Day: March 12, 2026

KUALA LUMPUR, 12 March 2026 – Satu kes melibatkan tuntutan insurans pinjaman perumahan (MRTA) bagi seorang lelaki dikenali sebagai Tamil Selvam mencetuskan persoalan apabila keluarga mangsa mendakwa tidak pernah menerima laporan perubatan punca kematian, namun pihak bank didakwa berjaya membuat tuntutan insurans tersebut.

Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, berkata perkara itu menimbulkan tanda tanya besar mengenai bagaimana pihak bank didakwa memperoleh dokumen berkaitan punca kematian sedangkan waris sendiri tidak pernah menerima laporan tersebut.

Menurut beliau, Tamil Selvam meninggal dunia pada 2 Januari 2019, manakala adiknya Kumugah telah meninggal dunia lebih awal pada tahun 2014. Rumah yang menjadi pertikaian itu sebelum ini dibeli oleh kedua-dua individu berkenaan.

Selepas kematian Tamil Selvam, waris keluarga cuba berurusan dengan pihak bank bagi menuntut hak berkaitan pinjaman perumahan yang dilindungi oleh insurans MRTA.

Namun menurut Dr Kalaivanar, pihak bank dan syarikat insurans ketika itu memaklumkan bahawa tuntutan tidak boleh dibuat kerana punca kematian mangsa masih berada dalam status “pending investigation”.

“Waris diberitahu tidak boleh membuat tuntutan kerana kematian masih dalam siasatan. Tetapi persoalannya, bagaimana pihak bank boleh membuat tuntutan insurans dan menerima bayaran?” katanya.

Beliau mendakwa pihak bank telah membuat tuntutan terhadap insurans dan menerima bayaran kira-kira RM146,720 pada Ogos 2021, malah jumlah tuntutan keseluruhan yang didakwa dibuat mencecah RM423,971.58.

Dr Kalaivanar turut menunjukkan satu surat daripada pihak hospital bertarikh 29 Ogos 2022, yang menurutnya menyatakan bahawa hospital tidak pernah menyerahkan laporan perubatan berkaitan punca kematian kepada mana-mana pihak ketiga.

“Jika hospital sendiri menyatakan laporan tidak pernah diberikan kepada pihak ketiga, bagaimana pihak bank boleh membuat tuntutan insurans berdasarkan laporan tersebut?” soal beliau.

Selain itu, keluarga mangsa turut mendakwa mereka tidak dimaklumkan bahawa rumah berkenaan telah dilelong sehingga seorang pembeli datang ke rumah dan memaklumkan bahawa hartanah tersebut telah dibeli melalui proses lelongan.

Kakak kepada mendiang Tamil Selvam, Tamil Selvi, berkata keluarga hanya mengetahui perkara itu apabila individu yang membeli rumah tersebut datang dan meminta mereka mengosongkan kediaman berkenaan.

“Kami langsung tidak diberitahu rumah ini telah dilelong. Tiba-tiba pembeli datang dan suruh kami keluar dari rumah,” katanya.

Beliau turut mendakwa pihak keluarga sebelum ini telah cuba membuat bayaran kepada bank, namun dimaklumkan bahawa sebarang urusan tidak boleh dilakukan sehingga laporan perubatan rasmi diperoleh.

Susulan itu, Kalaivanar menggesa pihak Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada unsur salah laku atau penyelewengan dalam kes tersebut.

Beliau juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk institusi berkaitan sekiranya isu berkenaan tidak diberikan penjelasan yang sewajarnya.

“Keluarga ini menuntut keadilan dan penjelasan. Jika tiada tindakan diambil, kami akan terus membawa perkara ini kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi,” katanya.

#BeritaAAC #IsuBankMalaysia #KeadilanUntukWaris #KesMRTA #IsuRumahLelong #SiasatBank #Kalaivanar #IsuInsurans #HakWaris #MalaysiaNews

default

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sebuah organisasi pemberi pinjam wang tidak berlesen atau Ah Long yang didakwa aktif menjalankan kegiatan pemerasan dan ugutan di sekitar Lembah Klang.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata perkara tersebut terbongkar selepas seorang aktivis pertubuhan itu menemui sebuah telefon pintar yang dipercayai milik ejen kepada sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Menurut beliau, telefon tersebut ditemui selepas satu kejadian di kediaman seorang mangsa di kawasan Segambut, di mana beberapa individu dipercayai ejen Ah Long telah datang untuk menuntut bayaran hutang.

“Apabila aktivis MHO tiba di lokasi, perbincangan telah diadakan bersama ejen-ejen tersebut. Namun mereka secara tiba-tiba melarikan diri apabila diajak untuk meneruskan perbincangan di balai polis,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam kekalutan tersebut, aktivis berkenaan menemui sebuah telefon pintar yang dipercayai milik salah seorang ejen terbabit.

Menurut beliau, niat asal aktivis tersebut hanyalah untuk memulangkan semula telefon berkenaan kepada pemiliknya, namun selepas pemeriksaan dibuat bagi mengenal pasti pemiliknya, mereka menemui pelbagai bahan yang didakwa berkaitan kegiatan jenayah.

“Hasil semakan terhadap telefon itu mendapati terdapat banyak gambar, video serta maklumat berkaitan aktiviti ugutan dan pemerasan yang dipercayai dilakukan oleh ejen-ejen sindiket Ah Long,” katanya.

Susulan penemuan tersebut, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket terbabit.

MHO turut memohon agar siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 383 Kanun Keseksaan (pemerasan), Seksyen 503 (ugutan jenayah), Seksyen 425 (khianat terhadap harta), Seksyen 435 (membakar harta) serta Seksyen 130V berkaitan organisasi jenayah.

Dalam masa sama, MHO turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan mana-mana urusan pinjaman wang tidak berlesen yang sering menggunakan pelbagai taktik bagi memperdaya mangsa.

Menurut pertubuhan itu, kes berkaitan Ah Long semakin meningkat kebelakangan ini, dipercayai didorong oleh tekanan ekonomi yang menyebabkan sesetengah individu mengambil jalan mudah dengan meminjam daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen.

“Mangsa sering terperangkap dalam kitaran hutang kerana walaupun jumlah bayaran telah melebihi pinjaman asal, mereka masih dipaksa membuat bayaran berterusan akibat ugutan dan intimidasi,” katanya.

Sehubungan itu, MHO berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi membanteras kegiatan sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen yang didakwa semakin berleluasa di negara ini.

#AhLong #JenayahKewangan #SindiketAhLong #MHO #PDRM #JenayahLembahKlang #KesUgutan #Pemerasan #BeritaAAC #MalaysiaPrihatin