Editors Pick

KUALA LUMPUR, 26 April 2026 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif sensasi di media sosial, khususnya apabila sesuatu isu digambarkan seolah-olah negara sedang berada dalam keadaan terlalu kritikal.

Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu berkata, himpunan yang berlangsung di Sogo semalam hanya dihadiri sekitar 300 hingga 400 orang, namun gambaran yang tersebar di media sosial dilihat seolah-olah negara sedang berdepan suasana besar dan genting.

Menurut beliau, keadaan itu bukan perkara baharu kerana ketika Barisan Nasional mentadbir negara dahulu, pelbagai naratif negatif turut dimainkan bagi memburukkan dasar kerajaan, walaupun sebahagian dasar tersebut akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau kita baca di media sosial, nampak macam hari nak kiamat di Malaysia. Tapi realitinya, yang datang lebih kurang 300 orang. Polis dan wartawan pun ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 April 2026.

Razlan berkata, rakyat perlu menilai setiap isu secara matang dan tidak hanya bergantung kepada potongan video, hantaran media sosial atau gerakan kumpulan tertentu yang gemar mencipta persepsi.

Beliau mendakwa, ada pihak yang sering mengambil peluang menjadikan sesuatu isu sebagai bahan sensasi, termasuk dengan memainkan dakwaan fitnah terhadap projek pembangunan negara dan dasar kerajaan terdahulu.

Katanya, projek seperti Tun Razak Exchange dan ECRL pernah menjadi sasaran pelbagai tuduhan, termasuk dakwaan negara bakal bankrap, namun hari ini manfaat pembangunan itu mula dilihat dan dinikmati rakyat.

“Dulu macam-macam orang tuduh kita. Razak Exchange dituduh macam-macam, ECRL pun macam-macam. Tetapi hari ini, perkara itu dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Razlan turut menyindir pihak yang sebelum ini mengajak rakyat memilih pemimpin tertentu, namun apabila pemimpin itu sudah menjadi Perdana Menteri, mereka pula menghasut rakyat untuk menolak pemimpin yang pernah mereka sokong.

Menurut beliau, tindakan mencipta naratif secara berlebihan dan mengapi-apikan emosi rakyat boleh memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya lebih berhati-hati, menilai fakta dengan rasional dan tidak mudah terikut-ikut dengan ucapan atau kempen yang hanya bermain dengan emosi.

“Cakap sedap berdegar-degar memang boleh main emosi, tetapi negara ini kena jaga sama-sama,” katanya.

#AACNews #PolitikMalaysia #JanganTerikutEmosi #NilaiDenganFakta #RazlanRafii

KUALA LUMPUR, 22 April 2026 – Impian untuk meraih pendapatan lumayan di luar negara bertukar menjadi pengalaman hitam buat empat lelaki muda apabila mereka mendakwa menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas terpedaya dengan tawaran kerja bergaji tinggi di Kemboja.

Salah seorang mangsa, Muhammad Hafiz, 21, berkata dia mengenali individu yang dipercayai terlibat dalam urusan merekrut mereka menerusi kenalan sekampung di Kampung Ayer Baloi, Pontian, Johor.

Menurutnya, dia bersama tiga lagi rakannya pada mulanya dipelawa menyertai satu pertubuhan sebelum dibawa menghadiri sesi pertemuan dengan individu lain yang didakwa menawarkan peluang pekerjaan di luar negara.

Beliau berkata, mereka dimaklumkan kononnya akan bekerja di Laos atau Kemboja dalam pekerjaan yang disifatkan sebagai “halal” dan hanya memerlukan mereka mengikut skrip menggunakan komputer.

“Mereka tawarkan gaji sekitar USD1,000 sebulan dan minta kami beritahu keluarga bahawa kami akan bekerja di Singapura. Ketika itu kami langsung tidak mengesyaki apa-apa,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Hafiz berkata, selepas ditempatkan kira-kira dua minggu di sebuah rumah transit di Ulu Tiram, Johor, mereka kemudiannya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diterbangkan ke Kemboja pada pertengahan Februari lalu.

Katanya, sebaik tiba di negara berkenaan, barulah dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka sebenarnya dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian, termasuk penipuan cinta atau love scam.

Menurut beliau, tekanan demi tekanan terpaksa dihadapi apabila mereka dipaksa mencapai sasaran tertentu, malah turut menerima hukuman fizikal jika gagal memenuhi arahan sindiket.

“Saya sendiri pernah diarahkan menipu mangsa dan sempat memperdaya seorang individu sebanyak kira-kira RM500. Disebabkan tidak capai sasaran, saya dipukul. Ketika itu baru saya benar-benar sedar kami sudah terperangkap,” katanya.

Tambahnya, dia bersama tiga lagi rakannya akhirnya nekad melarikan diri pada pertengahan Ramadan selepas tidak lagi sanggup hidup dalam ketakutan dan kawalan ketat sindiket terbabit.

Menurut Muhammad Hafiz, mereka dipindahkan oleh sindiket ke sebuah hotel selepas pihak sindiket dipercayai mendapat maklumat bahawa premis asal akan diserbu pihak berkuasa.

Katanya, situasi itu membuka ruang kepada mereka untuk meloloskan diri sebelum berjalan lebih dua kilometer dan mendapatkan bantuan penduduk tempatan.

“Kami naik kenderaan orang tempatan hingga sampai ke sebuah perkampungan Islam. Dari situ kami pergi ke surau dan hubungi keluarga sebelum usaha menyelamat dilakukan,” katanya.

Beliau turut mengakui kekurangan pendedahan mengenai bahaya pemerdagangan manusia menyebabkan dia mudah mempercayai tawaran kerja tersebut, selain menyesali penglibatannya dengan kumpulan kongsi gelap.

“Saya benar-benar menyesal. Saya harap pengalaman ini jadi pengajaran kepada orang lain supaya jangan mudah percaya dengan tawaran kerja luar negara yang nampak terlalu indah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua maklumat berhubung individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan merekrut mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau mendakwa individu berkenaan dipercayai masih bebas dan aktif mencari mangsa baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, untuk dihantar ke luar negara.

“Kita gesa Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman segera bertindak kerana kegiatan ini masih berlaku dan semakin membimbangkan,” katanya.

Menurut beliau, Johor dikenal pasti antara negeri yang mencatatkan jumlah tinggi dari segi perekrutan mangsa ke Kemboja, dengan trend terkini menunjukkan semakin ramai belia Melayu turut menjadi sasaran sindiket.

Katanya lagi, aktiviti merekrut di peringkat kampung juga dipercayai masih berjalan walaupun pelbagai pendedahan mengenai kes seumpama itu telah dibuat sebelum ini.

#PemerdaganganManusia #SindiketKerjaLuarNegara #BeliaJadiMangsa #LoveScamKemboja #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO membuka ruang kepada bekas ahli dan pemimpin untuk kembali ke pangkuan parti disifatkan sebagai satu langkah besar hati, namun mereka diingatkan supaya tidak mengambil peluang itu secara sambil lewa atau menganggap kedudukan lama mereka boleh dikembalikan secara automatik.

Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan berkata, kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kembali golongan tersebut membuktikan sikap berjiwa besar kepimpinan parti, namun ia tidak bermaksud segala tindakan lampau dilupakan begitu sahaja.

Menurut beliau, mereka yang kembali ke dalam “Rumah Bangsa” perlu menunjukkan kesetiaan, disiplin dan komitmen sebenar kepada parti, bukannya tergesa-gesa memasang impian untuk menjadi calon, pemimpin besar atau memegang jawatan tertentu.

“Jangan ingat apabila diterima balik masuk UMNO, kami lupa apa yang telah berlaku. Jangan terlalu berangan cepat sangat, nak jadi calon secara automatik.

“Masuk dahulu, tunjuk kesetiaan. Buktikan kerja dan sumbangan kepada parti,” katanya ketika mengulas mengenai kemasukan semula bekas ahli dan pemimpin UMNO ke dalam parti.

Dr Azam berkata, masih ramai ahli UMNO yang kekal setia ketika parti berdepan fasa sukar, termasuk mereka yang terus berjuang tanpa meninggalkan perjuangan walaupun tidak diberi kedudukan atau jawatan.

Katanya, golongan yang kembali tidak wajar bertindak seolah-olah mereka hadir sebagai “hero” selepas sebelum ini pernah mengambil pendirian yang melukakan hati akar umbi serta kepimpinan parti.

Beliau turut mengingatkan bahawa penerimaan semula bekas ahli bukan bermakna mereka mempunyai keistimewaan untuk menentukan hala tuju parti, termasuk dalam soal pemilihan calon atau kedudukan dalam kerajaan.

“Jangan berangan nak bertanding sana, bertanding sini. Itu semua hak Presiden dan kepimpinan parti untuk tentukan.

“Ramai lagi ahli yang setia, yang menunggu dan terus berkhidmat kepada UMNO,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Azam menegaskan bahawa penyatuan semula dalam UMNO perlu dijadikan ruang untuk memperkukuh parti, bukan medan mencetuskan propaganda baharu atau meletakkan syarat yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, sikap berhati-hati perlu ada dalam kalangan mereka yang kembali supaya tidak menimbulkan semula luka lama dalam kalangan ahli yang masih mengingati tindakan serta kenyataan lampau pihak tertentu terhadap parti.

“Walaupun kita boleh senyum, berpeluk dan ketawa, luka di hati tetap ada, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, tetapi juga ahli-ahli UMNO yang setia.

“Jadi, behave, masuk dan jalankan kerja yang baik. Pastikan UMNO terus menjadi parti yang dipilih rakyat,” katanya.

Dr Azam berkata, semangat “Rumah Bangsa” seharusnya diterjemahkan melalui kesediaan semua pihak untuk merendah diri, bekerja sebagai satu pasukan dan mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.

Menurutnya, UMNO sentiasa terbuka untuk menerima kembali mereka yang benar-benar mahu berjuang, namun kesetiaan dan keikhlasan perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan

#RumahBangsa.#UMNOBangkit #BeritaAAC #PolitikSemasa #JanganJadiHero

PUTRAJAYA, 24 April 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) hari ini menyerahkan satu memorandum berhubung isu kebajikan tiga ekor gajah Malaysia yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, sambil mendesak kerajaan menjelaskan secara terbuka status memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penghantaran haiwan berkenaan.

Aktivis sosial SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar, berkata penyerahan memorandum itu dibuat sebagai suara rakyat yang prihatin terhadap nasib gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat, yang menurutnya telah berada di Jepun sejak 10 Mac 2026.

Menurut beliau, pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan politik, sebaliknya hanya mahu isu kebajikan haiwan tersebut diberi perhatian serius oleh kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Katanya, desakan rakyat juga perlu dihormati, termasuk tuntutan supaya dokumen MoU berhubung penghantaran gajah berkenaan didedahkan kepada umum bagi mengelakkan salah faham dan prasangka.

Dr Kalaivanar turut mendakwa masih wujud pelbagai percanggahan fakta berhubung asal usul penempatan gajah terbabit sebelum dihantar ke Jepun. Beliau mempersoalkan dakwaan bahawa gajah-gajah itu dihantar dari Zoo Taiping, sedangkan menurutnya terdapat bukti visual yang menunjukkan haiwan berkenaan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, bukan di zoo terbabit.

Beliau berkata, memorandum itu juga menuntut agar ketiga-tiga gajah tersebut dipulangkan semula ke Malaysia sekiranya benar tiada MoU yang jelas dan telus. Menurutnya, kemarahan rakyat terhadap isu itu semakin meningkat, malah beliau mendakwa lebih 100,000 tandatangan petisyen telah dikumpulkan sebagai tanda bantahan dan solidariti terhadap nasib haiwan berkenaan.

Sementara itu, seorang pencinta haiwan yang turut hadir, Puan Izwana, mendakwa beliau mengikuti perkembangan penghantaran gajah tersebut melalui video dan siaran langsung penjaga haiwan di Kuala Gandah. Menurutnya, Dara dipercayai mula digerakkan dari Kuala Gandah ke KLIA pada 9 Mac, sebelum dihantar ke Jepun tidak lama kemudian.

Izwana turut membangkitkan persoalan mengenai keadaan fizikal salah seekor gajah terbabit, termasuk dakwaan kecederaan pada gading dan tekanan yang dialami haiwan tersebut selepas tiba di Jepun. Beliau juga mendakwa terdapat rakaman video tular yang menunjukkan keadaan Kelat dalam situasi tertekan, selain mempersoalkan tahap pemantauan pihak berkuasa terhadap kebajikan haiwan berkenaan di luar negara.

Dalam pada itu, SBKN menegaskan bahawa memorandum tersebut diserahkan atas dasar keprihatinan terhadap maruah negara dan kebajikan haiwan, sambil berharap kerajaan tampil memberikan penjelasan menyeluruh kepada rakyat. Setakat ini, belum ada kenyataan balas rasmi daripada kementerian berhubung tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan.

#IsuGajahMalaysia #SBKN #KebajikanHaiwan #DedahMoU #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Ulang tahun ke-80 UMNO tidak seharusnya sekadar dijadikan medan mengimbau sejarah dan nostalgia semata-mata, sebaliknya perlu menjadi titik penting untuk parti itu melakukan transformasi besar demi memastikan ia kembali kukuh sebagai teras kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata sambutan bersejarah itu wajar dimanfaatkan untuk menilai secara serius arah tuju parti, termasuk keperluan melakukan revolusi mental dan budaya politik dalam kalangan kepimpinan serta ahli UMNO.

Menurut beliau, selepas lapan dekad penubuhannya, UMNO tidak lagi boleh terus bergantung kepada kaedah lama, khususnya dalam soal pemilihan calon, strategi politik dan pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Katanya, parti itu perlu lebih terbuka, bijak dan fleksibel dalam membuat keputusan, dengan keutamaan diberikan kepada kemenangan serta kekuatan angka.

Dr Azam berkata, UMNO tidak boleh terus terikat kepada hierarki tradisional parti semata-mata dalam memilih calon, kerana apa yang lebih penting ialah kebolehupayaan calon untuk menang dan diterima pengundi. Tegasnya, jika pendekatan lama masih digunakan tanpa penyesuaian, parti itu akan terus berdepan risiko kegagalan dalam pilihan raya.

Beliau turut menekankan bahawa media sosial kini perlu dijadikan antara faktor penting dalam menilai kelayakan seseorang calon. Menurutnya, dalam landskap politik semasa, calon yang mahu diketengahkan mesti dikenali ramai, mempunyai pengaruh digital, serta mampu menarik sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, malah pengundi muda dan masyarakat umum.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa budaya tikam belakang dalam parti perlu dihentikan segera jika UMNO benar-benar mahu bangkit semula. Katanya, sikap sabotaj dalaman kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon merupakan antara “penyakit lama” yang masih membelenggu parti dan menjadi punca kelemahan dalam beberapa kawasan sebelum ini.

Dr Azam menegaskan bahawa beliau bukan bercakap atas kepentingan peribadi, sebaliknya mahu melihat UMNO kembali menjadi parti teras kerajaan pada masa depan. Beliau berharap ulang tahun ke-80 ini menjadi permulaan kepada pembaharuan sebenar dalam UMNO agar parti itu lebih bersedia, lebih strategik dan lebih relevan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

#UMNO80Tahun #DrAzamRauzan #TransformasiUMNO #PRU16 #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sekali lagi menzahirkan hasrat agar diberi pengiktirafan lebih jelas dalam kerajaan dan diserap secara rasmi sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), selepas mendakwa telah menunggu hampir lima dekad untuk mendapat tempat sewajarnya dalam gabungan itu.

Presiden KIMMA, Datuk Seri Hj Syed Ibrahim Kader, berkata perjuangan parti itu tidak pernah terhenti walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, malah kesetiaan KIMMA terhadap BN dan UMNO kekal utuh sejak penubuhannya pada 26 Oktober 1976.

Menurut beliau, Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-46 bagi tahun 2025 yang berlangsung sempena ulang tahun ke-50 penubuhan parti itu menjadi medan penting untuk membawa suara akar umbi masyarakat India Muslim ke peringkat lebih tinggi.

“Selama 50 tahun kami menunggu, 50 tahun kami setia, 50 tahun kami berdiri di belakang perjuangan ini tanpa sekelumit keraguan. Namun sehingga hari ini, KIMMA masih belum diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada komponen rasmi BN walaupun tujuh kali permohonan telah dibuat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung KIMMA.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa KIMMA mahu terus kekal bersama UMNO dan BN, namun berharap satu keputusan yang lebih jelas dan tuntas dapat dibuat berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Selain isu penyertaan ke dalam BN, Syed Ibrahim turut membangkitkan tuntutan masyarakat India Muslim yang menurutnya masih berdepan kekangan dari segi status, bantuan pendidikan, peluang ekonomi dan pengiktirafan dalam dasar kerajaan.

Beliau berkata, walaupun masyarakat India Muslim merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk dalam sektor perniagaan, restoran, peruncitan, emas, pengurup wang dan pelbagai lagi, namun mereka didakwa masih tidak menerima peruntukan khusus dalam bajet tahunan negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat India Muslim, khususnya golongan B40 dan M40, berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan sewajarnya, termasuk akses pendidikan dan sokongan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menilai dan mengesahkan status masyarakat India Muslim berdasarkan dokumen yang sah, khususnya bagi mereka yang layak dipertimbangkan di bawah kerangka tertentu menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan mengiktiraf KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan agar setiap isu berkaitan komuniti itu dapat dibawa terus ke peringkat pembuat dasar.

Beliau juga membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja yang menurutnya semakin menekan sektor perkhidmatan, terutama perniagaan restoran India Muslim, pasar mini, kedai emas, pengurup wang dan kedai runcit.

Menurutnya, terdapat kira-kira 15,000 restoran India Muslim di seluruh negara dengan anggaran hasil tahunan mencecah antara RM12 bilion hingga RM14 bilion, namun ramai pengusaha berdepan kesukaran mendapatkan pekerja asing secara sah dan mencukupi.

Katanya, proses permohonan pekerja yang rumit dan kuota yang terhad menyebabkan banyak premis terpaksa mengurangkan operasi, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan, hasil perniagaan dan kutipan kepada negara.

Dalam sektor peruncitan pula, beliau mendakwa kedai-kedai kecil milik masyarakat India Muslim semakin terhimpit akibat persaingan dengan rangkaian peruncitan besar, selain tidak diberi peluang menyertai program bantuan seperti MyKasih yang menurutnya lebih banyak tertumpu kepada premis besar.

Atas dasar itu, KIMMA mengemukakan lapan usul utama untuk dipertimbangkan kerajaan, antaranya menuntut pengiktirafan rasmi KIMMA dalam kerajaan, penyertaan segera sebagai parti komponen BN, peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-16, penyelesaian isu status Bumiputera, kelulusan 10,000 pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, kuota 1,000 belia India Muslim dalam program TVET, serta pewujudan dana khas pembangunan masyarakat India Muslim.

Syed Ibrahim berkata, semua tuntutan itu bukanlah untuk meminta keistimewaan berlebihan, sebaliknya bagi memastikan masyarakat India Muslim mendapat peluang yang adil dan saksama sebagai sebahagian daripada warga Malaysia.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dapat memberi jawapan yang jelas terhadap aspirasi KIMMA dalam ucapannya, khususnya berhubung kedudukan parti itu dalam BN.

“Kami tidak menuntut lebih, hanya keadilan dan pengiktirafan yang sewajarnya atas kesetiaan yang telah kami buktikan sekian lama,” katanya.

#KIMMA #BeritaAAC #IndiaMuslim #BarisanNasional #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa permohonan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) untuk diterima sebagai parti teras dalam BN masih belum dapat dimuktamadkan selagi pindaan terhadap Perlembagaan BN tidak dipersetujui sepenuhnya oleh kepimpinan parti-parti teras gabungan itu.

Menurut beliau, UMNO mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan KIMMA dan Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46, sambil mengiktiraf peranan serta kesetiaan parti itu dalam mendukung perjuangan BN sejak sekian lama.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan Perlembagaan BN sedia ada, sebarang kemasukan parti baharu sebagai parti teras perlu melalui proses pindaan yang memerlukan persetujuan penuh daripada kepimpinan parti-parti teras BN.

“Setakat ini belum ada persetujuan untuk pindaan itu, namun jika benar ada parti yang tidak menghalang kemasukan KIMMA ke dalam Barisan Nasional, maka saya berharap parti berkenaan dapat membuat kenyataan rasmi dan pendirian rasmi bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan parti komponen BN yang terus mendukung usaha dan perjuangan gabungan itu, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan bahawa gerak kerja pilihan raya perlu dimulakan dari sekarang, tanpa menunggu tarikh sebenar pembubaran atau hari pengundian diumumkan.

Katanya, sokongan daripada ahli parti-parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon-calon BN, justeru jentera parti perlu digerakkan untuk menarik sokongan pengundi luar yang bukan terdiri daripada ahli parti.

“Gerak kerja mesti berjalan daripada sekarang. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ahli parti komponen semata-mata, sebaliknya perlu menggamit dukungan pengundi atas pagar dan kelompok bukan ahli untuk bersama-sama mendukung calon-calon BN,” ujarnya.

Menyentuh lapan resolusi yang dibawa KIMMA dalam perhimpunan tersebut, beliau berkata beberapa perkara boleh diberi pertimbangan segera, manakala isu-isu yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain akan dibawa untuk perhatian Kabinet serta menteri-menteri berkaitan dalam Kerajaan Madani.

Beliau berkata, pihaknya bersedia memohon supaya mana-mana peraturan yang menjadi penghalang kepada tuntutan KIMMA dapat dipinda atau disesuaikan, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini.

Antara tuntutan utama yang dibangkitkan KIMMA menerusi ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, termasuklah pengiktirafan KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan, kemasukan sebagai parti komponen BN, penyelesaian isu status Bumiputera bagi masyarakat India Muslim yang layak, penambahan kuota pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, peluang TVET kepada belia India Muslim, serta pewujudan dana khas untuk pembangunan komuniti itu.

KIMMA juga memohon agar diberikan peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU akan datang selepas mendakwa telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU ke-15, termasuk di Parlimen Puchong.

Mengulas isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa KIMMA dan rakan-rakan dalam kelompok “Friends of BN” sebelum ini pernah diberi peluang bertanding, dan formula sama dijangka akan digunakan semula pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi oleh Setiausaha Agung BN bagi menyesuaikan atau menambah jumlah kerusi yang wajar diperuntukkan kepada rakan-rakan parti dalam gabungan berkenaan.

Dalam sesi soal jawab bersama media, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa MIC masih kekal sebagai parti teras BN setakat ini.

Katanya, walaupun sebelum ini timbul dakwaan berhubung surat kepada Perikatan Nasional (PN), MIC tidak pernah menyatakan secara rasmi hasrat untuk keluar daripada BN.

“Setakat ini mereka adalah anggota atau parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak menyatakan untuk keluar secara rasmi daripada BN,” katanya.

Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46 itu turut menyaksikan desakan berterusan parti berkenaan agar kesetiaan hampir lima dekad mereka kepada BN diterjemahkan dalam bentuk pengiktirafan rasmi, seiring usia emas penubuhan KIMMA yang kini mencecah 50 tahun.

#KIMMA #BarisanNasional #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat menghadapi cabaran semasa, bukannya dilihat mengambil pendekatan berbentuk tekanan terhadap suara-suara yang mengkritik kepimpinan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular melibatkan kemunculan semula video-video lama di media sosial susulan kenaikan tertentu yang sedang hangat diperkatakan, termasuk insiden membabitkan seorang individu yang direman selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin kerajaan.

Menurut Razak, budaya kritikan politik bukanlah sesuatu yang baharu dalam negara ini, malah menurutnya pembangkang pada zaman pentadbiran lalu juga lebih agresif dan berani dalam mengemukakan pandangan mereka secara terbuka.

Namun katanya, beliau tidak melihat situasi sebelum ini sampai ke tahap yang menimbulkan persoalan seperti apa yang berlaku sekarang.

“Sejak daripada zaman Datuk Seri Najib, malah sebelum itu lagi, pembangkang lebih galak sebenarnya, lebih ke depan untuk bercakap. Tapi tidak pernah pula saya mendengar ada kes-kes umpamanya sebagaimana yang berlaku sekarang,” katanya.

Razak menegaskan, dalam keadaan dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran global, kerajaan wajar lebih memfokuskan kepada pemulihan keupayaan rakyat agar mampu bangkit semula, bersaing dan bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, rakyat pada waktu ini memerlukan sokongan dasar dan penyelesaian berkesan, bukannya pendekatan yang boleh ditafsirkan sebagai intimidasi atau tekanan terhadap pihak yang bersuara.

“Kerajaan perlu fokus untuk memastikan rakyat negara kita mampu comeback, untuk bersaing, untuk ke depan dalam mengharungi isu global ini berbanding dengan tindakan-tindakan yang dilakukan lebih kepada intimidasi, tekanan, menekan dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan keselarasan antara laungan kebebasan bersuara dengan tindakan yang didakwa berlaku ketika ini.

“Jadi saya rasa tidak sesuai dalam keadaan waktu mereka melaungkan kebebasan bersuara, tapi tindakan yang dilakukan adalah sebaliknya,” katanya lagi.

Kenyataan Razak itu dijangka terus menambah perbahasan awam berhubung isu kebebasan bersuara, layanan terhadap pengkritik kerajaan, serta keutamaan sebenar pentadbiran dalam mendepani keresahan rakyat ketika ini.

#BeritaAAC #AbdulRazak #KebebasanBersuara #SuaraRakyat #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan industri pembinaan antara sektor yang paling terkesan dalam keadaan ekonomi global semasa, susulan kenaikan mendadak harga bahan mentah dan material pembinaan.

Menurut beliau, berdasarkan data yang dirujuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), harga barang mentah serta bahan binaan didakwa telah meningkat sehingga 40 peratus, sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan ekosistem sektor pembangunan negara.

Katanya, kesan tersebut bukan sahaja dirasai oleh kontraktor atau syarikat pembinaan, malah turut melibatkan pelbagai rantaian industri lain seperti perunding, pembekal, institusi kewangan dan pembeli.

“Apabila sesuatu pembangunan itu dilakukan, bukan sahaja sektor pembinaan yang terlibat, tetapi ada konsultan, supplier, banker, pembeli dan sebagainya yang turut berada dalam ekosistem construction ini. Jadi, semua akan terkesan,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kesan situasi semasa terhadap industri serta perancangan bagi mengatasi cabaran global.

Razak berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh bagi mengawal keadaan agar kenaikan harga tidak terus menjejaskan sektor-sektor penting negara.

Beliau menegaskan perlu ada campur tangan kerajaan untuk memastikan pembekal tidak menaikkan harga sesuka hati walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.
Menurutnya, sekurang-kurangnya perlu ada satu petunjuk kawalan atau ketetapan tertentu bagi mengawal margin keuntungan supaya tidak merudum dan akhirnya memberi kesan berantai kepada sektor lain.

“Kerajaan perlu tuntas untuk segera counter balik tentang apakah perkara-perkara yang kerajaan perlu interfere. Kena ada interference daripada kerajaan,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan merangka satu pelan induk yang lebih jelas melibatkan langkah jangka pendek dan jangka panjang, bukan sahaja untuk industri pembinaan, malah untuk sektor ekonomi secara keseluruhannya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti bentuk pakej rangsangan atau suntikan sokongan yang sesuai untuk membantu industri-industri yang sedang terkesan agar dapat terus bertahan dalam situasi global yang tidak menentu.

Razak berpandangan, tindakan segera amat penting bagi memastikan kesan tekanan kos tidak menjadi lebih parah sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan pemain industri dan rakyat secara keseluruhannya.

#BeritaAAC #IndustriPembinaan #KosBahanNaik!#EkonomiMalaysia #AbdulRazakRahman

KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, berpandangan konflik berterusan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Israel berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negara sekiranya tiada langkah lebih tersusun dilaksanakan segera oleh kerajaan.

Beliau berkata, peperangan yang kini berlanjutan hampir dua bulan itu bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan geopolitik global, malah turut memberi tekanan kepada negara-negara yang bergantung kepada kestabilan harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa, termasuk Malaysia.

Menurut beliau, antara kesan yang paling dirasai ketika ini ialah peningkatan harga diesel, yang didakwa telah melonjak sehingga RM6.72 berbanding sekitar RM2 lebih sebelum krisis bermula.

“Sebagai sebuah negara, kita pasti tidak dapat lari daripada menerima tempias krisis geopolitik ini. Sebab itu saya berharap kerajaan dapat segera melaksanakan satu dasar yang lebih sistematik dan menyeluruh untuk membantu rakyat mengharungi tekanan yang semakin menghimpit,” katanya ketika menjawab soalan wartawan.

Abdul Razak berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Budi 95, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kesannya bukan hanya tertumpu kepada pengguna diesel semata-mata, tetapi melibatkan keseluruhan struktur ekonomi negara.

Katanya, sektor logistik merupakan antara yang paling awal terkesan, sebelum impaknya merebak kepada sektor perladangan, pertanian, perusahaan dan pembinaan.

Beliau mendakwa sektor pembinaan antara yang menerima kesan paling ketara apabila kos meningkat sehingga 40 peratus sejak krisis berkenaan tercetus, sekali gus memberi tekanan besar kepada syarikat dan pemain industri.

Dalam masa sama, beliau turut mendakwa bahawa di Selangor sahaja, seramai 15,000 pekerja telah terkesan menerusi tindakan pemberhentian kerja, pemotongan gaji dan langkah penjimatan lain oleh majikan susulan peningkatan kos operasi.

“Sudah pastilah ini memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan. Maka inilah medan terbaik untuk kerajaan membuktikan bahawa formula, langkah proaktif dan janji yang pernah mereka laungkan sebelum ini benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya lagi.

Abdul Razak turut menegaskan rakyat kini mahu melihat penyelesaian yang nyata, bukannya kenyataan berunsur retorik atau jawapan yang dianggap tidak membantu dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau sendiri menerima pelbagai persoalan daripada rakyat mengenai sama ada kerajaan benar-benar mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk mendepani tekanan ekonomi semasa.

Katanya, kerajaan perlu tampil dengan pelan rasionalisasi yang jelas serta pendekatan yang lebih matang dalam berkomunikasi dengan rakyat, terutama ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Sekarang ini masa paling sesuai untuk mereka buktikan kemampuan sebenar. Rakyat tidak mahu lagi mendengar retorik atau bahasa yang mengguris hati. Apa yang rakyat mahu ialah penyelesaian,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan wajar menggunakan ruang yang ada untuk membuktikan kredibiliti kepimpinan mereka selaras dengan janji-janji yang pernah dibuat sebelum mengambil alih pentadbiran negara.

#BeritaAAC #HargaDiesel #KosSaraHidup #EkonomiMalaysia #KrisisTimurTengah