
KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) tampil membela seorang peminjam bank dari Pahang yang mendakwa berdepan tuntutan bayaran akhir yang mengelirukan, walaupun pinjaman asalnya dikatakan hampir selesai dijelaskan.
Aktivis sosial SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang individu dikenali sebagai Encik Saravanan, yang mendakwa telah membuat pinjaman perumahan berjumlah RM126,309 dengan sebuah institusi perbankan tempatan.
Menurut beliau, berdasarkan penyata bank yang diperoleh peminjam, baki pinjaman yang perlu dijelaskan didakwa hanya sekitar RM6,280.18, manakala satu lagi penyata pula menunjukkan angka RM9,580, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai percanggahan jumlah sebenar yang masih tertunggak.
Namun, keadaan menjadi lebih mengejutkan apabila Saravanan mendakwa pihak bank kemudiannya memaklumkan bahawa beliau perlu menjelaskan sebanyak RM81,007.46, dan sekiranya gagal berbuat demikian, beliau berisiko diheret ke mahkamah pada 20 April ini.
Dato’ Dr Kalaivanar mempersoalkan bagaimana tuntutan sedemikian boleh berlaku, sedangkan peminjam mendakwa telah membuat bayaran secara konsisten sejak tahun 2012, termasuk bayaran dalam jumlah besar seperti RM10,000 dan RM15,000 selain bayaran ke atas pokok pinjaman.
Beliau berkata, pihak bank sepatutnya memanggil peminjam dan memberikan penjelasan terperinci berhubung kaedah pengiraan baki sebenar, termasuk caj faedah, kadar yang dikenakan serta sebarang penalti atau denda yang terlibat.
“Kalau benar baki asal tinggal beberapa ribu ringgit, bagaimana pula boleh melonjak sehingga lebih RM81,000? Ini yang rakyat mahu tahu. Mana justifikasi dan mana ketelusan pihak bank?” katanya ketika mengulas isu tersebut.
Menurut beliau lagi, peminjam turut dimaklumkan bahawa caj faedah harian yang dikenakan adalah sebanyak RM13.07 sehari, sesuatu yang menurutnya amat membebankan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat yang sudah sedia tertekan dengan kos sara hidup semasa.
Dalam masa sama, Saravanan menafikan beliau pernah mengambil moratorium semasa pandemik COVID-19, sekali gus menolak andaian bahawa lonjakan jumlah tuntutan itu berpunca daripada penangguhan bayaran di bawah skim berkenaan.
Mengulas isu tersebut, Dato’ Dr Kalaivanar berkata ramai peminjam didakwa menjadi mangsa kekeliruan sepanjang tempoh moratorium, apabila ada yang menyangka mereka tidak perlu membayar apa-apa, namun akhirnya dikenakan faedah tambahan yang tinggi selepas tempoh itu berakhir.
Beliau turut mempersoalkan peranan Bank Negara Malaysia dalam menangani aduan melibatkan peminjam perumahan yang didakwa berdepan tekanan, ketidaktelusan dan beban caj yang sukar difahami.
Sehubungan itu, SBKN menuntut agar pihak bank tampil segera memberi penjelasan penuh sebelum sebarang tindakan mahkamah diambil, selain menegaskan pihaknya bersedia membantu mangsa mendapatkan khidmat guaman sekiranya kes tersebut diteruskan.
“Kita mahu keadilan untuk peminjam. Kalau bank profesional, bank perlu panggil, duduk semeja dan huraikan satu per satu. Jangan sampai rakyat terus teraniaya tanpa tahu bagaimana angka itu dikira,” tegas beliau.
#BeritaAAC #Kalaivanar #MangsaBank #PinjamanPerumahan #TuntutKeadilan