
JOHOR BAHRU – Kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terus mendapat pujian dan perhatian penganalisis politik yang menyifatkan beliau sebagai figura muda yang berpotensi menjadi pemimpin masa depan negara.
Bercakap dalam Sesi Temubual AHF News & Media bersama moderator Datuk Amir Hijaz dan Hafiz, penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan menyifatkan Onn Hafiz sebagai seorang pemimpin yang melambangkan kehalusan dan ketegasan jati diri bangsa Johor. Beliau turut memuji pendekatan Onn Hafiz yang sentiasa tenang namun tajuk dalam menjawab segala ujian sepanjang musim pilihan raya ini.
”Beliau seorang pentadbir yang adil dan tegas. Malah, di bawah kepimpinan beliau bersama barisan EXCO, mereka berjaya menterjemahkan sebuah kerajaan yang bersih (clean government). Cara beliau yang halus dalam menambat hati rakyat menunjukkan nilai integriti dan moraliti tinggi yang diterapkan sejak sekolah agama lagi,” ujar Dr. Azam.
Mengulas mengenai hubungan erat antara pihak Istana Johor dan kerajaan negeri, Dr. Azam menjelaskan bahawa sinergi harmoni yang wujud antara kedua-dua pihak adalah satu keunikan yang menjadi pemacu kepada kemakmuran ekonomi Johor. Sokongan dan kasih sayang yang dizahirkan oleh pihak Istana membuktikan komitmen bersama demi kesejahteraan rakyat Johor.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai gerak kerja jentera pilihan raya, Dr. Azam turut memetik pesanan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, agar jentera parti tidak leka dengan keyakinan semasa.
Walaupun momentum sokongan rakyat dilihat berada pada tahap yang sangat optimum, jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk terus fokus mengukuhkan sokongan dan mengekalkan disiplin di lapangan sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan mutlak dapat dicapai.
#OnnHafiz #BangsaJohor #MajuJohor #BarisanNasional #BeritaAAC
