
JOHOR BAHRU , 25 Jun 2026 – Tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mengumumkan keluar daripada UMNO serta mendedahkan kemelut dalaman parti disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak wajar dan tidak mengenangkan jasa parti.
Naib Pengerusi Veteran UMNO Johor, Dato’ Zainal Abidin Osman menegaskan bahawa setiap ahli sepatutnya berjuang demi kepentingan parti secara keseluruhan, dan bukannya didorong oleh agenda individu atau kepuasan peribadi semata-mata.

Menurut beliau, pemimpin yang telah lama berkhidmat dan mengecap pelbagai manfaat hasil sokongan parti sepatutnya berlapang dada serta berjiwa besar apabila tiba masanya untuk memberi laluan kepada peralihan kepimpinan atau calon muda.
“Dia tidak seharusnya berbuat demikian. Jika kita lihat semula, beliau telah menerima banyak faedah daripada UMNO, bermula daripada jawatan Setiausaha Politik, wakil rakyat, Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, sehinggalah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor.
“Takkanlah beliau tidak kenangkan sumbangan besar parti terhadap dirinya selama ini?” luah beliau ketika ditemuramah oleh wartawan Portal Berita AAC baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keputusan pucuk pimpinan parti yang mahu meletakkan calon muda di DUN Rengit, Zainal Abidin yang juga Naib Pengerusi MUBARAK Johor menyatakan bahawa keputusan tersebut mesti diterima dengan reda demi kelangsungan parti.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai anaknya, Azhar, yang juga merupakan Ketua Pemuda dan memegang pelbagai jawatan belia di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan. Walaupun terdapat harapan tinggi daripada peringkat bahagian untuk dicalonkan, mereka tetap akur dan reda apabila keputusan muktamad dibuat oleh pucuk pimpinan yang memilih calon lain.
“Zaman kita sudah berlalu, ia sudah berlalu. Kita boleh mencadangkan siapa pengganti, tetapi keputusan akhir adalah hak mutlak pucuk pimpinan yang mempunyai perkiraan dan sebab-sebab tertentu.
“Kita kena berjiwa besar dan berlapang dada, barulah hidup kita akan rasa tenang. Jadi, terimalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan sebagaimana kita pernah diterima dahulu,” katanya lagi.
Zainal Abidin menambah, beliau sendiri memilih untuk bersara sepenuhnya daripada memegang kerusi wakil rakyat namun tetap komited membantu gerak kerja kempen parti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), khususnya di DUN Endau.
#PolitikJohor #UMNOJohor #VeteranUMNO #BeritaAAC #IsuPanasDUNRengit
