
KUALA LUMPUR, 16 April 2026 – Kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung keengganan menerima parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam Perikatan Nasional (PN) mengundang teguran terbuka daripada Mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Muhammad Fadhli berkata, pendirian menolak penyertaan Hamzah ke dalam PN atas alasan pertemuan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah sesuatu yang remeh dan tidak berasas.
Menurut beliau, Hamzah disifatkan sebagai tokoh berjiwa besar dan ikon penyatuan yang konsisten dalam membawa agenda agama, bangsa dan negara, justeru tidak wajar diketepikan hanya kerana perbezaan pendekatan politik.
Beliau turut berpandangan bahawa kenyataan Ahmad Faizal memberi gambaran seolah-olah UMNO kini dianggap sebagai musuh utama Bersatu, sedangkan pendekatan sedemikian boleh menggagalkan usaha penyatuan ummah, khususnya dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.
Katanya, Perikatan Nasional bukan milik mutlak Bersatu semata-mata, sebaliknya keputusan berkaitan keahlian gabungan perlu ditentukan secara musyawarah bersama semua parti komponen tanpa menafikan peranan PAS sebagai rakan penting dalam gabungan itu.
“Keputusan sebesar ini tidak boleh dilihat dari sudut kepentingan satu pihak sahaja. Ia perlu dibincangkan secara bersama demi masa depan perjuangan yang lebih besar,” katanya.
Muhammad Fadhli juga menegaskan bahawa isu sumpah atau bai’ah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertahankan pendirian yang lemah, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada integriti, kelayakan moral dan keikhlasan seseorang pemimpin dalam membawa perjuangan rakyat.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menasihati Ahmad Faizal agar tidak mengutamakan kepentingan diri sehingga menjejaskan perjuangan asal Bersatu dan matlamat penyatuan ummah yang selama ini dilaungkan.
Beliau berkata, sekiranya budaya kepimpinan seperti itu berterusan, perjuangan asal Bersatu dikhuatiri akan semakin tersasar dan akhirnya tenggelam daripada matlamat penubuhannya yang sebenar.
Muhammad Fadhli turut menyentuh perkembangan politik di Perak dengan menyatakan bahawa pencapaian kerajaan negeri ketika ini dilihat lebih memberangsangkan dan mempunyai hala tuju yang lebih jelas berbanding ketika Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar Perak.
Malah, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengambil iktibar daripada titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak sempena perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Kelima Belas pada 14 April 2026, yang menyeru semua pihak tanpa mengira parti untuk duduk semeja menangani krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Kenyataan tersebut dilihat menambah lagi bahang perdebatan dalam landskap politik pembangkang, khususnya berhubung masa depan hubungan antara tokoh-tokoh utama Melayu-Islam dan hala tuju sebenar Perikatan Nasional menjelang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-16.
#BeritaAAC #HamzahZainudin #PerikatanNasional #PenyatuanUmmah #PolitikMalaysia