Aktivis Rakyat

PETALING JAYA, 18 Jun 2026 – Semua pihak digesa agar menghentikan sebarang bentuk provokasi melibatkan isu agama, kaum, dan institusi diraja (3R) bagi memastikan perpaduan serta kestabilan negara terus terpelihara.

​Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan menghina institusi diraja dan memainkan sentimen perkauman yang melampau boleh menjadi ‘bom jangka’ yang menggugat keharmonian masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

​Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya tidak kekurangan undang-undang untuk mengekang isu ini. Sebaliknya, apa yang ditagih ketika ini adalah ketegasan dalam aspek pelaksanaan.

​“Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi. Apa yang penting ialah tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.

Jangan Mudah Cop ‘Rasis’

​Dalam pada itu, Musa turut menitipkan pesanan penting agar masyarakat atau pihak berkuasa tidak terlalu cepat melabel atau menghukum pihak yang bertindak balas terhadap sesuatu provokasi.

​Menurut beliau, tindakan melabel mereka yang sekadar memberi reaksi sebagai golongan perkauman atau ekstremis adalah tidak adil dan boleh mengeruhkan lagi keadaan.

​Sambil mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, beliau menasihatkan agar setiap individu lebih berhati-hati dan matang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama demi masa depan negara.

— Berita AAC

#Isu3R #MusaHassan #PerpaduanNegara #PolisDirajaMalaysia #BeritaAAC

PETALING JAYA, 18 Jun 2026 – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan drastik termasuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape yang dikesan mengandungi campuran dadah sintetik, demi menyelamatkan masa depan generasi muda negara.

​Desakan itu disuarakan oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, susulan kebimbangan melampau terhadap trend penularan bahan terlarang tersebut yang kini mula meresap ke dalam kalangan pelajar sekolah.

​Menurut beliau, penggunaan vape yang dicampur dengan bahan psikoaktif ini bukan sahaja berbahaya, malah mampu memberi kesan buruk yang amat serius terhadap perkembangan mental serta tingkah laku golongan remaja.

​“Saya risau kerana vape kini digunakan untuk mencampurkan dadah sintetik yang boleh merosakkan pemikiran remaja. Jika perkara ini tidak dibendung, kita akan berdepan masalah sosial yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

​Beliau turut menegaskan bahawa satu larangan menyeluruh terhadap produk vape wajar dipertimbangkan oleh pihak kerajaan sebagai langkah perlindungan benteng akhir buat golongan muda daripada terus terjebak dalam kancah penagihan.

Bimbing, Bukan Hukum

​Bagaimanapun, mengulas mengenai tindakan terhadap pelajar yang sudah terlanjur, Musa berpendapat pendekatan berbentuk pemulihan dan pendidikan adalah jauh lebih efektif berbanding hukuman yang bersifat punitif semata-mata.

​Jelasnya, kumpulan remaja ini memerlukan sokongan untuk kembali ke pangkal jalan, bukannya pengakhiran yang merosakkan masa depan mereka di sebalik tirai besi.

​“Kita tidak mahu pelajar sekolah terus dihantar ke penjara. Mereka perlu dibimbing dan dipulihkan supaya dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna,” ujar beliau lagi.

​Urusan penguatkuasaan yang ketat di peringkat akar umbi kini menjadi tumpuan utama masyarakat yang mahukan jalan penyelesaian segera terhadap polemik ini.

#VapeDadahSintetik #MusaHassan #SelamatkanRemaja #IsuSemasa #BeritaAAC

PETALING JAYA, 18 Jun – Pertubuhan Malaysia Crime Prevention Community Care (MCCC) melangkah setapak lagi dalam misi membanteras jenayah dengan meluaskan sayap organisasinya ke negeri Selangor.

​Langkah strategik ini diyakini mampu memperkukuhkan lagi kerjasama antara komuniti setempat dan pihak polis demi meningkatkan tahap keselamatan awam secara menyeluruh.

​Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, MCCC telah memainkan peranan kritikal sebagai penghubung antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain menangani isu keselamatan, pertubuhan ini turut aktif membantu menyelesaikan kebajikan mangsa jenayah.

​Menurut beliau, pengembangan ke Selangor ini adalah satu keperluan bagi memastikan lebih ramai ahli masyarakat mendapat manfaat langsung daripada program-program kesedaran dan bantuan yang dianjurkan oleh MCCC.

​“Kita telah mewujudkan kerjasama erat dengan pihak polis dan masyarakat sejak sekian lama. Dengan pembukaan sayap di Selangor, kita berharap dapat membantu lebih ramai rakyat, bukan sahaja di Selangor malah melalui rangkaian yang telah diwujudkan di Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

​Mengulas lanjut, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan bahawa MCCC juga bertindak sebagai medium untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM. Ini dilakukan melalui program penerangan jelas mengenai proses siasatan serta prosedur penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

​Beliau menegaskan bahawa hubungan simbiotik antara pihak berkuasa dan orang awam adalah kunci utama dalam memastikan keamanan negara kekal terpelihara.

​“Polis dan masyarakat tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya perlu sentiasa bekerjasama bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi ketika ditemui.

#MCCC #PDRM #MusaHassan #KeselamatanKomuniti #BeritaAAC


KUALA LUMPUR – Isu perbezaan layanan terhadap suspek kes jenayah yang dituduh di mahkamah sering mencetuskan pertikaian dalam kalangan masyarakat, seolah-olah wujud amalan ‘double standard’ atau dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang.

​Mengulas mengenai perkara itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan bahawa tindakan menggari seseorang suspek sebenarnya bukanlah satu ketetapan mutlak dalam undang-undang, sebaliknya ia tertakluk di bawah kuasa budi bicara pegawai polis yang bertugas.

​Menurut beliau, tindakan gari selalunya diambil sekiranya seseorang suspek menunjukkan tindakan agresif, bersikap ganas, atau enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

​”Kalau orang ini beri kerjasama, selalunya polis tak akan gari dia. Ini budi bicara, kuasa budi bicara dia (polis),” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Walau bagaimanapun, menyedari persepsi negatif masyarakat yang melihat ada suspek berpakaian lokap dan bergari, manakala ada yang dilepaskan begitu sahaja tanpa gari, Musa menyarankan agar satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan.

​Langkah itu penting bagi mengelakkan timbulnya salah faham atau tuduhan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan pilih kasih dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.

​”Saya harap perlu ada SOP tertentulah yang pihak polis ini gunakan supaya orang tidak ingat ada ‘double standard’—orang ini gari, orang ini tidak gari.

​”Jadi perlu ada SOP sebenarnya. Ini terpulang kepada ketua-ketua (pasukan) untuk memberi arahan kepada pegawai bawahan,” tegas beliau lagi.

#BeritaAAC #MusaHassan #PDRM #DoubleStandard #SuaraRakyat

​KUALA LUMPUR – Pembatalan saat-akhir sambutan Hari Felda Kebangsaan yang sepatutnya berlangsung di Johor mencetuskan tanda tanya besar dan kemarahan dalam kalangan warga peneroka di seluruh negara.

​Isu tersebut turut mendapat reaksi lantang daripada Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, yang juga merupakan anak watan Felda Sri Jaya, Bukit Serampang. Beliau mendesak Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk segera memecah kebisuan dan memberikan penjelasan telus kepada warga Felda.

​Jangan Jadikan UMNO Dan Presiden ‘Punching Bag’

​Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang menuding jari kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Azam menegaskan bahawa telahan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

​Menurutnya, Felda masih berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (PMX) dan bukannya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

​”Orang ingat (Datuk Seri) Zahid yang suruh. Apa jadah Zahid nak suruh? Bagi saya, kamu fikirlah sendiri. Jangan asyik jadikan Datuk Seri Zahid dan UMNO sebagai punching bag dalam setiap isu,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

​Agenda Politik Di Sebalik Pembatalan Sambutan?

​Dr. Azam mendedahkan bahawa segala persiapan, termasuk tempahan bas, hotel, dan pembuatan baju korporat oleh warga kampung dari seluruh Malaysia telah diatur rapi sejak enam bulan lalu. Bagaimanapun, acara itu dibatalkan secara mengejut tanpa sebarang alasan konkrit.

​Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya “tangan ghaib” dan agenda politik di sebalik pembatalan tersebut, memandangkan Johor kini sedang menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN).

​”Plan dah rancang 6 bulan dulu, tiba-tiba dibatalkan. Telahan saya, pihak atasan melihat ini sebagai peluang untuk membuktikan sokongan Felda akan kembali kepada UMNO kerana kehebatan negeri Johor. Jangan peralatkan warga Felda untuk kepentingan politik,” tegas beliau.

​Desak Shabery Cheek Buka Mulut

​Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan kepimpinan Felda agar tidak membiarkan UMNO terus menjadi mangsa keadaan akibat daripada keputusan yang tidak telus ini.

​Beliau secara terbuka meminta Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk tampil mempertahankan parti dan memberikan jawapan segera bagi meredakan kemarahan warga peneroka.

​”Kepada Datuk Seri Shabery Cheek, bukalah mulut. Jangan jadi mangsa keadaan dan jangan biarkan UMNO pula yang disalahkan. Anda duduk di situ (kerusi Pengerusi) atas kuota UMNO,” katanya lagi.

​Beliau bagaimanapun meminta seluruh warga Felda, khususnya di Johor, untuk kekal bertenang, bersabar, dan tidak terburu-buru menyalahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebaliknya terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

#HariFeldaDibatalkan #SuaraWargaFelda #ShaberyCheekSilaJawab #PRNJohor2026 #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Aktivis sosial terkenal yang juga wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil membongkar isu penindasan dan ugutan jenayah yang dihadapi oleh seorang beliawanis, Cik Shalini, 25, yang cuba mengusahakan projek pertanian di bawah pencawang kabel voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

​Dalam satu kenyataan video tegas yang dikeluarkan tepat jam 5 petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Gunaraj, serta pihak pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah Tamil yang didakwa cuba memutarbelitkan fakta demi meraih simpati masyarakat.

​Langsung Tidak Kaitkan Sekolah Tamil

​Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa dalam kenyataan awalnya sebelum ini, beliau sama sekali tidak pernah menyebut atau mengaitkan nama mana-mana sekolah Tamil mahupun pengerusi PIBG.

​”Saya bercakap mesti ada fakta. Isu yang saya tampilkan ialah mengenai Cik Shalini, seorang beliawanis yang mengeluarkan belanja RM5,000 hingga RM6,000 untuk melantik juruukur dan menyediakan draf pelan tapak semaian (nursery).

​”Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta TNB telah menyemak dan memberi laluan kerana status tanah tersebut adalah tanah kerajaan yang terbiar, semak samun, dan tiada halangan,” katanya.

​Mangsa Didakwa Diugut Samseng, ADUN Didakwa ‘Putar Belit’

​Isu menjadi tegang apabila mangsa, Cik Shalini, mendakwa mula diganggu dan diugut oleh individu yang disifatkan sebagai ‘samseng’. Mangsa juga mendakwa YB Gunaraj telah memberikan kenyataan palsu dan cuba berlagak seperti ‘hero’ di media sosial kononnya tanah tersebut telah dipohon awal untuk tapak parkir sekolah, sedangkan semakan sistem PTG membuktikan tanah itu kosong tanpa sebarang permohonan pihak lain.

​Cik Shalini yang turut hadir dalam sidang media itu menzahirkan rasa kecewa dan menangis memikirkan modalnya yang sudah habis hangus.

​”Masa saya pergi pejabat ADUN, YB Gunaraj cakap dia tak tahu apa-apa dan mendakwa namanya hanya dijual oleh pihak tertentu. Tapi tiba-tiba semalam dia buat video lain pula. Dia tipu saya,” dakwa Shalini.

​Dato’ Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan kredibiliti ADUN tersebut. “Kalau betul ada kuasa sebagai ADUN, takkan isu parkir sekolah ambil masa sampai 2 hingga 3 tahun tak selesai? Kenapa baru sekarang bila beliawanis ini nak usahakan tanah terbiar, baru nak bising?” bidasnya lagi.

​Gesa Bukit Aman & Imigresen Bertindak

​Rentetan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak pihak polis membuka kertas siasatan dengan telus tanpa mempedulikan jawatan individu yang terlibat. Dato’ Dr. Kalaivanar memberi amaran akan membawa memorandum terus kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman sekiranya tiada tindakan drastik diambil.

​Selain isu ugutan, beliau turut mendedahkan dalang atau ‘samseng’ yang mengancam beliawanis tersebut turut dipercayai memonopoli tanah TOL di kawasan Johan Setia, Jalan Banting untuk disewakan secara haram kepada warga asing (PATI).

​Beliau meminta Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Dato’ Lokman, untuk segera turun padang bagi menggempur kawasan pertanian di Johan Setia sebelum isu lambakan warga asing di situ menjadi tidak terkawal seperti isu penempatan Rohingya.

#BeritaAAC #KeadilanUntukShalini #DatoKalaivanar #IsuTanahTNB #SamsengTanah

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Hubungan kerjasama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada di ambang keretakan yang serius, menyamai fasa tuntutan ‘harta sepencarian’ selepas melalui proses perceraian politik.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan masa depan gabungan tersebut yang disifatkannya sebagai penuh dengan tanda tanya selepas PAS didakwa telah menemui “isteri baru” yang dikenali sebagai Wawasan.

​Menurut beliau, kedua-dua kem kini sedang bertegas mempertahankan locus standi masing-masing ke atas aset gabungan yang dibina sepanjang enam tahun perkongsian politik mereka.

​”Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah ciptaan mereka, manakala PAS pula menegaskan bahawa kekuatan jentera PN datangnya daripada mereka. Masing-masing saling tuduh-menuduh tentang siapa yang lebih berhak,” katanya.

​Perombakan Struktur PN & Pemecatan Pemimpin Utama

​Suasana politik dalam PN dilaporkan semakin parah susulan tindakan terbaharu semalam di mana Pengerusi PN didakwa telah memecat dua tokoh kuat Bersatu, iaitu YB Radzi Jidin dan YB Azmin Ali daripada jawatan mereka.

​Tindakan itu dilihat meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) ‘keseorangan’ dalam struktur organisasi tertinggi PN tanpa sokongan orang kuatnya. Gulam turut meramalkan entiti ‘Wawasan’ bakal menyertai PN sebagai ahli gabungan baharu dalam masa terdekat, sekaligus mencetuskan perbalahan baharu sekiranya Bersatu memilih untuk terus kekal.

​Bersatu Digesa Fokus Gabungan IPR, Sifatkan Impian Ganti UMNO ‘Angan-Angan Mat Jenin’

​Mengulas lanjut, Gulam menasihatkan Bersatu agar tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap PN dan menyamakan situasi parti itu seperti “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”.

​Beliau menyarankan agar Bersatu mengalihkan fokus sepenuhnya kepada “kekasih baru” mereka, iaitu Gabungan IPR yang ditubuhkan pada Oktober 2025, yang dilaporkan dianggotai oleh 11 parti politik termasuk Pejuang, Berjasa, Urimai, dan Putra.

​”Ambil iktibar dari pepatah Melayu, ‘bercinta pada yang sudi, berkasih pada yang sayang, berbudi pada yang setia’ kerana kesetiaan itu mahal.

​”Nampaknya cita-cita Bersatu untuk menggantikan UMNO kini hanya ibarat angan-angan Mat Jenin,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

#PerikatanNasional #PolitikMalaysia2026 #PASvsBersatu #HartaSepencarianPN #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara ‘go solo’ atau sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negeri, selain memberi bayangan bahawa terdapat strategi luar aturan yang sedang dirancang.

​Menurut Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharudin Aziz, tindakan yang diumumkan oleh Pengerusi BN UMNO Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi itu menunjukkan bahawa Menteri Besar Johor tersebut berkemungkinan mempunyai penilaian tersendiri yang tidak diketahui umum.

​”Saya rasa Menteri Besar Johor tahu sesuatu yang kita rakyat biasa ini tak tahu. Kenapa dia pergi solo? Dia sahaja yang tahu,” katanya ketika mengulas mengenai hala tuju politik bloc berkenaan baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Dr. Baharudin menjelaskan bahawa model Kerajaan Perpaduan (Madani) yang menggabungkan UMNO, BN, dan parti-parti lain setakat ini hanyalah termaktub di peringkat Persekutuan (Federal).

​Jelas beliau, tiada sebarang ketetapan atau titah nasihat yang mewajibkan formula politik yang sama dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.

​”Jadi untuk negeri, tak ada pun titah nasihat Tuanku yang mengatakan di peringkat negeri pun perlu ada dalam konteks Kerajaan Perpaduan ini. Sebab itu tidak ada masalah (untuk bergerak solo),” ujar beliau lagi.

​Beliau turut menyifatkan keputusan drastik itu sebagai satu langkah dan strategi yang sangat baik serta dinamik dalam usaha memastikan kestabilan serta kemajuan masa depan Johor.

​”Mungkin dia lihat itu satu pendekatan dan strategi yang baik untuk memacu negeri Johor ke tahap yang lebih baik di masa hadapan, moving forward,” tambahnya.

#BNJohorGoSolo #OnnHafizGhazi #PolitikJohor #PRNJohor #AACNews

​KUALA LUMPUR – Lambakan parti politik berasaskan orang Melayu yang wujud ketika ini hanya akan mengelirukan rakyat serta melemahkan kedudukan kaum majoriti dan umat Islam di negara ini.

​Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menzahirkan rasa kesal dan sedih dengan landskap politik semasa yang menyaksikan perpecahan ketara, terbaru dengan peralihan kumpulan ‘RESET’ yang kini menubuhkan pula parti serpihan baharu dikenali sebagai ‘WAWASAN’.

​Beliau membuat perbandingan dengan komuniti bukan Melayu yang dilihat lebih fokus dan hanya mempunyai sekitar empat parti utama seperti DAP, Gerakan, MCA, dan MIC.

​”Kalau kita tengok dalam kalangan orang Melayu ni, dia terlampau banyak sangat parti. Jadi, rakyat kadang-kadang tu dia keliru, bercelaru, mereka pun tak tahu yang mana satu nak pilih.

​”Bila terlampau banyak, kita nak jaga orang kita pun kita tak boleh. Nanti orang ni mendakwa ini kumpulan dia, ini kumpulan dia. Akhirnya orang lain tengok, mereka tepuk tangan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Mengulas lanjut, Syed Azmi menegaskan bahawa sebagai sebuah negara Islam, kekuatan politik orang Melayu seharusnya diperkukuhkan dan bukannya terus dipecah-belahkan dengan agenda peribadi.

​Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin atasan parti-parti Melayu untuk mengetepikan ego, duduk semeja, dan menunjukkan kematangan politik demi masa depan bangsa.

​Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang ‘berjiwa besar’ melalui inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

​”Saya menyerulah kepada semua pemimpin-pemimpin atasan, terutamanya yang di atas-atas ni, duduk berbincanglah. Di mana kita ni kena ada berjiwa besar.

​”Berjiwa besar seperti mana Presiden UMNO… beliau buat ‘Rumah Bangsa’, panggil balik yang lama-lama ni masuk balik, duduk bersama-sama untuk kita memperkukuh dan memperkuatkan lagi orang Melayu dan orang Islam kita,” ujarnya lagi.

#PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #Alumni4B #RumahBangsa #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, digesa untuk tidak bersikap acuh tidak acuh atau ‘lepas tangan’ berhubung dakwaan kes rasuah melibatkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular baru-baru ini.

​Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyelar kenyataan Anthony Loke yang meminta pengadu mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap rakyat marhaen.

​Menurut beliau, insiden yang dilaporkan berlaku pada 9 Jun 2026 itu membabitkan seorang pemandu e-hailing yang mendakwa diminta suapan sebanyak RM2,000 oleh anggota JPJ sebelum “dikurangkan” kepada RM800, di mana transaksi tersebut didakwa berlaku di dalam tandas sebuah stesen minyak BHP berhampiran Dewan Bahasa dan Pulstaka (DBP).

​”Tandas itu biasanya tempat buang air kecil dan air besar. Tapi sekarang tandas juga jadi ‘port’ untuk mengagihkan rasuah, saya percaya. Ini bukan saya kata, ini laporan Harian Metro,” katanya dalam satu kenyataan media.

​Mana Perginya Kamera Badan (Bodycam)?

​Mengulas lanjut, Dr. Kalaivanar mempersoalkan keberkesanan penggunaan kamera badan (bodycam) dalam kalangan anggota penguat kuasa JPJ yang dibiayai menggunakan jutaan ringgit dana cukai rakyat.

​”Saya nak tanya kepada Anthony Loke, mana kamera itu? Awak cakap orang telus, betul. Berjuta duit digunakan daripada cukai rakyat untuk beli kamera bagi penjawat awam dan penguatkuasa JPJ. Mana kamera (rakaman) tersebut?” soal beliau.

​Beliau menambah, menteri sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Kifli, bagi memanggil anggota yang bertugas pada hari kejadian dan memeriksa rakaman video atau sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi premis berkenaan.

​”Guna Otak, Jangan Guna Lutut”

​Dr. Kalaivanar turut menyifatkan respons Anthony Loke yang sekadar meminta mangsa ke SPRM sebagai satu tindakan yang kasar dan tidak mesra rakyat, terutama apabila melibatkan pemandu e-hailing yang merupakan golongan pekerja biasa.

​”Anthony Loke sebagai menteri kena pakai otak, jangan pakai lutut. You kena panggil bos dia, panggil orang JPJ itu, tanya siapa pegawai yang bertugas. Ini pula macam samseng berkata, ‘eh pergi SPRM, eh pergi SPRM’. Bapak punya government ke ini?” bidasnya lagi.

​Di akhir kenyatannya, beliau turut memberikan amaran politik yang keras kepada Anthony Loke dan parti pimpinannya, dengan mengingatkan prestasi pilihan raya mereka sebelum ini.

​”Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga Anthony Loke. Awak tak cukupkan 8 kerusi lingkup di Sabah. Sekarang semenanjung… we are coming there, Anthony Loke,” tegas beliau.

#BeritaAAC #AnthonyLoke #RasuahJPJ #PemanduEhailing #DatoDrKalai