Aktivis Rakyat

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh digesa untuk bersikap lebih profesional dan mengambil pendekatan matang dalam menangani isu kekurangan tanah pekuburan Islam di ibu kota, berbanding memilih ‘jalan pintas’ dengan membuat laporan polis.

​Hussein Zulkarai dari NGO Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat KL berkata, isu melibatkan tanah kubur bukan sekadar isu rakyat biasa, sebaliknya ia merupakan isu sensitif berkaitan agama yang memerlukan perbincangan skop yang lebih besar.

​Menurut beliau, isu tersebut hangat diperkatakan semula selepas Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ghulam Muzaffar, menyuarakan keraguan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat Islam setempat.

​”Kita faham dalam Kuala Lumpur ini tanah pekuburan tidak mencukupi, kita orang Islam faham. Namun, kami melihat perkara ini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ada yang mahu membuat laporan polis.

​”Kebiasaannya bila laporan polis dibuat, perkara ini kemungkinan besar selesai di mahkamah. Jadi pandangan kami di sini, kenapa tidak YB Hannah Yeoh meniru atau memikirkan sesuatu seperti yang pernah dilakukan oleh YB Johari Abdul Gani terhadap isu Konvensyen URA (Akta Perancangan Wilayah Persekutuan) sebelum ini?” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

​Mengulas lanjut, Hussein berkata sewaktu isu URA dibangkitkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini, Datuk Seri Johari Abdul Gani telah mengambil pendekatan proaktif dengan memanggil sesi town hall bersama semua penduduk yang mahu hadir.

​Langkah itu jelasnya, memberi ruang kepada orang ramai untuk menerangkan situasi, memberikan pandangan, idea, serta mencari keputusan terbaik dan bermanfaat untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet.

​Justeru, Hussein mencadangkan agar Hannah Yeoh melaksanakan sesi perjumpaan dan town hall serupa dengan melibatkan semua pengurusi masjid, surau, persatuan penduduk, serta NGO Melayu dan Islam untuk membentangkan dan membincangkan kewajaran isu tanah kubur ini secara telus sebelum membuat keputusan akhir.

​”Tak perlulah nak lapor polis atau ambil tindakan. Pada saya YB Hannah Yeoh patut bersikap profesional. Tak sewajarnya seorang menteri, apabila ada aduan atau pertanyaan daripada publik, mengambil pendekatan jalan pintas dengan lapor polis dan biarkan polis siasat. Itu bukan ‘level’ menteri.

​”Menteri yang ada sekarang perlu laksanakan pendekatan berbincang. Benda boleh bincang, tak perlu nak panjangkan kerana bila dipanjangkan, ia akan menjadi hal (masalah lebih besar),” tegasnya.

#IsuTanahKubur #HannahYeoh #JohariGani #BeritaAAC #KualaLumpur

– Dato’ Dr Kalaivanar Selar MSIG Gagal Bayar Tuntutan Kemalangan

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, menggesa syarikat insurans MSIG untuk segera menyelesaikan tuntutan kemalangan seorang pemuda berusia 20 tahun yang didakwa sengaja dilengah-lengahkan sejak 11 Oktober 2025.

​Menurut Dr Kalaivanar, keengganan pihak insurans meluluskan tuntutan tersebut amat mengecewakan, memandangkan mangsa telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, termasuk mengemukakan bukti penyelesaian secara peribadi dengan pemandu lori yang terlibat.

Kronologi Kejadian

Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada 11 Oktober 2025 kira-kira jam 3:30 pagi di Lebuhraya KESAS (Kilometer 31.8) menghala ke Kajang. Insiden bermula apabila sebuah kenderaan pihak ketiga bertindak menukar lorong secara mengejut tanpa memberi isyarat. Demi mengelak pelanggaran, mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori sebelum terbabas ke pembahagi jalan, mengakibatkan kenderaannya rosak teruk.

Isu Penyelesaian Peribadi & Laporan Polis

Dalam sidang media yang sama, wakil mangsa menjelaskan bahawa selepas kemalangan, pemandu lori tersebut meminta untuk tidak melibatkan insurans kerana bimbang proses tuntutan yang lama akan menjejaskan perniagaannya. Pemandu lori itu kemudiannya membayar RM1,000 secara tunai kepada mangsa sebagai ganti rugi awal. Malah, pemandu lori tersebut turut membuat Akuan Sumpah di bawah Akta Akuan Sumpah 1960 bagi mengesahkan kronologi tersebut.

​Bagaimanapun, isu timbul apabila pemandu lori berkenaan tetap membuat laporan polis bagi tujuan rekod syarikat untuk menjelaskan kelewatan penghantaran barang, dan bukannya untuk menuntut insurans. Pihak polis juga mengesahkan bahawa mangsa tidak pernah menafikan penglibatan lori tersebut apabila disoal siasat.

Tuntutan Mangsa & Tempoh 10 Hari

Dr Kalaivanar menegaskan bahawa ejen penyelaras insurans (adjuster) sepatutnya mendapatkan laporan rasmi daripada Pegawai Penyiasat (IO) trafik IPD Shah Alam untuk pengesahan, dan bukannya menuduh mangsa memberikan maklumat palsu.

​Akibat kegagalan pihak MSIG membayar tuntutan ini, kenderaan mangsa kini tersadai di bengkel selama hampir sembilan bulan, sekali gus menjejaskan urusan harian beliau untuk keluar bekerja.

​”Kita beri tempoh 10 hari kepada pihak insurans untuk semak semula fail kes ini dan bayar tuntutan membaiki kenderaan mangsa. Satu Surat Tuntutan (Letter of Demand) rasmi akan dihantar pada hari Isnin ini,” tegas Dr Kalaivanar. Beliau turut mengkritik pihak Ombudsman yang disifatkan berdiam diri dan gagal memainkan peranan sewajarnya dalam membantu pengguna.

#BeritaAAC #KeadilanPengguna #TuntutInsurans #DrKalaivanar #IsuSemasaMalaysia

AMPANG, 14 Julai 2026 – Pengasas produk kesihatan popular Kuffee, Wan Razila Iluni Wan Ramli (Yuniey Iluniey), atau lebih dikenali sebagai Madam Yuniey, hari ini mendedahkan satu insiden serius membabitkan pengkhianatan dalaman dan kewujudan pasaran gelap yang telah mengakibatkan syarikatnya menanggung kerugian disahkan melebihi RM500,000.

​Isu ini mula dihidu sejak Mac 2026 selepas pihak pengurusan menerima ratusan aduan dan mesej langsung (DM) daripada pengguna yang mendakwa rasa, keberkesanan, dan kualiti produk Kuffee tidak lagi sama seperti dahulu. Susulan itu, satu siasatan rahsia telah dijalankan termasuk tindakan menghentikan operasi pengeluaran (kilang) secara total bagi bulan Mac, April, dan Mei 2026 untuk mengesan punca lambakan produk mencurigakan di pasaran.

Dalang Utama Dikenal Pasti, Melibatkan Bekas Kakitangan Kanan

Melalui siasatan dalaman yang dijalankan dengan bantuan bukti transaksi daripada barisan ejen dan leader, dalang utama penyelewengan ini didapati merupakan bekas kakitangan syarikat sendiri yang bernama Nur Antasha binti Abdul Razak. Kakitangan terbabit yang telah berkhidmat dari Disember 2023 sehingga Jun 2026 didapati telah mengarahkan barisan leader untuk memindahkan wang pesanan produk ke akaun peribadinya serta akaun sebuah syarikat baharu yang ditubuhkan atas namanya sendiri pada Mei lepas, dan bukannya ke akaun rasmi syarikat Kuffee.

​Lebih mengecewakan, suspek yang dipercayai mempunyai hubungan peribadi yang sangat rapat dengan Madam Yuniey dan keluarganya, didakwa mengambil kesempatan atas kepercayaan penuh yang diberikan untuk berurusan secara terus dengan pihak kilang bagi mengeluarkan produk tiruan yang telah dimanipulasi kandungan bahan demi mengaut keuntungan peribadi.

Tindakan Undang-Undang Menanti 9 Leader, Kuffee Tampil Dengan Wajah Baharu

Bercakap dalam nada sebak, Madam Yuniey menegaskan bahawa dia tidak akan berkompromi dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang yang tegas bersama pasukan guamannya terhadap bekas kakitangannya itu serta kira-kira sembilan orang leader utama yang dikesan terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pakatan gelap ini.

​Bagi membersihkan semula imej jenama dan melindungi hak pengguna setia, syarikat kini sedang melaksanakan penstrukturan semula secara menyeluruh melibatkan pengurusan, struktur pasukan, serta menukarkan pengeluaran ke kilang baharu. Kuffee bakal diluncurkan semula menerusi ‘wave’ baharu dengan penambahbaikan formulasi yang lebih diyakini serta reka bentuk pembungkusan (packaging) terbaharu yang dilengkapi jaminan ketulenan.

​Orang ramai dan para pengedar dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan barisan ejen rasmi yang sah yang akan diumumkan oleh pihak syarikat tidak lama lagi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa produk tiruan pasaran gelap.

#KuffeePasaranGelap #MadamYunieyKuffee #IsuKuffeeTiruan #AACNews #KeadilanUntukKuffee

​KUALA LUMPUR, 14 Julai 2026 – Aktivis sosial terkemuka, Dato’ Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim, untuk segera mengambil tindakan terhadap tuntutan pampasan seorang pemuda yang mengalami masalah pendengaran kekal akibat persekitaran kerja yang berbahaya.

​Dalam satu sidang media yang diadakan di ibu negara pada jam 4:40 petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar tampil bersama mangsa, Encik Ganeswaran anak lelaki Nagarajan, 30 tahun, yang kini mengalami kecacatan pendengaran sepenuhnya pada telinga sebelah kiri. Mangsa yang bekerja selama 12 jam sehari di sebuah kilang kayu di Ipoh, Perak, telah terdedah kepada mesin Ital Press yang menghasilkan bunyi bising yang melampau.

​Menurut laporan perubatan daripada Doktor Kesihatan Pekerjaan, mangsa disahkan mengalami Noise-Induced Hearing Loss (NIHL) atau kehilangan pendengaran akibat bunyi bising. Kajian kesihatan mendapati mesin di kilang berkenaan menghasilkan tahap kebisingan mencecah 90.5 dB(A), jauh melepasi had maksimum keselamatan yang ditetapkan di bawah undang-undang negara iaitu 85 dB(A) bagi tempoh pendedahan tertentu.

​Dato’ Dr. Kalaivanar menzahirkan rasa kesal terhadap birokrasi PERKESO yang disifatkannya menyukarkan proses tuntutan pampasan bagi pekerja yang teraniaya, walaupun mangsa merupakan pencarum yang sah. Beliau turut mengkritik laporan tulisan tangan doktor yang sukar dibaca, yang didakwanya menjadi antara punca kelewatan dan penolakan permohonan oleh pihak PERKESO.

​Sehubungan itu, beliau memberikan tempoh 10 hari kepada pihak PERKESO dan kementerian berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara prihatin demi keadilan fizikal dan mental mangsa serta isterinya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga selama dua bulan.

#BeritaAAC #KeadilanUntukPekerja #BantuGaneswaran #PrihatinPERKESO #KeselamatanPekerja

KUALA LUMPUR – Kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini disifatkan sebagai hasil daripada strategi gerak kerja kempen yang kemas serta pemilihan calon yang menepati cita rasa pengundi.

​Penganalisis Politik, Dr. Azam Rauzan menjelaskan bahawa kemenangan tersebut membuktikan strategi meletakkan gabungan wajah baharu, orang muda, dan gandingan veteran telah membuahkan hasil yang sangat positif buat gabungan itu.

​”Kita terpaksa memuji gerak kerja yang dijalankan oleh jentera pilihan raya. Pertama, kita tidak mempunyai banyak isu kali ini. Faktor kedua pula adalah pemilihan calon-calon yang tepat dan bersesuaian dengan keadaan semasa, di mana wujudnya a full mixture antara orang muda dan juga orang veteran,” katanya dalam sesi Temubual Sembang Kopi.

​Mengulas lanjut mengenai peralihan sokongan, beliau menarik perhatian kepada berlakunya mood swing dalam kalangan pengundi etnik Cina. Hasil tinjauan di lapangan menunjukkan majoriti daripada mereka meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi parti pembangkang sebelum ini, sekali gus mengalihkan sokongan semula kepada Barisan Nasional.

​Selain itu, sokongan padu daripada anak muda tempatan—terutamanya menerusi kemudahan dan penglibatan aktif institusi seperti Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta kelab-kelab sukarelawan Johor—turut menjadi nadi penting kepada kemenangan ini. Dr. Azam juga menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi yang tinggi daripada anak-anak Felda dan anak muda luar bandar yang pulang mengundi nyata memihak kepada BN.

​Dalam pada itu, beliau turut sempat menitipkan pesanan kepada barisan kepimpinan muda dan Exco baharu yang bakal diumumkan agar menjalankan amanah dengan sebaiknya.

​”Kepada anak muda yang dah pegang jawatan sekarang, yang akan diumumkan sebagai barisan Exco, do your work. Jangan ulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini,” tegas beliau mengakhiri bicara.

#PRNJohor #SembangKopiAAC #PolitikMalaysia #BangsaJohor #DrAzamRauzan

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Dr Azam Rauzan menyelar tindakan pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang didakwa cuba memusingkan kenyataan berhubung isu peletakan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

​Menurut Dr Azam, kenyataan awal yang dikeluarkan oleh pemimpin berkenaan seolah-olah ‘memakan diri’ dan secara tidak langsung mengesahkan bahawa parti tersebut sememangnya menjadi penghalang utama kepada pembebasan bekas Perdana Menteri itu.

​Jelas beliau, dalam era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) hari ini, setiap kenyataan yang dikeluarkan mudah diterjemah dan dikesan oleh masyarakat, sekaligus menyukarkan mana-mana pihak untuk menafikan apa yang telah diperkatakan sebelum ini.

​Mengulas mengenai respons sinis Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan akan ‘berjumpa’ dengan pemimpin DAP tersebut secara profesional, Dr Azam menyifatkannya sebagai satu mesej jelas agar kepimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) lebih menghormati rakan konsensus dalam Kerajaan Perpaduan.

​Beliau turut mengingatkan kepimpinan DAP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak memandang remeh kehadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kabinet. Tegasnya, pembentukan kerajaan hari ini bukanlah atas kehendak peribadi, sebaliknya adalah atas titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.

​Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, Dr Azam menyifatkan kemenangan besar BN sebagai isyarat jelas daripada rakyat. Beliau tidak menolak kemungkinan ‘keajaiban’ dan lonjakan sokongan yang sama boleh berlaku di Negeri Sembilan sekiranya gelombang penolakan terhadap naratif politik PH terus meningkat.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #DrAzamRauzan #IsuPanasPolitik

KUALA LUMPUR , 13 Julai 2026– Nasib 40 orang pelajar autism dan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Pandamaran kini terumbang-ambing susulan keputusan mengejut Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut pada 2 Julai 2026 yang lalu.

​Pertubuhan yang telah beroperasi sejak tahun 2019 itu berfungsi sebagai pusat pendidikan khas yang menyediakan latihan serta modul pembelajaran teliti oleh barisan lapan orang guru pakar buat golongan berkeperluan khas ini dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 pagi setiap hari.

​Tindakan pembatalan yang dibuat dalam tempoh singkat sekitar tiga bulan itu mengundang persoalan daripada pihak jawatankuasa baharu. Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, selaku jurucakap Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil mempersoalkan keputusan tergesa-gesa pihak ROS Selangor.

​”Kami tidak faham kenapa pertubuhan ini tiba-tiba ditutup dalam masa tiga bulan. ROS sebelum ini telah menasihatkan agar diadakan penyatuan antara ahli jawatankuasa lama dan baharu, selain meminta minit mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi tahun 2021 hingga 2023. Namun, jawatankuasa baharu hanya mengambil alih pada 8 September 2024, jadi rekod-rekod lama berada di tangan jawatankuasa lama,” jelas beliau dalam satu sidang media hari ini.

​Tambah Dr. Kalaivanar, penutupan ini memberikan kesan emosi dan kebajikan yang mendalam kepada anak-anak syurga ini serta ibu bapa mereka yang kini buntu memikirkan destinasi alternatif untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan khas. Justeru, beliau merayu atas dasar belas kasihan agar Pengarah ROS Selangor memanggil semula pihak terlibat untuk berbincang dan membatalkan status pembubaran tersebut.

​Beliau turut menyeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memandang serius isu ini dan menyarankan kepada ROS agar pusat pemulihan ini dibuka semula demi masa depan para pelajar terbabit.

​Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan, Albert, menyatakan kebimbangan mengenai bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan melalui JKM. Menurutnya, setiap pelajar menerima elaun bulanan sebanyak RM300 yang digunakan sepenuhnya oleh ibu bapa—termasuk golongan ibu tunggal—untuk membeli barangan keperluan asas seperti lampin dan susu.

​”Jikalau pertubuhan ini dibatalkan, siapakah yang akan menanggung keperluan harian mereka selepas ini? Kami amat berharap agar operasi pertubuhan dapat diteruskan seperti biasa demi kebajikan anak-anak OKU ini,” rayu Albert.

​Pihak pertubuhan kini berharap agar video sidang media ini mendapat perhatian tular masyarakat Malaysia bagi mendesak pihak ROS menyemak semula keputusan berkenaan demi membela nasib 40 anak-anak OKU dan autism yang terlibat.

#BelaNasibOKU #BukaSemulaPusatKhas #SavePandamaranPDK #SuaraAnakAutism #BeritaAAC

KUALA LUMPUR , 13 Julai 2026 – UMNO menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian rasmi yang dimeterai antara parti itu dengan PAS setakat ini, meskipun terdapat dakwaan mengenai perundingan kerusi antara kedua-dua pihak.

​Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya wujud sebarang perbincangan sebelum ini, ia hanyalah sekadar satu bentuk persefahaman atau understanding sahaja, bukannya komitmen rasmi.

​”Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS.

​”Cuma kalau ada perbincangan pun, sekadar understanding atau persefahaman, dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu. Kita lihatlah perkembangannya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai pendirian UMNO terhadap PAS, Ahmad Zahid mengingatkan ahli dan kepimpinan parti agar tidak terlalu optimis atau ‘memegang erat’ kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti berkenaan.

​Beliau merujuk kepada pengalaman politik sebelum ini, khususnya di Johor, di mana apa yang dinyatakan oleh pihak lawan sebelum hari penamaan calon sering kali berubah apabila tiba hari pengundian.

​”Jangan positif sangat dengan mereka ini, cuma kita harus ada bersangka baik sahaja tetapi jangan terlalu yakin. Mereka boleh tukar goal post (pintu gol) bila-bila masa sahaja.

​”Banyak parti dah ‘kena’ dengan mereka ini. Jadi saya harap mereka tidak berubahlah, dan saya anggap itu hanyalah kenyataan politik oleh mereka,” tambah beliau lagi.

#ZahidHamidi #UMNOvsPAS #PolitikMalaysia #BarisanNasional #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Sokongan masyarakat India kini dilaporkan kembali beralih kepada pangkuan Barisan Nasional (BN) dan MIC ekoran rasa kecewa yang mendalam terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) serta DAP.

​Menurut Aktivis Sosial yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, peralihan landskap politik ini dibuktikan menerusi prestasi cemerlang MIC yang mencatatkan kemenangan 100 peratus dengan memenangi kesemua empat kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya sebelum ini.

​Rakyat Sudah ‘Fed Up’

​Jelas Dr. Kalaivanar, kepulangan pengundi India kepada BN bukanlah satu tindakan melulu, sebaliknya ia adalah isyarat jelas bahawa komuniti tersebut sudah muak dengan kegagalan PH menunaikan janji mereka.

​”Bukan mereka cinta sangat kepada MIC atau BN, tetapi kerana mereka dah fed up (muak) dengan DAP dan Pakatan Harapan. Dua-dua kali lima sahaja,” katanya tegas.

​Isu MITRA Tergendala & Kritikan Terhadap Pemimpin PH

​Beliau turut membangkitkan isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang didakwa gagal berfungsi dengan baik di bawah pengurusan pihak berkaitan. Dr. Kalaivanar secara terbuka menyelar individu bernama Ramanan yang disifatkannya gagal membantu komuniti tersebut, sebaliknya hanya pandai membuat kenyataan media yang tidak fasih sehingga menyebabkan projek pembangunan masyarakat India tergendala.

​Selain itu, beliau turut mengkritik kepimpinan beberapa pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming dan Anthony Loke yang disifatkannya “tidak betul” dalam mengendalikan isu rakyat, mendorong komuniti India mengenang kembali jasa-jasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

​’Deklarasi Gelang Patah’ Jadi Medium Kesedaran

​Mengulas mengenai strategi penyebaran maklumat, Dr. Kalaivanar mendedahkan bahawa video kempen bahasa Tamil miliknya yang dikenali sebagai ‘Deklarasi Gelang Patah’ telah tular secara meluas di Johor dan Negeri Sembilan. Video tersebut secara konsisten menyeru masyarakat India agar tidak lagi mengundi DAP, sebaliknya memberikan undi kepada BN, PSM, atau calon Bebas.

​Beliau turut mendakwa PH kini ketandusan modal politik apabila sering menggunakan isu perundangan Najib Razak sebagai modal kempen utama untuk menakut-nakutkan pengundi.

​Amaran Keras Buat Ahli Politik

​Menutup bicara, Dr. Kalaivanar mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak memandang rendah kebijaksanaan rakyat mutakhir ini, terutama dengan kuasa media sosial yang semakin dominan.

​”Jangan ingat rakyat Malaysia ini bodoh. Sekarang mereka pintar dan media sosial sangat kuat. Sesiapa yang gagal tunai janji, bersedialah untuk berundur,” katanya.

#BeritaAAC #DrKalaivanar #IsuMitra #PolitikMalaysia #MasyarakatIndia

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 – Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, hari ini mendesak Ahli Parlimen DAP, Ng Kor Ming, untuk meletakkan jawatan serta-merta ekoran kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

​Dalam satu sidang media yang diadakan pada jam 4.00 petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa desakan itu dibuat susulan kenyataan terbuka yang pernah dikeluarkan oleh Kor Ming sebelum ini, yang berjanji akan meletak jawatan sekiranya Barisan Nasional memenangi pilihan raya tersebut.

​Beliau menyifatkan kemenangan BN di Johor sebagai satu “tamparan hebat” kepada parti pembangkang, khususnya PKR dan DAP. Mengulas lanjut mengenai keputusan PRN itu, beliau menyatakan bahawa PKR hanya berjaya memenangi satu kerusi melalui calonnya, Saudara Mizan, manakala DAP memenangi lapan kerusi dan Amanah pula sekadar memperoleh satu kerusi.

​Dato’ Dr. Kalaivanar turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan pemimpin DAP itu yang didakwa cuba mengelak apabila diajukan soalan oleh pihak pengamal media mengenai janji tersebut, dengan alasan mahu memberikan fokus kepada perkara lain.

​”Jangan percaya sama DAP. Hari ini cakap satu, besok cakap satu. Hari ini dia cakap kalau menang, dia akan letak jawatan. Sekarang letak jawatanlah, jadi gentleman,” ujar beliau. Beliau turut mempersoalkan sama ada Kor Ming enggan berundur disebabkan penglibatannya dalam pelbagai projek besar, termasuk pembukaan banyak kios serta projek perumahan di bawah program PR1MA.

​Dalam sidang media yang sama, beliau turut memberi amaran keras kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai masa depan Pakatan Harapan (PH) sekiranya masih mengekalkan pemimpin seperti Ng Kor Ming dan Anthony Loke. Menurutnya, kegagalan mengambil tindakan tegas boleh menyebabkan Pakatan Harapan berubah menjadi “Pakatan Haprak.”

​Beliau turut menyentuh klip video tular melibatkan Perdana Menteri yang menyentuh mengenai isu “klinik uzur” dan secara berseloroh mendesak Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa (Zul), untuk turut meletakkan jawatan susulan teguran terbuka daripada ketua kerajaan itu sendiri.

#PRNJohor #NgKorMing #DatoDrKalaivanar #TuntutJanji #BeritaAAC