
NILAI , 23 Julai 2026 — Melangkah masuk hari keenam kempen PRU/PRN, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N10 Nilai, Alan Lai menyatakan kesediaan penuh bersama jentera kempennya untuk merampas semula kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut Alan Lai, meskipun menyedari cabaran besar memandangkan DUN Nilai telah dikuasai PH selama tiga penggal berturut-turut, beliau optimis semangat dan kesatuan jenteranya mampu memberi saingan sengit pada pilihan raya kali ini.
”Hari ini sudah masuk hari keenam tempoh berkempen. Persiapan kami sudah bersedia dan jentera pasukan saya bergerak sangat aktif untuk berkempen.
”Memang ini satu cabaran yang besar (merampas kerusi tiga penggal PH), tetapi saya yakin dengan pasukan kempen yang bersatu hati dan bersemangat, kita ada peluang yang baik untuk memenangi kerusi DUN Nilai,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai latar belakang dan kelebihannya berbanding calon-calon lain, Alan menekankan statusnya sebagai anak tempatan serta latar belakang profesionalnya dalam bidang kejuruteraan dan pemajuan perumahan.
”Saya lahir dan membesar di sini. Selepas menuntut di universiti, saya kembali dan bekerja serta mengusahakan perniagaan di sini. Saya faham apa yang diperlukan oleh rakyat di Nilai.
”Dengan latar belakang kejuruteraan dan pengalaman sebagai pemaju, keperkasaan saya adalah dalam bidang merancang. Saya yakin boleh membawa dan merancang DUN Nilai menjadi sebuah bandar yang lebih moden, maju, majmuk, dan sejahtera,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alan turut menggariskan empat manifesto utama yang akan diberi tumpuan sekiranya diberi mandat oleh pengundi DUN Nilai:
Pembangunan Inklusif: Membangunkan Nilai menjadi bandar moden, majmuk, dan sejahtera.
Kesejahteraan Rakyat: Memperkasakan inisiatif kesejahteraan dan kebajikan penduduk tempatan.
Kecekapan Perkhidmatan: Memperkukuh kecekapan penyampaian agensi-agensi kerajaan.
Pendidikan & Generasi Muda: Melabur dalam bidang pendidikan untuk membina generasi muda yang berbakat dan berdaya saing.
Mengakhiri temubual, Alan Lai menyeru seluruh pengundi dan penduduk di DUN N10 Nilai agar memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya pada hari pembuangan undi kelak.
#DUNNilai #AlanLai #PRNNS #BarisanNasional #BeritaAAC
