default
KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Aktivis Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Tamim, mempersoalkan kewajaran tempoh tahanan reman selama dua hari yang dikenakan ke atasnya, walaupun beliau menegaskan telah memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan polis.
Menurut Tamim, layanan polis terhadapnya adalah baik dan terkawal, termasuk dari segi kebajikan asas sepanjang berada di dalam lokap. Namun beliau berpandangan, tempoh soal siasat sepatutnya tidak perlu berlarutan sehingga dua hari.
“Saya rasa tak perlu pun jadi dua hari. Sepatutnya sehari sahaja. Kita beri kerjasama yang baik, tak ada bergelut, ditahan pun dari masjid,” katanya ketika ditemui media selepas dibebaskan.
Tamim turut mencadangkan agar pihak berkuasa mempertimbangkan penggunaan Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan pencegahan jenayah, berbanding menggunakan Akta Hasutan, yang menurutnya kurang berkesan dalam konteks kes tersebut.
“Kalau nak guna 105 pun boleh. Tapi bila guna Akta Hasutan, saya tak nampak keberkesanan dia, sebab keterangan yang kita beri tu jelas dan kita beri kerjasama penuh,” ujarnya lagi.
Mengulas isu pencerobohan tanah di Dengkil, Tamim menjelaskan bahawa pasukannya, Team Tanah Malaya, pada asalnya berhasrat membantu semua pihak secara berhati-hati bagi mengelakkan konflik yang lebih besar.
Beliau menegaskan, pemilik tanah sememangnya mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas tanah milik mereka, namun pendekatan yang lebih tersusun dan berperingkat wajar diambil bagi mengelakkan ketegangan kaum serta pertelingkahan di lapangan.
“Sepatutnya penceroboh dikenakan tindakan dahulu. Bila penceroboh tak ada di tapak, barulah perobohan boleh dibuat. Kalau tidak, akan timbul krisis dan pertelingkahan,” jelasnya.
Ditanya mengenai perasaannya sepanjang berada dalam tahanan, Tamim menafikan sebarang tekanan emosi atau keletihan, sebaliknya menyifatkan pengalaman itu sebagai satu bentuk ujian dan hikmah.
“Tak ada penat. Dalam lokap banyak tidur, buat amalan, baca al-Quran, zikir, solat hajat, tahajud. Solat dalam lokap ni lain rasa dia, lebih khusyuk sebab tak ada gangguan,” katanya.
Tamim menegaskan perjuangan menentang rumah anutan haram akan diteruskan dan yakin setiap ujian yang dilalui mempunyai hikmah tersendiri.
#BeritaAAC #GARAH #RumahAnutanHaram #IsuTanah #Dengkil #HakPemilikTanah #AktivisBersuara #KeadilanUntukRakyat #SuaraAkarUmbi #BeritaTular