang dihasilkan secara tradisional menggunakan halia segar yang direbus terus di dalam periuk menjadi kegilaan ramai.

​Aktivis Sosial yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar menyifatkan kedai ini sebagai simbolik keharmonian tulen masyarakat Malaysia yang sukar dicari ganti.

​”Sini udara yang kita sedut tak kenal bangsa, agama, warna kulit. Begitu juga air yang kita minum. Kedai ni untuk semua masyarakat. Kita tengok sini ada orang Melayu, Cina, India… semua ada. Sekali kena, mahu lagi,” ujar beliau ketika ditemui media baru-baru ini.

​Pemiliknya, Mr. Maniam yang kini berusia 80 tahun, secara rendah diri menyatakan bahawa resipi kegemaran ramai itu bukanlah satu rahsia besar sebaliknya rezeki yang dikurniakan kepadanya.

​”Oh ini Tuhan kasi sama saya. Itu juga saya boleh cakap. Ini kira boleh cakap satu Malaysia, Muhibbah. Semua bangsa ada… Cina, Melayu, India, Benggali, Singh, semua ada,” kata Uncle Maniam yang mengakui kedainya menggunakan sehingga 10 kilogram halia sehari.

​Tinjauan media di lokasi mendapati para pelanggan setia sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menikmati minuman ikonik ini.

​Seorang pelanggan dari Gombak, Mustafa Kamal, mendedahkan dia telah mengunjungi kedai tersebut selama lebih 15 tahun dan sanggup menghabiskan dua gelas setiap kali datang.

​”Tempat lain tak ada macam ni. Dekat Gombak tu tak ada… pakai botol bubuh dalam serbuk tu je. Sini saja yang fresh, dia rebus dalam periuk. Memang tak boleh lawan tempat lain,” katanya.

​Bagi Kak Liza dari Cheras pula, dia mengenali kedai ini sejak tahun 1996 melalui suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi. “Teh halia dia memang sedap sebab dia buat sendiri. Suasana pun santai, berbilang bangsa semua ada kat sini. Kami seronok,” kongsinya penuh ceria.

​Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Ah Chai dari Kepong yang menyatakan dia tidak pernah terlepas untuk datang setiap petang, manakala Prakash dari Selayang menegaskan kualiti teh halia di sini jauh berbeza dengan kedai mamak biasa kerana keaslian bahan utamanya yang didaratkan terus dari Pahang. Lebih menarik, ada pelanggan dari Karak yang menjadikan kedai ini sebagai destinasi wajib singgah setiap kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

​Selain teh halia, kedai berkonsepkan nostalgia era 80-an dan 90-an ini turut menghidangkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti pulut panggang, karipap, ketayap, cokodok, serta makanan ruji rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan mi hoon.

​Bagi anda yang ingin merasai sendiri penangan teh halia ‘kow’ legendaris ini, kedai Uncle Maniam dibuka setiap hari di Lorong 5 Titiwangsa dan hanya ditutup pada sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Deepavali.

#BeritaAAC #TehHaliaManiam #Titiwangsa #KedaiLegend

​KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan taktik licik seorang individu yang tergamak memperdaya lima mangsa membabitkan sindiket penipuan pembelian lot tanah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM100,000.

​Lebih mengecewakan, kes yang berlarutan sejak sedekad lalu itu didakwa masih belum menerima tindakan sewajarnya daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), meskipun laporan polis telah dibuat sejak tahun 2018.

​Diperdaya Guna Firma Guaman Sebagai Umpan

​Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Bin Hashim mendedahkan, mangsa mula didatangi suspek berbangsa Melayu pada tahun 2016 yang menawarkan lot tanah di sekitar daerah berkenaan. Bagi meyakinkan mangsa, proses menandatangani perjanjian jual beli dilakukan secara rasmi di dalam pejabat sebuah firma guaman.

​”Mangsa yakin kerana transaksi disaksikan dan ditandatangani di hadapan peguam. Mereka diarahkan membayar wang pendahuluan, diikuti bayaran ansuran bulanan terus ke akaun peribadi suspek sehingga selesai,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

​Bagaimanapun, helah suspek mula terbongkar apabila mangsa meminta proses pertukaran nama dilakukan di pejabat tanah selepas pembayaran penuh dibuat. Suspek mula memberikan pelbagai alasan tidak munasabah, selain nama di dalam geran tanah tersebut disyaki bertindih dan telah dijual kepada beberapa pembeli lain.

​Laporan Polis Sejak 2018 ‘Sepi’ Tanpa Maklum Balas

​Menjelaskan garis masa kes, mangsa mengambil masa dua tahun untuk melunaskan ansuran sebelum menyedari mereka ditipu dan bertindak membuat laporan polis pada tahun 2018.

​MHO menegaskan, mereka kesal dengan ketiadaan tindakan drastik daripada pihak berkuasa tempatan dalam mengendalikan isu ini, walaupun mangsa sudah menggunakan saluran undang-undang yang sah.

Tindakan Mangsa: Mengeluarkan surat di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah melalui peguam lantikan sendiri untuk status kes.

Status Terkini: Tiada sebarang maklum balas atau perkembangan kes diterima daripada pihak PDRM sehingga kini.


​MHO Tuntut Siasatan Menyeluruh PDRM

​MHO yang komited memperjuangkan hak asasi dan khidmat guaman sejak 2016, mendesak agar pihak PDRM tidak memandang enteng nasib yang menimpa rakyat marhaen ini.

​”Tujuan sidang media hari ini bersama wakil mangsa adalah untuk memohon pihak PDRM mengambil langkah sewajarnya. Satu siasatan yang menyeluruh mesti dilakukan terhadap individu tidak bertanggungjawab ini demi menegakkan keadilan,” tegas Dato’ Hishamuddin.

​AAC sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pihak PDRM kontinjen Pulau Pinang berhubung dakwaan kelewatan siasatan kes ini.

#SkandalTanah #MHO #KeadilanRakyat #PolisDirajaMalaysia

​KUALA LUMPUR, 13 Jun 2026 – Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan digesa untuk menghentikan naratif lapuk mencari kesalahan pihak lain, sebaliknya memfokuskan kepada kelebihan calon dan realiti yang dimahukan oleh rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

​Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh menegaskan bahawa pendekatan politik matang dan bijaksana amat diperlukan bagi menjamin keharmonian pentadbiran, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu sensitif yang melibatkan institusi istana dan undang-undang.

​Menurut beliau, keputusan yang diambil oleh UMNO sebelum ini bukanlah tindakan meluru, sebaliknya telah dikaji secara mendalam memandangkan krisis di negeri tersebut telah berlanjutan selama lebih setahun setengah.

​”Bagi pandangan saya, kita berpolitik ini tidak payahlah mencari salah sebab kita pun bersama (dalam kerajaan). Seeloknya kita cerita pasal kelebihan calon-calon kita sahaja.

​”Untuk kita mentadbir secara bijaksana di Negeri Sembilan ini, ia kena ada toleransi, perbincangan, dan keharmonian untuk menjernihkan apa sahaja yang terjadi. Kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) selama ini adalah mengambil langkah berbincang, bukannya menyelesaikan masalah dengan pertengkaran atau menunjukkan kuasa,” katanya.

​Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan-ucapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang dilihat cuba meletakkan kesalahan kepada kepimpinan UMNO serta membina naratif negatif kononnya parti itu tamak kuasa.

​Bukan Agenda Rampas Kuasa

​Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, beliau menafikan sebarang agenda untuk merampas kuasa secara mutlak di Negeri Sembilan, memandangkan kedudukan kerusi semasa yang sedia maklum.

​”Kita tahu kedudukan kita di Negeri Sembilan, kita hanya pegang 14 kerusi dan mereka (PH) mempunyai majoriti di sana. Jadi perkara ini patut dilihat secara terbuka, bukan terus-menerus menggunakan rakyat dan meletakkan naratif negatif seolah-olah kami ini hanya mahu berkuasa,” jelas beliau.

​Sambil menyifatkan strategi politik fitnah dan janji manis sebagai perkara yang sudah ‘basi’ di mata rakyat, beliau menyeru agar semua pihak berkempen secara sihat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

​Bidas Isu Pembaziran RM90 Juta & ‘Salah Formula’

​Dalam pada itu, beliau turut membidas pihak lawan yang menggunakan isu kos pilihan raya sebanyak RM90 juta sebagai modal untuk menghasut rakyat, menyamakannya dengan situasi yang pernah berlaku di PRN Johor sebelum ini.

​”Kononnya kita membazirkan duit rakyat… Kadang-kadang kita pelik, kalau hari ini kita buat pilihan raya (kosnya) RM90 juta, tahun depan pun tetap RM90 juta. Jadi apa yang hendak dihasut kepada rakyat kononnya ia satu kerugian? Sampai tersalah formula.

​”Jadi tak perlu hasut-hasut rakyat lagilah, berhentilah,” tegasnya lagi.

​Beliau berharap agar mandat penuh diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih kepimpinan terbaik tanpa perlu dicemari dengan agenda politik yang tidak sihat.

#PRNNegeriSembilan #PolitikMatang #UMNO #BeritaAAC #IsuSemasa

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2026 – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berat dan berunsur fitnah yang dilemparkan terhadap beliau dan ahli keluarganya menerusi beberapa video yang kini tular di platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter) dan Facebook.

​Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Rosmah menegaskan bahawa beliau tidak pernah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urusan pembelian, pembiayaan, atau pemilikan mana-mana hartanah mewah. Ini termasuk dakwaan pemilikan hartanah yang kononnya bernilai USD 13 juta (RM61.3 juta).

​Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya telah membiayai atau memudahkan transaksi berkenaan bagi pihak menantunya atau mana-mana individu dan entiti lain.

​”Dakwaan yang cuba mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat ‘shell’, struktur kewangan luar negara (offshore), atau hubungan dengan mana-mana individu yang dinamakan dalam video tersebut adalah tidak berasas, palsu, dan direka secara jahat,” tegas beliau.

​Laporan Polis Telah Dibuat

​Mengambil kira impak serius dakwaan tersebut, Rosmah mengesahkan bahawa satu laporan polis rasmi telah dibuat hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dalang dan akaun media sosial yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah berkenaan.

​Beliau juga menyatakan komitmen penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang proses siasatan berlangsung.

​Tuntut Platform Media Sosial Padam Video Tular

​Selain tindakan undang-undang, Rosmah menuntut agar pengendali platform media sosial mengambil tindakan segera untuk menurunkan dan menyekat penyebaran lanjut video-video berkenaan yang disifatkannya sebagai mengelirukan, tidak bertanggungjawab, dan bertujuan merosakkan reputasinya.

​Beliau turut memberi amaran bahawa haknya untuk memulakan tindakan sivil dan jenayah terhadap mana-mana pihak yang terus berkongsi atau menyebarkan kandungan fitnah tersebut adalah terpelihara.

​Di akhir kenyataan, Rosmah menyeru orang ramai dan pihak media agar bertindak dengan penuh tanggungjawab, tidak menularkan kandungan yang tidak sahih, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.

#RosmahMansor #FitnahMediaSosial #LaporanPolis #BeritaSemasa #MediaAAC