Month: March 2026

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2026 – Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) hari ini melancarkan secara rasmi PPP Education Careline, satu inisiatif sokongan pendidikan komprehensif yang bertujuan memperkukuh akses saksama kepada peluang pembelajaran bagi rakyat Malaysia di semua peringkat.

Pelancaran yang berlangsung di University of Malaya itu disempurnakan oleh Presiden PPP Malaysia, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, yang menegaskan bahawa inisiatif berkenaan lahir daripada keprihatinan terhadap cabaran pendidikan yang semakin kompleks dan mendesak di negara ini.

Menurut beliau, PPP Education Careline bukan sekadar talian hotline biasa, sebaliknya merupakan satu sistem sokongan berstruktur dan diurus secara profesional bagi membantu pelajar, ibu bapa dan pendidik merangkumi keseluruhan spektrum pendidikan — daripada pendidikan awal kanak-kanak, prasekolah, sekolah rendah dan menengah, sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi serta pembelajaran sepanjang hayat.

“Inisiatif ini diwujudkan bagi memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan kewangan, kekurangan maklumat atau halangan struktur dalam sistem pendidikan,” katanya ketika program pelancaran Talian PPP Pendidikan hari ini.

Beliau menjelaskan, antara fokus utama Careline ini termasuk sokongan pendidikan awal dan keperluan khas, panduan laluan akademik, peralihan sekolah, pilihan pengajian tinggi, akses biasiswa serta isu peluang saksama di peringkat tertiari.

Careline tersebut dikendalikan oleh pegawai kes terlatih dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, serta disokong panel pakar pelbagai disiplin terdiri daripada pendidik, kaunselor dan pakar pendidikan dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Setiap pertanyaan akan dinilai dan dikategorikan secara profesional sebelum dirujuk kepada pakar berkaitan sekiranya memerlukan intervensi khusus.

Selain memberi bantuan secara langsung, PPP Education Careline turut berfungsi sebagai platform pengumpulan data dan analisis trend kes secara agregat. Melalui pendekatan ini, PPP berhasrat mengenal pasti jurang sistemik serta cabaran berulang dalam ekosistem pendidikan negara.

“Data yang diperoleh akan membantu kami memperjuangkan dasar pendidikan yang lebih responsif, praktikal dan berasaskan bukti,” tambah beliau.

Datuk Dr. Loga Bala Mohan menegaskan bahawa pendidikan merupakan tonggak utama mobiliti sosial dan kemajuan negara. Justeru, PPP komited untuk terus memperjuangkan sistem pendidikan yang inklusif, mudah diakses dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

Pelancaran PPP Education Careline dilihat sebagai satu langkah strategik dalam usaha memperkukuh jaringan sokongan pendidikan nasional, khususnya dalam menangani isu akses dan keadilan sosial dalam sektor pendidikan.

#BeritaAAC #PPP #EducationCareline #PendidikanUntukSemua #AksesSaksama #MobilitiSosial #BiasiswaMalaysia #IsuPendidikan #Mahasiswa #MalaysiaMadani

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2026 – Presiden Ibrahim Ali, Datuk Dr. Ibrahim Ali hari ini mengeluarkan kenyataan tegas mengecam dakwaan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ali Khamenei, yang didakwa berlaku susulan serangan ketenteraan melibatkan Israel dan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, insiden tersebut bukan sekadar operasi ketenteraan biasa, sebaliknya merupakan satu tindakan yang disifatkan sebagai melampaui batas undang-undang antarabangsa serta mencabar asas moral dan kemanusiaan sejagat.

“Apabila tiada lagi penghormatan terhadap kedaulatan, undang-undang dan norma diplomasi, dunia akan kembali ke era hukum rimba – siapa kuat, dia menentukan nasib negara lain,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Ibrahim yang juga Presiden Parti PUTRA berkata, pembunuhan terhadap seorang pemimpin negara berdaulat adalah pelanggaran serius terhadap Piagam United Nations (PBB), khususnya Artikel 2(4) yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah dan kemerdekaan politik mana-mana negara.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya menghadiri majlis rasmi di Iran pada Julai 2025, termasuk menunaikan solat berjemaah yang diimamkan sendiri oleh Ali Khamenei serta mendengar pidato beliau di Kompleks Masjid dan Makam Ruhollah Khomeini sempena ulang tahun ke-37 penubuhan Republik Islam Iran.

Menurutnya, kehadiran beliau pada majlis berkenaan adalah atas jemputan rasmi kerajaan Iran sebagai tetamu kehormatan, sekali gus mencerminkan hubungan sejarah yang terjalin sejak era Revolusi Iran.

“Saya juga pernah bertemu Imam Khomeini di Paris pada Disember 1979 ketika kemuncak Revolusi Iran. Saya menyaksikan sendiri bagaimana rakyat bangkit menuntut kebebasan, kedaulatan dan harga diri mereka,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau menyeru agar United Nations bertindak tegas serta menggesa negara-negara Islam melalui Organisation of Islamic Cooperation (OIC) agar bersatu suara mempertahankan prinsip kedaulatan dan keadilan antarabangsa.

Menurutnya, tindakan ketenteraan tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan di Asia Barat dan memberi kesan domino terhadap ekonomi, sosial serta keselamatan global.

“Keamanan tidak pernah dibina di atas runtuhan kedaulatan negara lain. Keadilan tidak boleh ditegakkan dengan peluru berpandu, dan keamanan tidak boleh dipaksa dengan bom,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru umat Islam dan masyarakat antarabangsa agar menolak budaya kekerasan dalam geopolitik serta mempertahankan prinsip solidariti global, kedaulatan dan keadilan sebagai asas keamanan sejati.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau atas kapasiti sebagai Presiden Parti PUTRA pada 1 Mac 2026.

#PUTRA #IbrahimAli #IranCrisis #SolidaritiUmmah #KedaulatanNegara #GeopolitikGlobal #AsiaBarat #UndangUndangAntarabangsa #OIC #DuniaDalamBahaya