
KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sekali lagi menzahirkan hasrat agar diberi pengiktirafan lebih jelas dalam kerajaan dan diserap secara rasmi sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), selepas mendakwa telah menunggu hampir lima dekad untuk mendapat tempat sewajarnya dalam gabungan itu.
Presiden KIMMA, Datuk Seri Hj Syed Ibrahim Kader, berkata perjuangan parti itu tidak pernah terhenti walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, malah kesetiaan KIMMA terhadap BN dan UMNO kekal utuh sejak penubuhannya pada 26 Oktober 1976.
Menurut beliau, Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-46 bagi tahun 2025 yang berlangsung sempena ulang tahun ke-50 penubuhan parti itu menjadi medan penting untuk membawa suara akar umbi masyarakat India Muslim ke peringkat lebih tinggi.
“Selama 50 tahun kami menunggu, 50 tahun kami setia, 50 tahun kami berdiri di belakang perjuangan ini tanpa sekelumit keraguan. Namun sehingga hari ini, KIMMA masih belum diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada komponen rasmi BN walaupun tujuh kali permohonan telah dibuat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung KIMMA.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa KIMMA mahu terus kekal bersama UMNO dan BN, namun berharap satu keputusan yang lebih jelas dan tuntas dapat dibuat berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Selain isu penyertaan ke dalam BN, Syed Ibrahim turut membangkitkan tuntutan masyarakat India Muslim yang menurutnya masih berdepan kekangan dari segi status, bantuan pendidikan, peluang ekonomi dan pengiktirafan dalam dasar kerajaan.
Beliau berkata, walaupun masyarakat India Muslim merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk dalam sektor perniagaan, restoran, peruncitan, emas, pengurup wang dan pelbagai lagi, namun mereka didakwa masih tidak menerima peruntukan khusus dalam bajet tahunan negara.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat India Muslim, khususnya golongan B40 dan M40, berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan sewajarnya, termasuk akses pendidikan dan sokongan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menilai dan mengesahkan status masyarakat India Muslim berdasarkan dokumen yang sah, khususnya bagi mereka yang layak dipertimbangkan di bawah kerangka tertentu menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan mengiktiraf KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan agar setiap isu berkaitan komuniti itu dapat dibawa terus ke peringkat pembuat dasar.
Beliau juga membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja yang menurutnya semakin menekan sektor perkhidmatan, terutama perniagaan restoran India Muslim, pasar mini, kedai emas, pengurup wang dan kedai runcit.
Menurutnya, terdapat kira-kira 15,000 restoran India Muslim di seluruh negara dengan anggaran hasil tahunan mencecah antara RM12 bilion hingga RM14 bilion, namun ramai pengusaha berdepan kesukaran mendapatkan pekerja asing secara sah dan mencukupi.
Katanya, proses permohonan pekerja yang rumit dan kuota yang terhad menyebabkan banyak premis terpaksa mengurangkan operasi, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan, hasil perniagaan dan kutipan kepada negara.
Dalam sektor peruncitan pula, beliau mendakwa kedai-kedai kecil milik masyarakat India Muslim semakin terhimpit akibat persaingan dengan rangkaian peruncitan besar, selain tidak diberi peluang menyertai program bantuan seperti MyKasih yang menurutnya lebih banyak tertumpu kepada premis besar.
Atas dasar itu, KIMMA mengemukakan lapan usul utama untuk dipertimbangkan kerajaan, antaranya menuntut pengiktirafan rasmi KIMMA dalam kerajaan, penyertaan segera sebagai parti komponen BN, peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-16, penyelesaian isu status Bumiputera, kelulusan 10,000 pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, kuota 1,000 belia India Muslim dalam program TVET, serta pewujudan dana khas pembangunan masyarakat India Muslim.
Syed Ibrahim berkata, semua tuntutan itu bukanlah untuk meminta keistimewaan berlebihan, sebaliknya bagi memastikan masyarakat India Muslim mendapat peluang yang adil dan saksama sebagai sebahagian daripada warga Malaysia.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dapat memberi jawapan yang jelas terhadap aspirasi KIMMA dalam ucapannya, khususnya berhubung kedudukan parti itu dalam BN.
“Kami tidak menuntut lebih, hanya keadilan dan pengiktirafan yang sewajarnya atas kesetiaan yang telah kami buktikan sekian lama,” katanya.
#KIMMA #BeritaAAC #IndiaMuslim #BarisanNasional #PolitikMalaysia