
KUALA LUMPUR, 16 April 2026 – Cadangan agar PAS mempertimbangkan penerimaan Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai sebahagian daripada kekuatan politik dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dilihat wajar diberi perhatian serius.
Penyelaras RESET Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata langkah tersebut berpotensi menjadi strategi penting bagi memperkukuh blok pembangkang dalam menghadapi kemungkinan PRU-16 yang disifatkan boleh berlaku secara mengejut.
Menurut beliau, penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah mampu menambah kekuatan PN, khususnya dalam menarik sokongan lebih luas merentasi pelbagai kaum dan latar belakang masyarakat.
Katanya, Hamzah bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam parti, malah turut dihormati oleh pelbagai pihak dalam landskap politik tanah air.
“Penyertaan beliau boleh membantu memperkukuh blok pembangkang dengan membawa pengaruh yang signifikan, selain menjadi faktor penarik kepada sokongan yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Muqharabbin berkata, antara nilai tambah paling penting yang ada pada Hamzah ialah keupayaannya untuk berperanan sebagai jambatan politik antara parti-parti yang mahu melihat penyatuan ummah serta pembentukan kerjasama politik yang lebih mantap.
Menurutnya, peranan sedemikian amat penting dalam suasana politik negara yang memerlukan pendekatan lebih inklusif dan stabil, khususnya dalam usaha membina keyakinan rakyat terhadap alternatif selain kerajaan sedia ada.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman luas Hamzah sebagai Ketua Pembangkang serta mantan menteri memberi kelebihan besar dari sudut kepimpinan, strategi dan kebolehan mengemudi cabaran semasa negara.
“Pengalaman beliau boleh membantu menyumbang idea baharu, memperkukuh kepimpinan dan membawa dinamika yang lebih segar dalam menghadapi cabaran ekonomi serta isu perpecahan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa walaupun kenyataan tersebut dijangka menerima bantahan daripada pihak yang tidak bersetuju, realitinya Hamzah masih dilihat sebagai tokoh yang mempunyai peranan besar dalam agenda penyatuan politik Melayu dan kestabilan negara.
Muhamad Muqharabbin turut membangkitkan hakikat bahawa tokoh negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad juga didakwa pernah melihat Hamzah sebagai individu yang berpotensi memikul tugas besar untuk menjadi jambatan kepada gagasan “Payung Besar Bangsa Melayu” dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kemasukan segera Hamzah ke dalam kekuatan politik yang lebih tersusun di bawah PN boleh menjadi antara faktor penting dalam memperkukuh persiapan menghadapi PRU-16.
“Langkah ini wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan demi memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional sebagai alternatif yang diyakini rakyat,” katanya.
#BeritaAAC #HamzahZainudin #PerikatanNasional #PRU16 #PolitikMalaysia