Aktivis Rakyat

JOHOR BAHRU ,  25 Jun 2026 – Tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta mendedahkan kemelut dalaman parti disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak wajar dan tidak mengenangkan jasa parti.

​Naib Pengerusi Veteran UMNO Johor, Dato’ Zainal Abidin Osman menegaskan bahawa setiap ahli sepatutnya berjuang demi kepentingan parti secara keseluruhan, dan bukannya didorong oleh agenda individu atau kepuasan peribadi semata-mata.

​Menurut beliau, pemimpin yang telah lama berkhidmat dan mengecap pelbagai manfaat hasil sokongan parti sepatutnya berlapang dada serta berjiwa besar apabila tiba masanya untuk memberi laluan kepada peralihan kepimpinan atau calon muda.

​“Dia tidak seharusnya berbuat demikian. Jika kita lihat semula, beliau telah menerima banyak faedah daripada UMNO, bermula daripada jawatan Setiausaha Politik, wakil rakyat, Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, sehinggalah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor.

​“Takkanlah beliau tidak kenangkan sumbangan besar parti terhadap dirinya selama ini?” luah beliau ketika ditemuramah oleh wartawan Portal Berita AAC baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai keputusan pucuk pimpinan parti yang mahu meletakkan calon muda di DUN Rengit, Zainal Abidin yang juga Naib Pengerusi MUBARAK Johor menyatakan bahawa keputusan tersebut mesti diterima dengan reda demi kelangsungan parti.

​Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai anaknya, Azhar, yang juga merupakan Ketua Pemuda dan memegang pelbagai jawatan belia di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan. Walaupun terdapat harapan tinggi daripada peringkat bahagian untuk dicalonkan, mereka tetap akur dan reda apabila keputusan muktamad dibuat oleh pucuk pimpinan yang memilih calon lain.

​“Zaman kita sudah berlalu, ia sudah berlalu. Kita boleh mencadangkan siapa pengganti, tetapi keputusan akhir adalah hak mutlak pucuk pimpinan yang mempunyai perkiraan dan sebab-sebab tertentu.

​“Kita kena berjiwa besar dan berlapang dada, barulah hidup kita akan rasa tenang. Jadi, terimalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan sebagaimana kita pernah diterima dahulu,” katanya lagi.

​Zainal Abidin menambah, beliau sendiri memilih untuk bersara sepenuhnya daripada memegang kerusi wakil rakyat namun tetap komited membantu gerak kerja kempen parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), khususnya di DUN Endau.

#PolitikJohor #UMNOJohor #VeteranUMNO #BeritaAAC #IsuPanasDUNRengit

JOHOR BAHRU – Keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengekalkan kepercayaan terhadap barisan calon muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor disifatkan sebagai satu langkah proaktif yang mampu membawa ‘nafas segar’ kepada pentadbiran kerajaan negeri.

​Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir, barisan calon pemuda yang diumumkan baru-baru ini menampilkan wajah-wajah signifikan yang dilihat amat layak untuk diberikan ruang dan mandat oleh rakyat Johor.

​Antara nama besar yang disebut termasuklah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Hairi Mad Shah; Exco Pemuda UMNO Malaysia, Syed Husin; serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr. Mohd Nakib Mohd Nasir.

​“Alhamdulillah, Datuk Onn Hafiz selaku MB Johor masih lagi memberikan kepercayaan kepada calon-calon pemuda… Ini merupakan salah satu daripada wajah-wajah yang saya fikir sangat signifikan untuk diberikan ruang dan mandat oleh rakyat negeri Johor,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon baru-baru ini.

​Tambah beliau, kehadiran pemimpin-pemimpin muda ini amat bertepatan dengan keperluan pentadbiran masa kini yang memerlukan dinamisme dan idea yang lebih progresif.

​Mengulas lanjut mengenai persediaan mendepani PRN16, Wan Muhammad Zuhir menegaskan komitmen barisan pemuda untuk memberikan impak terbaik demi kelangsungan dan kestabilan politik di bumi Johor.

​“Insya-Allah kita akan cuba yang sebaik mungkin untuk memberikan nafas baru kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor pada PRN16 Johor kali ini. Doakan yang terbaik,” ujarnya mengakhiri perbualan.

#PRN16Johor #MajuJohor #BangkitPemuda #BeritaAAC #OnnHafiz

​JOHOR BAHRU – Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu menghentikan sebarang pertikaian mengenai pemilihan calon bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

​Menurut beliau, fokus utama parti ketika ini sepatutnya ditumpukan kepada strategi kemenangan, bukannya berbalas hujah mengenai latar belakang atau kriteria peribadi seseorang calon yang dipilih.

​”Pada saya, soal calon, tak perlu kita nak pertikaikan. Yang mustahak, calon yang boleh menang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai polemik jurang usia yang sering menjadi perdebatan dalam pemilihan calon, Othman menyatakan bahawa faktor umur bukanlah penentu utama kebolehan seseorang untuk berkhidmat dan meraih sokongan rakyat.

​Beliau menambah, formula kejayaan parti terletak pada nilai ‘winnability’ (kebolehmenangan) yang ada pada calon tersebut, tanpa mengira sama ada mereka mewakili golongan muda mahupun veteran.

​”Tak kira lah yang muda ke, yang tua ke, atau sebagainya. Yang mustahak pada kita, calon kita mesti menang. Itu yang penting,” tegasnya lagi, sekaligus memberi sinyal agar parti kekal fokus dan bersatu padu demi memastikan kemenangan mutlak milik UMNO.

#UmnoJohor #VeteranUMNO #PolitikMalaysia #CalonBolehMenang #MediaAAC

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang menggambarkan kehidupan di ibu kota semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ibarat “neraka” menerima bidasan keras daripada kepimpinan BN.

​Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu pandangan peribadi yang sempit dan cuba menafikan sejarah serta realiti pembangunan Kuala Lumpur yang dinikmati warga kota hari ini.

​Menurut beliau, status Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan yang maju hari ini adalah hasil perancangan jangka panjang yang tersusun oleh kerajaan terdahulu, bukannya terjadi dalam sekelip mata.

​”Mungkin ‘neraka’ bagi sesetengah pihak adalah apabila melihat kejayaan pembangunan yang bukan mereka mulakan,” sindir beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mana Legasi Baharu PH?

​Mengulas lanjut, Razlan mempersoalkan impak dan projek mega baharu yang dibawakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) khusus untuk warga Kuala Lumpur sejak memegang tampuk kepimpinan.

​Beliau mendakwa, kebanyakan projek perumahan rakyat yang sedang berjalan ketika ini adalah projek yang telah dirancang oleh pentadbiran terdahulu, namun kini dijenamakan semula. Beliau turut mengaitkan situasi ini dengan peribahasa, “lembu punya susu, sapi dapat nama.”

​”Sebagai wakil kerajaan yang mempunyai sokongan besar di Kuala Lumpur, seharusnya fokus diberikan kepada penyelesaian masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesesakan bandar dan kualiti kehidupan warga kota,” katanya.

Isu Tukar Menteri Jejaskan Konsistensi

​Razlan turut melahirkan kebimbangan mengenai kestabilan pengurusan ibu kota apabila menyaksikan beberapa pertukaran portfolio Menteri yang menjaga Wilayah Persekutuan dalam tempoh hanya satu penggal pentadbiran. Perubahan kepimpinan yang kerap ini didakwa boleh menjejaskan pelaksanaan perancangan jangka panjang Kuala Lumpur.

​Tegasnya, Kuala Lumpur memerlukan visi yang besar untuk memacu masa depan, dan bukannya sekadar kenyataan politik yang merendahkan sejarah pembangunan yang telah dibina sejak puluhan tahun lalu.

​Di akhir kenyataannya, beliau menitipkan pesanan mendalam terhadap landskap politik tanah air hari ini.

​”Berbeza politik tidak bermakna kita perlu menafikan kebaikan dan kejayaan yang pernah dibina. Namun berjanji kepada rakyat tetapi gagal menunaikannya, itulah perkara yang perlu kita bimbangkan. Kesian rakyat Malaysia,” katanya lagi.

#KualaLumpur #RazlanRafii #PolitikMalaysia #KosSaraHidup #BeritaAAC

​KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil membidas tindakan segelintir pihak dalam Kerajaan Madani yang didakwa ‘meroyan’ dan menyerang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, susulan pendiriannya yang enggan bekerjasama dengan DAP dan PKR di peringkat negeri.

​Menurut Dr. Azam, beliau hairan dengan serangan bertali-arus yang dilemparkan terhadap kepimpinan Johor, sedangkan Barisan Nasional (BN) Johor tidak mempunyai kaitan dengan pembentukan Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.

​”Johor Barisan Nasional tak ada kena-mengena pun dengan Kerajaan Madani. Tolong jalankan tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri. Jangan salahkan Onn Hafiz seolah-olah kamu berkuasa besar,” katanya dalam satu kenyataan video baru-baru ini.

​Pertikai Standard Dua Darjat Kerajaan Madani

​Beliau turut mempersoalkan mengapa Johor sering menjadi sasaran kritikan peribadi yang melampau, manakala negeri di bawah gabungan lain seperti SG4 (pimpinan PAS) dan Sarawak yang terang-terangan menolak DAP tidak menerima layanan agresif yang sama.

Negeri SG4: Tidak diserang secara peribadi walaupun berada di blok pembangkang.

Sarawak: Kekal stabil dan diterima meskipun menolak kehadiran DAP dan PKR dalam landskap politik negeri mereka.

Johor: Dikritik hebat dengan pelbagai gelaran tidak munasabah sebaik sahaja menyatakan pendirian politik mereka.

​Selar Jentera Penerangan UMNO Yang ‘Bisu’

​Dalam pada itu, Dr. Azam turut melahirkan rasa kecewa terhadap jentera penerangan UMNO di semua peringkat yang disifatkannya sebagai ‘lembab’ dan ‘bisu’ kerana gagal mempertahankan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta pemimpin negeri daripada dihina pihak lawan.

​”Kita ada 26 Ketua Bahagian Penerangan, ada penerangan Pemuda, Wanita, dan Puteri. Apa mereka buat? Cuba buka media sosial sekarang, ada mereka bela Presiden? Tak ada, kerana apa? Lembab.”

​Beliau memuji kesabaran dan kematangan politik Ahmad Zahid yang memilih untuk tidak membalas serangan, namun menegaskan ahli akar umbi seperti dirinya tidak akan lagi berdiam diri melihat maruah pemimpin mereka dipermainkan.

​Pertahankan Kepimpinan Onn Hafiz

​Mengulas lanjut mengenai ketegasan MB Johor, Dr. Azam menyifatkan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai seorang pemimpin muda yang berdisiplin tinggi, menjaga kebajikan ADUN, dan meletakkan KPI yang ketat dalam pentadbiran demi rakyat Johor.

​Sebagai penutup, beliau memberikan amaran keras kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Madani agar tidak melupakan jasa 30 kerusi Parlimen BN yang menjadi tonggak utama pembentukan kerajaan hari ini. Beliau turut menyeru seluruh ahli UMNO untuk merapatkan saf bagi memastikan DAP dan PKR kembali menjadi blok pembangkang pada masa hadapan.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #UMNOJohor #BarisanNasional  #OnnHafiz

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh, yang menggambarkan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan sebelum ini bagaikan “neraka”.

​Gulam menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mengelirukan dan sengaja melupakan tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH 1.0) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

​Menurut beliau, sepanjang tempoh BN menerajui Wilayah Persekutuan, pelbagai dasar dan pembangunan menyeluruh telah dilaksanakan demi manfaat warga kota, berbanding PH yang didakwanya gagal membawa sebarang pembangunan fizikal yang signifikan.

​”Semua yang ada di Wilayah Persekutuan hari ini adalah atas legasi pemerintahan BN. Sebagai contoh, penyediaan perumahan rakyat melibatkan 64 lokasi PPR/PA dengan lebih 62,000 unit, serta 89 projek RumahWIP (kini Residensi Wilayah) melebihi 53,000 unit pada harga bawah RM300,000.

​”Malah, penyediaan 1,200 unit Residensi Sungai Udang untuk disewa juga membuktikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Adakah kemudahan ini satu ‘neraka’ buat warga Wilayah Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kenyataan beliau juga seolah-olah menafikan peranan dan usaha 15 Datuk Bandar serta pengurusan tertinggi DBKL yang majoritinya penjawat awam Melayu, yang berkhidmat secara profesional membangunkan Kuala Lumpur.” – Gulam Muszaffar.

​Beliau turut mempersoalkan ketiadaan pelan perancangan komprehensif (roadmap) rumah mampu milik, sistem pengangkutan awam (LRT/MRT), serta pembelaan nasib penjaja kecil di bawah kepimpinan Hannah Yeoh setakat ini. Sebaliknya, beliau mengkritik beberapa cadangan semasa yang dianggap tidak menyelesaikan masalah akar umbi.

​”Isu banjir kilat yang kerap berlaku, jalan berlubang yang semakin serius, dan kesesakan trafik yang bertambah buruk di Kuala Lumpur masih gagal diselesaikan. Apa yang dilihat menjadi fokus utama DAP ketika ini hanyalah isu pemilihan Datuk Bandar dan pelaksanaan Akta Semula Bandar (URA),” tambah beliau lagi.

​Mengakhiri kenyataan, Gulam menegaskan bahawa gelaran “neraka” yang dilemparkan oleh Hannah Yeoh sebenarnya lebih mencerminkan rekod pentadbiran parti itu sendiri dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

#HannahYeoh #UMNOBatu #KualaLumpur #PolitikMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Pengumuman mengejutkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelarasan harga diesel kepada RM2.10 seliter di Sarawak semalam, mula mengundang pelbagai reaksi dan kritikan daripada pemerhati politik tanah air.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, menyifatkan pengumuman tersebut seolah-olah mempunyai ‘agenda tersirat’ di sebalik hujah-hujah kebajikan rakyat yang dicanang oleh kerajaan.

​Memetik dialog ikonik filem Madu Tiga arahan Almarhum Tan Sri P. Ramlee, beliau secara sinis berkata, “baik ada makna tu, macam ada sesuatu.”

​Alasan Kekang Penyeludupan Dipersoal

​Mengulas lanjut mengenai kenyataan PMX dan Menteri Kewangan II bahawa langkah tersebut diambil bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Gulam menganggap hujah tersebut agak janggal dan kurang logik.

​”Harga diesel mahal pun orang seludup, apakan lagi harga murah? Adakah ini alasan yang valid?” soal beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

​Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai naratif Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini yang menyatakan tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel diunjurkan mencecah RM3.5 bilion sebulan. Menurutnya, penurunan harga ini pastinya akan meningkatkan lagi beban subsidi, sekali gus bercanggah dengan pendirian MOF dua minggu lalu.

​Langkah Panik Hadapi PRN & PRU-16?

​Gulam tidak menolak kemungkinan bahawa pengumuman ini merupakan satu tindakan ‘panik’ dan terdesak daripada pihak kepimpinan tertinggi negara demi meraih semula sokongan politik yang semakin merosot, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan, Melaka, dan seterusnya PRU-16.

​”Adakah penyelarasan diesel ini sebagai optik untuk menunjukkan YAB PMX amat prihatin terhadap kebajikan rakyat?

​”Persoalannya, kenapa (pengumuman dibuat) selepas empat bulan bilamana Selat Hormuz disekat sepenuhnya oleh Iran? Adakah YAB PMX tidak tahu Selat Hormuz sehingga semalam masih ditutup?” katanya lagi, merujuk kepada impak krisis geopolitik global terhadap rantaian bekalan minyak dunia.

​”Diberi Ambil, Undi Tetap Rahsia”

​Di akhir kenyataannya, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan ‘budi’ politik tersebut memandangkan ia merupakan janji yang sudah sekian lama tertunggak dan gagal ditunaikan sebelum ini.

​”Saya biarkan rakyat menikmati harga diesel yang baru, tetapi ingat ini bukan budi yang perlu dibalas. Bak kata, diberi ambil, tetapi undi itu tetap rahsia,” tegasnya. — AAC

#HargaDiesel #PolitikMalaysia #GulamMuszaffar #SubsidiMinyak #MediaAAC

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mendedahkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke didakwa memperdaya dirinya berhubung penyelesaian kos guaman kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

​Menurut Jamal, kegagalan Menteri Pengangkutan itu menunaikan janji menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos guaman berjumlah RM66,061.85, selain berdepan risiko 14 harta alih dari kediamannya dilelong. Beliau menyifatkan Anthony Loke sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana gagal menyelesaikan isu luar mahkamah seperti yang dijanjikan sebelum ini.

​“Anthony Loke seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Kes ini kecil sahaja, tapi dia tak boleh nak selesaikan sedangkan dia janji dengan saya.

​“Malangnya janji Anthony Loke hanya tinggal janji dan akhirnya saya terpaksa lelong selipar dan tuala untuk membayar kos tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

​Megat Zulkarnain Jadi Saksi Janji

​Jamal turut mendakwa bahawa komitmen yang diberikan oleh Loke itu disaksikan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Malah, terma penyelesaian tersebut telah ditulis oleh peguamnya kepada peguam Teresa Kok.

​Rentetan kegagalan itu, Jamal menyifatkan kepimpinan DAP sebagai tidak mengotakan janji yang diberikan kepada rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana sumbangan UMNO dan penyokongnya yang membantu kemenangan calon DAP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini seolah-olah tidak dihargai.

​“Jadi rakyat Malaysia jangan percaya dengan DAP, inilah sebenarnya gambaran DAP dan Teresa Kok dengan cara dia. Walaupun sudah dapat RM300,000 (saman fitnah) dan ketika pilihan raya lepas, walaupun UMNO bersama dengan dia dan ketika PRN UMNO bantu dia… tetapi akhirnya apa yang DAP buat?” soalnya lagi.

​Lelongan Harta Ditangguhkan

​Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Komunikasi BN Selangor mengesahkan telah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Kok pada Sabtu lalu menerusi serahan cek sekitar jam 5 petang.

​Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Kok mengesahkan penerimaan cek tersebut, sekali gus menyaksikan lelongan awam terhadap 14 harta alih di kediaman Jamal yang dijadualkan pada 22 Jun ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menunggu pelepasan (clearence) cek berkenaan.

​Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lalu telah menolak permohonan tuntutan interplider oleh anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa barangan disita di kediaman Ampang Jaya tersebut adalah miliknya.

​Imbas kembali kes ini, pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa Kok selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada Mac 2017. Ganti rugi utama tersebut bagaimanapun telah diselesaikan oleh Jamal sebelum ini.

#BeritaAAC #JamalYunos #AnthonyLoke #SamanFitnah #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR – Menjelang hari penamaan calon yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, situasi dalaman parti politik mula hangat apabila timbul desas-desus mengenai isu “merajuk” dan “ugut-mengugut” dalam kalangan pemimpin yang mahu dicalonkan.

​Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan secara terbuka mengingatkan para pemimpin parti, terutamanya di peringkat bahagian, agar mengetepikan kepentingan peribadi dan menilai kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menjadi calon.

​Beliau menegaskan, kriteria pemilihan calon kali ini perlu diperketatkan berdasarkan merit, populariti dalam kalangan rakyat, gerak kerja digital, serta komitmen turun padang, dan bukannya diberikan secara automatik atas tiket jawatan parti.

​”Jangan ingat kamu Ketua Bahagian, (pencalonan) itu automatik. Boleh menang ke tidak? Ada seorang Ketua Bahagian ni saya ingat lagi dia kata, ‘Aku tak kisah, aku nak dalam hidup aku sebelum aku mati, aku pernah jadi calon.’ Eh, apa benda yang korang cakap ni?” katanya dalam satu kenyataan.

​’Wali Kong’ & Ugutan Ketua Bahagian

​Mengulas mengenai pergolakan di beberapa negeri termasuk di Sabah, Dr Azam menyifatkan tindakan segelintir Ketua Bahagian yang cuba membuat ugutan demi mendapatkan tempat sebagai calon sebagai sesuatu yang merapik.

​”Saya nak beritahu yang dekat Sabah, merapiklah. Itu bukan wali, itu ‘wali kong’. Saya tak nak sebut namalah. Ketua Bahagian ugut… padahal rekod saya pun tak faham. Kita nak menang ke nak jaga hati Ketua Bahagian?” soal beliau tegas.

​Guna Syarat Aktif Media Sosial & Kehadiran Subuh

​Bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), Dr Azam mencadangkan agar Presiden dan pucuk pimpinan parti meletakkan syarat ketat berasaskan prestasi nyata (KPI). Antaranya termasuklah keaktifan di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook serta komitmen program keagamaan seperti ‘Semarak Subuh’ yang dipelopori di Johor.

​Beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beberapa wakil rakyat seperti Pak Andak (kehadiran Semarak Subuh 98.9%) serta Jafni Hairi yang disifatkannya sebagai penanda aras terbaik.

​”Bagi saya, kalau saya Presiden, syarat saya ialah tengok Facebook kamu aktif, TikTok semua buat, Instagram buat. Bercakap apa yang dibuat.

​”Lagi satu, attendance Semarak Subuh. Kalau attendance 80 peratus ke bawah ni, tak payahlah. Yang pakai-pakai calon tu, yang berangan tu, tengoklah muka dulu,” katanya lagi.

​Sindrom Dendam Kesumat Hancurkan Parti

​Dalam pada itu, Dr Azam turut menghantar amaran keras bahawa musuh sebenar yang sering menumbangkan calon UMNO dan BN bukanlah pihak lawan, melainkan sikap khianat daripada ahli parti itu sendiri akibat dendam.

​”Yang mengalahkan calon-calon UMNO dan Barisan Nasional ni bukan orang lain, tapi orang parti sendiri. Dendam kesumat yang lebih itu sendiri.

​”Kita bersatu hatilah, jangan tamak semua, jangan ada hasad dengki. Fokus kita sekarang adalah untuk PRU16 bagi mengembalikan kuasa,” ujarnya mengakhiri bicara.

#PolitikMalaysia #UMNOBN #PRU16 #DrAzamRauzan #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan semua pihak dan jentera parti politik agar menjalankan kempen secara berhemah tanpa elemen provokasi atau saling menghina antara satu sama lain.

​Beliau menegaskan bahawa fokus utama setiap calon dan parti sepatutnya tertumpu kepada pembentangan visi serta tawaran yang mampu membawa kebaikan kepada struktur masyarakat serta pemulihan ekonomi negara.

​”Nasihat saya, kempen dijalankan dengan betul, tak perlu kita hina-menghina sesama kita. Kita hanya memberikan kepada masyarakat apa yang kita boleh buat untuk memperbaiki masyarakat kita dan juga memperbaiki ekonomi negara kita,” katanya.

​Mengulas lanjut, Musa turut memberikan amaran keras agar tiada mana-mana pihak cuba menyentuh isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau mengeruhkan hubungan sesama ahli politik.

​”Itu penting. Tak payah kita cakap pasal benda-benda yang boleh mendatangkan kerumitan dalam hubungan antara kaum ataupun antara ahli politik,” tambah beliau lagi ketika diminta mengulas mengenai pesanan beliau buat kedua-dua pihak yang bakal bertanding dalam PRN akan datang.

​Kenyataan ini hadir sebagai peringatan penting bagi memastikan suasana politik tanah air kekal matang, harmoni, dan bebas daripada sebarang insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen.

#PRNJohor #PRNNegeriSembilan #MusaHassan #PolitikMatang #BeritaAAC