
JOHOR BAHRU – Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu menghentikan sebarang pertikaian mengenai pemilihan calon bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, fokus utama parti ketika ini sepatutnya ditumpukan kepada strategi kemenangan, bukannya berbalas hujah mengenai latar belakang atau kriteria peribadi seseorang calon yang dipilih.
”Pada saya, soal calon, tak perlu kita nak pertikaikan. Yang mustahak, calon yang boleh menang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai polemik jurang usia yang sering menjadi perdebatan dalam pemilihan calon, Othman menyatakan bahawa faktor umur bukanlah penentu utama kebolehan seseorang untuk berkhidmat dan meraih sokongan rakyat.
Beliau menambah, formula kejayaan parti terletak pada nilai ‘winnability’ (kebolehmenangan) yang ada pada calon tersebut, tanpa mengira sama ada mereka mewakili golongan muda mahupun veteran.
”Tak kira lah yang muda ke, yang tua ke, atau sebagainya. Yang mustahak pada kita, calon kita mesti menang. Itu yang penting,” tegasnya lagi, sekaligus memberi sinyal agar parti kekal fokus dan bersatu padu demi memastikan kemenangan mutlak milik UMNO.
#UmnoJohor #VeteranUMNO #PolitikMalaysia #CalonBolehMenang #MediaAAC
