BENUT, 28 Jun 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Benut terus menyuarakan hasrat untuk mengekalkan tradisi kepimpinan sedia ada di bawah naungan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Menurut Ketua Kampung Kawasan 11 Mukim Benut, Haji Ahmad Jahya bin Damiran, sokongan padu terhadap parti tersebut telah lama menjadi pegangan serta pilihan utama penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau menyifatkan kemeriahan pelbagai acara dan program yang dianjurkan oleh kepimpinan parti sebelum ini membuktikan komitmen tinggi mereka terhadap kebajikan rakyat.
”Kita meneruskan tradisi ini kerana dengan parti yang ada dan kekal sekarang ini, ia dapat memimpin, memerintah, mentadbir, dan menstabilkan semua masyarakat tanpa mengira apa jua sekalipun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai calon nombor satu bagi kerusi DUN N53 Benut daripada Barisan Nasional, Dato’ Mohd Sumali Reduan, beliau menegaskan bahawa status beliau sebagai ‘anak jati Benut’ menjadi faktor dan kelebihan utama yang amat disenangi oleh penduduk tempatan.
”Beliau adalah anak jati tempatan. Daripada kecil, sekolah, bersukan, dan sebagainya adalah di tempat ini. Itu mungkin menjadi pilihan utama (penduduk).”
Dalam masa yang sama, Haji Ahmad turut menyokong penuh kepimpinan Dato’ Sumali demi kelangsungan kemakmuran negeri.
BENUT, JOHOR, 26 Jun 2026 – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan kesediaan untuk bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) ini.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan BN Johor menyatakan bahawa keputusan ini diambil berdasarkan manifesto dan kajian menyeluruh yang menunjukkan bahawa sokongan terhadap BN masih kukuh di setiap pelusuk negeri.
Menurut Ahmad Zahid, BN Johor tetap komited untuk mengekalkan momentum perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. Meskipun sedia menjalin kerjasama dengan parti-parti lain, BN Johor percaya bahawa kekuatan akar umbi dan rekod prestasi yang baik akan menjadi tunjang utama kemenangan parti tersebut.
“Kami (Barisan Nasional) bertanding secara solo dan kami yakin dengan kekuatan jentera serta sokongan rakyat di Johor,” ujar kenyataan tersebut.
Walaupun spekulasi mengenai kerjasama politik sering timbul, BN Johor tetap berpegang teguh pada keputusan untuk memastikan masa depan negeri terus terbela di bawah kepimpinan yang terbukti berkesan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi BN Johor untuk mengukuhkan kedudukan dan memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang telah dirancang.
PONTIAN, 28 Jun 2026 – Barisan Nasional (BN) menepis dakwaan sesetengah pihak, termasuk kenyataan di media sosial yang mendakwa gabungan itu mempertaruhkan ‘calon kitar semula’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebaliknya, BN membawa formula ampuh yang menggabungkan pelbagai latar belakang dan sudut kepakaran demi memenangi hati rakyat.
Menurut jurucakap kepimpinan BN, strategi pemilihan calon kali ini dibuat secara inklusif dengan mengambil kira keseimbangan yang dinamik antara elemen calon baharu, golongan muda, wanita, kepelbagaian kaum, veteran, serta kumpulan profesional.
Formula ‘Pelbagai Sudut’ Taruhan BN
Menjelaskan mengenai formula tersebut, gabungan jentera di Johor ini telah menampilkan tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang profesional termasuk peguam, doktor, jurutera, dan juga tokoh sukan tempatan bagi memastikan suara setiap lapisan masyarakat dapat diwakili dengan berkesan.
Sebagai contoh, di DUN Benut, BN mempertaruhkan Datuk Mohammad Seri Riduan, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia yang juga memegang ijazah sarjana (Master) dalam bidangnya. Sementara itu, di DUN Pulai Sebatang, BN menampilkan seorang figura profesional profesional iaitu Hajah Hasrunizah Hassan, seorang jurutera yang mempunyai pengalaman berkhidmat selama 22 tahun bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).
Keyakinan Sapu Bersih Parlimen Pontian
Melihat kepada komposisi calon yang mantap, BN menyatakan keyakinan tinggi untuk memenangi kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pontian, iaitu DUN Pekan Nanas, DUN Kukup, DUN Pulai Sebatang, dan DUN Benut.
Keseimbangan itu jelas kelihatan apabila BN meletakkan calon daripada masyarakat Cina di Pekan Nanas, calon wanita di Pulai Sebatang, serta calon Melayu di DUN yang lain, sekaligus mencerminkan kepelbagaian kaum yang harmoni di daerah tersebut.
Sokongan Padu Jentera Negeri
Selain fokus utama di parlimen Pontian, gerak kerja kempen BN turut diperhebat ke kawasan-kawasan lain termasuk kawasan Parlimen Pagoh bagi membantu jentera tempatan. Kepimpinan parti menegaskan bahawa fokus utama sepanjang 14 hari tempoh berkempen adalah turun padang membantu calon-calon lain bagi memastikan kemenangan mutlak gabungan itu demi kestabilan masa depan negeri Johor.
BENUT, PONTIAN 26 Jun 2026 – Keutuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat akar umbi terus berdepan ujian besar apabila sekumpulan besar ahli-ahli muda parti itu di kawasan Benut dan Pontian mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Keputusan tersebut dibuat secara sukarela menerusi satu majlis penyerahan borang keahlian UMNO yang diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, baru-baru ini.
Menurut salah seorang bekas pemimpin muda Bersatu yang juga bekas Ketua Armada Bersatu Bahagian Pontian, tindakan itu telah lama direncanakan berikutan pelbagai pergolakan dan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kepimpinan Bersatu sendiri.
”Kami golongan muda di Pontian berasa agak berkecamuk dengan keadaan (dalam Bersatu). Sehinggalah tertubuhnya NGO seperti Reset dan Wawasan Negara, kami melihat arah tuju parti semakin cacamrba, ditambah pula dengan putusnya hubungan antara Bersatu dengan PAS.”
”Kami melihat kestabilan itu tiada lagi. Sebaliknya demi UMNO dan BN Johor, serta demi Menteri Besar Johor, kami anak-anak muda dan bekas-bekas Armada Pontian mengambil keputusan matang untuk kembali menyokong UMNO bagi memastikan kestabilan politik negara terus kekal,” katanya dalam satu temubual.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapannya menzahirkan rasa penghargaan yang tinggi atas solidariti dan keberanian anak-anak muda terbabit yang memilih untuk kembali memartabatkan perjuangan agama, bangsa, dan tanah air (ABATA) bersama UMNO.
Beliau turut menegaskan bahawa sebahagian besar gerak kerja pembangunan di kawasan tersebut, termasuk kemudahan jalan raya, klinik, serta sekolah, adalah hasil usaha dan sumbangan berterusan daripada kepimpinan UMNO sebelum ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Benut, Dato’ Mohd Sumali Reduan, yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dengan ketiadaan calon daripada PAS di DUN Benut dan DUN Pulai Sebatang, kepimpinan UMNO Johor menaruh keyakinan tinggi bahawa undi masyarakat Melayu tidak akan berpecah, sekali gus mampu menjamin kemenangan mutlak bagi kedua-dua calon BN pada 11 Julai ini.
KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan kini mencetuskan persoalan besar serta digambarkan seumpama teka-teki “antara ayam dan telur”, berbeza dengan kelancaran proses pembubaran yang berlaku di Johor sebelum ini.
Perkara itu dikongsi dalam satu ulasan susulan ketiadaan sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas mesyuarat melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini. Situasi ini memberi bayangan bahawa masih terdapat isu tertunggak yang gagal diselesaikan antara pihak-pihak terlibat.
Perbezaan ketara dapat dilihat di Johor, di mana wujudnya kerjasama erat dan kesepaduan antara pihak kerajaan dan pihak istana, membolehkan pengisytiharan pembubaran DUN berjalan dengan lancar tanpa sebarang pertikaian atau perselisihan pendapat. Keadaan ini amat berbeza dengan situasi politik semasa di Negeri Sembilan.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan DUN Negeri Sembilan juga perlu dibubarkan sekiranya Johor bertindak demikian, ulasan tersebut menyifatkan ia hanyalah sekadar laungan politik semata-mata untuk membangkitkan semangat ahli. Hakikatnya, beliau didakwa tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan tindakan sedemikian.
Dari sudut pandangan peribadi penganalisis, isu pembubaran DUN sebenarnya adalah lebih mudah berbanding isu pertukaran kerajaan. Sekiranya pertukaran kerajaan ingin dilakukan, ia memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang mana baginda dilaporkan tidak mahu berjumpa dengan pihak yang menguasai jumlah majoriti DUN pada ketika ini.
Kemelut ini bertambah rumit apabila Negeri Sembilan kini diterajui oleh apa yang dipanggil sebagai ‘kerajaan minoriti’. Keberadaan kerajaan minoriti ini dipersoalkan keberkesanannya dalam menstabilkan ekonomi negeri serta memberikan keyakinan kepada pelabur luar, memandangkan mereka tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk menerajui kerajaan dengan kukuh.
Dalam pada itu, tindakan PH yang mempertahankan kedudukan mereka di Negeri Sembilan dilihat berpunca daripada sangkaan bahawa negeri tersebut, bersama-sama Pulau Pinang, merupakan ‘deposit tetap’ (fix deposit) bagi mereka. Walaupun PKR hanya mempunyai lima kerusi di Negeri Sembilan manakala selebihnya dikuasai DAP, mereka tetap mendakwa negeri itu sebagai kubu kuat mereka.
Sementara itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula dilihat mengambil pendirian berbeza dengan tidak mengejar kuasa, sebaliknya memilih untuk berada dalam kerajaan sedia ada demi kestabilan. Isu utama yang menjadi perjuangan UMNO pada masa ini adalah bagi menangani isu ketidakpatuhan dan pelanggaran terhadap Adat Perpatih yang menjadi undang-undang asas di Negeri Sembilan.
Tindakan UMNO tampil mempertahankan institusi kesultanan dan Adat Perpatih ini meletakkan mereka sebagai ‘pejuang rakyat’, berbanding PKR yang dilihat seolah-olah ‘gila kuasa’ kerana masih mahu menjadi kerajaan dan bersandar kepada kuasa Sultan, walaupun hanya memiliki 17 kerusi dan tidak mencapai majoriti mudah.
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2026 – Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada dalam keadaan rapuh dan ‘terbelah tiga’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan pengumuman calon yang dibuat secara berasingan oleh parti-parti komponennya malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan situasi yang berlaku dalam kem PN sebagai sesuatu yang pelik dan ‘caca marba’ berbanding kesatuan yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Menurut beliau, tindakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan calon secara bersendirian mencerminkan tiada konsensus dalam gabungan tersebut. Malah, gabungan itu sekadar mempertaruhkan 33 calon daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan dalam senarai bertanding, yang mencetuskan tanda tanya mengenai strategi PN untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.
”Nak tanya, Gerakan tidak berani untuk lawan MCA atau DAP ker yang kerusinya majoriti kaum Cina? Macam mana PN nak wakil masyarakat Cina di DUN jika berjaya tubuh kerajaan dengan majoriti mudah 29 kerusi? Sebenarnya Gerakan sudah lama tahu, PN bagi kerusi bakal ‘kena sembelih’ yang boleh hilang deposit,” katanya.
Mengulas lanjut, Gulam mendakwa Parti Wawasan mengambil keputusan untuk tidak bertanding ekoran rasa kecewa selepas mendakwa kerusi-kerusi idaman mereka telah ‘disailang’ oleh PPBM.
Keadaan menjadi lebih parah apabila konflik dalaman mula meletus di fasa awal kempen, menyaksikan sayap pemuda Bersatu (Armada) dilaporkan mula menyerang kem Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan tuduhan mengamalkan “politik dinosaur”.
Gulam menyelar tindakan Armada tersebut yang dianggap keterlaluan dan seolah-olah terlupa bahawa usia Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kini sudah mencecah hampir 80 tahun—menyamai usia penubuhan UMNO.
Sambil menegaskan bahawa kestabilan politik di bawah teraju Barisan Nasional sebelum ini wajar dipertahankan demi masa depan Johor, Gulam merumuskan PN kini sudah berpecah kepada tiga faksi utama iaitu PN-PAS, PN-PPBM, dan PN-Wawasan.
”Harta sepencarian sebelum ini telah selesai diagih tetapi masih lagi berebut saki baki. Bagi BN Johor, kepada Allah SWT kita berserah. On x On! Kita kasi ONN!” tegas beliau menutup kenyataan.
JOHOR BAHRU , 25 Jun 2026 – Tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta mendedahkan kemelut dalaman parti disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak wajar dan tidak mengenangkan jasa parti.
Naib Pengerusi Veteran UMNO Johor, Dato’ Zainal Abidin Osman menegaskan bahawa setiap ahli sepatutnya berjuang demi kepentingan parti secara keseluruhan, dan bukannya didorong oleh agenda individu atau kepuasan peribadi semata-mata.
Menurut beliau, pemimpin yang telah lama berkhidmat dan mengecap pelbagai manfaat hasil sokongan parti sepatutnya berlapang dada serta berjiwa besar apabila tiba masanya untuk memberi laluan kepada peralihan kepimpinan atau calon muda.
“Dia tidak seharusnya berbuat demikian. Jika kita lihat semula, beliau telah menerima banyak faedah daripada UMNO, bermula daripada jawatan Setiausaha Politik, wakil rakyat, Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, sehinggalah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor.
“Takkanlah beliau tidak kenangkan sumbangan besar parti terhadap dirinya selama ini?” luah beliau ketika ditemuramah oleh wartawan Portal Berita AAC baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keputusan pucuk pimpinan parti yang mahu meletakkan calon muda di DUN Rengit, Zainal Abidin yang juga Naib Pengerusi MUBARAK Johor menyatakan bahawa keputusan tersebut mesti diterima dengan reda demi kelangsungan parti.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai anaknya, Azhar, yang juga merupakan Ketua Pemuda dan memegang pelbagai jawatan belia di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan. Walaupun terdapat harapan tinggi daripada peringkat bahagian untuk dicalonkan, mereka tetap akur dan reda apabila keputusan muktamad dibuat oleh pucuk pimpinan yang memilih calon lain.
“Zaman kita sudah berlalu, ia sudah berlalu. Kita boleh mencadangkan siapa pengganti, tetapi keputusan akhir adalah hak mutlak pucuk pimpinan yang mempunyai perkiraan dan sebab-sebab tertentu.
“Kita kena berjiwa besar dan berlapang dada, barulah hidup kita akan rasa tenang. Jadi, terimalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan sebagaimana kita pernah diterima dahulu,” katanya lagi.
Zainal Abidin menambah, beliau sendiri memilih untuk bersara sepenuhnya daripada memegang kerusi wakil rakyat namun tetap komited membantu gerak kerja kempen parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), khususnya di DUN Endau.
JOHOR BAHRU – Keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengekalkan kepercayaan terhadap barisan calon muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor disifatkan sebagai satu langkah proaktif yang mampu membawa ‘nafas segar’ kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir, barisan calon pemuda yang diumumkan baru-baru ini menampilkan wajah-wajah signifikan yang dilihat amat layak untuk diberikan ruang dan mandat oleh rakyat Johor.
Antara nama besar yang disebut termasuklah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Hairi Mad Shah; Exco Pemuda UMNO Malaysia, Syed Husin; serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr. Mohd Nakib Mohd Nasir.
“Alhamdulillah, Datuk Onn Hafiz selaku MB Johor masih lagi memberikan kepercayaan kepada calon-calon pemuda… Ini merupakan salah satu daripada wajah-wajah yang saya fikir sangat signifikan untuk diberikan ruang dan mandat oleh rakyat negeri Johor,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon baru-baru ini.
Tambah beliau, kehadiran pemimpin-pemimpin muda ini amat bertepatan dengan keperluan pentadbiran masa kini yang memerlukan dinamisme dan idea yang lebih progresif.
Mengulas lanjut mengenai persediaan mendepani PRN16, Wan Muhammad Zuhir menegaskan komitmen barisan pemuda untuk memberikan impak terbaik demi kelangsungan dan kestabilan politik di bumi Johor.
“Insya-Allah kita akan cuba yang sebaik mungkin untuk memberikan nafas baru kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor pada PRN16 Johor kali ini. Doakan yang terbaik,” ujarnya mengakhiri perbualan.
JOHOR BAHRU – Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu menghentikan sebarang pertikaian mengenai pemilihan calon bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, fokus utama parti ketika ini sepatutnya ditumpukan kepada strategi kemenangan, bukannya berbalas hujah mengenai latar belakang atau kriteria peribadi seseorang calon yang dipilih.
”Pada saya, soal calon, tak perlu kita nak pertikaikan. Yang mustahak, calon yang boleh menang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai polemik jurang usia yang sering menjadi perdebatan dalam pemilihan calon, Othman menyatakan bahawa faktor umur bukanlah penentu utama kebolehan seseorang untuk berkhidmat dan meraih sokongan rakyat.
Beliau menambah, formula kejayaan parti terletak pada nilai ‘winnability’ (kebolehmenangan) yang ada pada calon tersebut, tanpa mengira sama ada mereka mewakili golongan muda mahupun veteran.
”Tak kira lah yang muda ke, yang tua ke, atau sebagainya. Yang mustahak pada kita, calon kita mesti menang. Itu yang penting,” tegasnya lagi, sekaligus memberi sinyal agar parti kekal fokus dan bersatu padu demi memastikan kemenangan mutlak milik UMNO.
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mendedahkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke didakwa memperdaya dirinya berhubung penyelesaian kos guaman kes saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Menurut Jamal, kegagalan Menteri Pengangkutan itu menunaikan janji menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos guaman berjumlah RM66,061.85, selain berdepan risiko 14 harta alih dari kediamannya dilelong. Beliau menyifatkan Anthony Loke sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana gagal menyelesaikan isu luar mahkamah seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Anthony Loke seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Kes ini kecil sahaja, tapi dia tak boleh nak selesaikan sedangkan dia janji dengan saya.
“Malangnya janji Anthony Loke hanya tinggal janji dan akhirnya saya terpaksa lelong selipar dan tuala untuk membayar kos tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Megat Zulkarnain Jadi Saksi Janji
Jamal turut mendakwa bahawa komitmen yang diberikan oleh Loke itu disaksikan sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Malah, terma penyelesaian tersebut telah ditulis oleh peguamnya kepada peguam Teresa Kok.
Rentetan kegagalan itu, Jamal menyifatkan kepimpinan DAP sebagai tidak mengotakan janji yang diberikan kepada rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana sumbangan UMNO dan penyokongnya yang membantu kemenangan calon DAP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini seolah-olah tidak dihargai.
“Jadi rakyat Malaysia jangan percaya dengan DAP, inilah sebenarnya gambaran DAP dan Teresa Kok dengan cara dia. Walaupun sudah dapat RM300,000 (saman fitnah) dan ketika pilihan raya lepas, walaupun UMNO bersama dengan dia dan ketika PRN UMNO bantu dia… tetapi akhirnya apa yang DAP buat?” soalnya lagi.
Lelongan Harta Ditangguhkan
Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Komunikasi BN Selangor mengesahkan telah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Kok pada Sabtu lalu menerusi serahan cek sekitar jam 5 petang.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Kok mengesahkan penerimaan cek tersebut, sekali gus menyaksikan lelongan awam terhadap 14 harta alih di kediaman Jamal yang dijadualkan pada 22 Jun ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menunggu pelepasan (clearence) cek berkenaan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lalu telah menolak permohonan tuntutan interplider oleh anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa barangan disita di kediaman Ampang Jaya tersebut adalah miliknya.
Imbas kembali kes ini, pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa Kok selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada Mac 2017. Ganti rugi utama tersebut bagaimanapun telah diselesaikan oleh Jamal sebelum ini.