Politik

LABU, 23 Julai 2026 –  Penyatuandandua parti utama demi kebaikan umat Islam dan negara disifatkan sebagai langkah terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

​Pengerusi Surau Al-Mustaqim Taman Gadong Jaya, Labu, Hj Mohamad Noor Fadhil berkata, kerjasama dan kemantapan pemikiran para pemimpin di peringkat atasan dalam menyatukan ikatan ukhwah Islam menjadi kunci utama untuk memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding.

​”Alhamdulillah, hasil usaha bersama di peringkat atasan, ikatan ukhwah Islam telah digabungkan untuk memenangkan calon-calon yang ditampilkan. Kemenangan ini amat diharapkan demi kebaikan kaum Melayu, agama Islam, dan negara secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui.

​Menurut beliau, fokus utama pengundi ketika ini perlulah terarah kepada kebaikan dan kemaslahatan bersama, tanpa mengedepankan prasangka atau kebencian peribadi.

​”Kita melihat kebaikan yang ada untuk negara dan kita ambil kebaikan tersebut. Gabungan ini dibentuk demi kebaikan bersama, dan kita berharap para pengundi khususnya di DUN Labu dapat memberi sokongan penuh kepada calon kita, Puan Humairah, serta calon-calon lain di seluruh Negeri Sembilan,” tambahnya.

​Beliau turut menyerukan agar ahli dan penyokong memberikan sokongan padu secara menyeluruh demi memastikan kemenangan semua calon yang direstui.

​”Sekiranya tiada calon daripada parti tertentu, undilah calon gabungan yang ada. Matlamat utama kita adalah untuk memenangkan semua calon demi kebaikan Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhannya,” tegas beliau sebelum mengakhiri ucapan dengan laungan takbir.

#PRNNegeriSembilan #DUNLabu #BeritaAAC #UkhwahIslamiah #PolitikMalaysia

NILAI , 23 Julai 2026 — Melangkah masuk hari keenam kempen PRU/PRN, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N10 Nilai, Alan Lai menyatakan kesediaan penuh bersama jentera kempennya untuk merampas semula kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).

​Menurut Alan Lai, meskipun menyedari cabaran besar memandangkan DUN Nilai telah dikuasai PH selama tiga penggal berturut-turut, beliau optimis semangat dan kesatuan jenteranya mampu memberi saingan sengit pada pilihan raya kali ini.

​”Hari ini sudah masuk hari keenam tempoh berkempen. Persiapan kami sudah bersedia dan jentera pasukan saya bergerak sangat aktif untuk berkempen.

​”Memang ini satu cabaran yang besar (merampas kerusi tiga penggal PH), tetapi saya yakin dengan pasukan kempen yang bersatu hati dan bersemangat, kita ada peluang yang baik untuk memenangi kerusi DUN Nilai,” katanya ketika ditemui.

​Mengulas mengenai latar belakang dan kelebihannya berbanding calon-calon lain, Alan menekankan statusnya sebagai anak tempatan serta latar belakang profesionalnya dalam bidang kejuruteraan dan pemajuan perumahan.

​”Saya lahir dan membesar di sini. Selepas menuntut di universiti, saya kembali dan bekerja serta mengusahakan perniagaan di sini. Saya faham apa yang diperlukan oleh rakyat di Nilai.

​”Dengan latar belakang kejuruteraan dan pengalaman sebagai pemaju, keperkasaan saya adalah dalam bidang merancang. Saya yakin boleh membawa dan merancang DUN Nilai menjadi sebuah bandar yang lebih moden, maju, majmuk, dan sejahtera,” ujarnya.

​Dalam pada itu, Alan turut menggariskan empat manifesto utama yang akan diberi tumpuan sekiranya diberi mandat oleh pengundi DUN Nilai:

Pembangunan Inklusif: Membangunkan Nilai menjadi bandar moden, majmuk, dan sejahtera.

Kesejahteraan Rakyat: Memperkasakan inisiatif kesejahteraan dan kebajikan penduduk tempatan.

Kecekapan Perkhidmatan: Memperkukuh kecekapan penyampaian agensi-agensi kerajaan.

Pendidikan & Generasi Muda: Melabur dalam bidang pendidikan untuk membina generasi muda yang berbakat dan berdaya saing.


​Mengakhiri temubual, Alan Lai menyeru seluruh pengundi dan penduduk di DUN N10 Nilai agar memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya pada hari pembuangan undi kelak.

#DUNNilai #AlanLai #PRNNS  #BarisanNasional #BeritaAAC

​KLAWANG : Calon Perikatan Nasional (PN) Nombor 2 bagi DUN N.04 Klawang, Danni Rais, menegaskan komitmen beliau untuk terus membela nasib masyarakat setempat menerusi pendekatan mesra rakyat dan berfokuskan pembangunan ekonomi.

​Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke Kampung Ulu Keting, Jelebu bagi menyantuni masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan. Suasana mesra dan santai menyelubungi pertemuan itu apabila beliau turut dijemput oleh Tok Batin Ading serta dimurahkan rezeki menikmati juadah durian bersama penduduk setempat.

​”Ini bukan kali pertama kita masuk ke kampung ini. Hubungan kita dengan mereka sudah lama terjalin mesra, saling menghormati adat dan cara hidup mereka sebagai kawan lama. Insya-Allah, persahabatan ini akan terus dikekalkan,” katanya.

​Di samping itu, suasana gamat seketika apabila beliau sempat berseloroh mengenai usikan penduduk tempatan yang menyentuh status dirinya yang masih bujang.

​Fokus Kebajikan Penjual, Anak Muda & Pembangunan

​Mengulas mengenai perancangannya sekiranya dipilih menjadi Wakil Rakyat (YB), Danni menjelaskan fokus utamanya adalah memperkasakan pembangunan fasiliti serta menyelesaikan isu-isu tempatan.

​Beliau yang sempat melawat pasar tempatan sebelum itu turut mendengar pelbagai keluhan daripada para penjual mengenai isu kehadiran pelanggan serta peluang penambahan pendapatan.

​Selain itu, isu penghijrahan golongan muda ke luar daerah turut menjadi perhatian utamanya:

​Peluang Pekerjaan: Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Klawang bagi menahan gelombang anak muda daripada terus keluar mencari rezeki di luar.

​Aktiviti Belia: Menyediakan platform aktiviti sosial dan kemasyarakatan yang lebih aktif bagi golongan muda.

​Isu Setempat: Membantu menyelesaikan isu undang-undang dan fasiliti perumahan seperti yang dibangkitkan oleh penduduk di beberapa kawasan kejiranan.

​Mengakhiri ruang temubual, Danni yang mewakili Perikatan Nasional bagi DUN N.04 Klawang menyeru para pengundi untuk memberikan sokongan kepada calon nombor 02 pada hari pemungutan suara nanti.

#DUNKlawang #DanniRais #PRNNegeriSembilan #Jelebu #BeritaAAC

NILAI , 22 Julai 2026 – Calon Perikatan Nasional (BERSATU) bagi DUN N10 Nilai, Dato’ V. Saravana Kumar Veerasamy, menegaskan bahawa beliau bukanlah orang asing dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya telah menetap di kawasan berkenaan selama hampir 28 tahun.

​Menurut calon bernombor 5 itu, pengalamannya yang bermula sejak bertukar ke Nilai pada tahun 1998 ekoran perpindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya amat memahami selok-belok, masalah, serta keperluan masyarakat setempat.

​Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan dan ekonomi dari Stanford Region School of Economics, beliau menjelaskan penglibatannya dalam arena politik dan khidmat masyarakat bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden Parti Makkal Sakti serta aktif menerajui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan DSK sejak tahun 2000.

​”Selama lebih 15 tahun menerusi NGO DSK, kami telah banyak memberi bantuan kebajikan, pendidikan, bantuan musim perayaan tanpa mengira kaum, serta menyumbang program vaksinasi percuma kepada 3,000 penduduk ketika pandemik COVID-19. Kesemua ini dijalankan menggunakan dana perniagaan kami sendiri,” katanya.

​Mengulas mengenai persaingan sengit lima penjuru di DUN Nilai, Saravana Kumar meluahkan rasa optimis dan tidak bimbang kerana rekod perkhidmatannya bersama penduduk telah lama terbukti. Beliau berhasrat untuk meluaskan lagi bantuan dan pembangunan kawasan sekiranya diberi mandat pada pilihan raya kali ini.

​Antara fokus utama beliau merangkumi pembangunan potensi Nilai sebagai pusat pendidikan utama yang berhampiran KLIA serta perancangan khusus bagi memperkasakan kawasan tumpuan seperti Nilai 3.

​Beliau menyeru pengundi DUN Nilai supaya memberi sokongan kepada calon nombor 5 untuk menterjemahkan perkhidmatan yang lebih berkesan demi kesejahteraan penduduk tempatan.

#DUNNilai #PRNNegeriSembilan #DatoSaravanaKumar #SuaraNilai #BeritaAAC #PPBM

JUASSEH — Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh kini berjalan atas dasar ‘persefahaman’ yang positif, meskipun tiada mana-mana perjanjian rasmi dimeterai antara kedua-dua pihak.

​Calon BN bagi DUN N15 Juasseh, Datuk Hj Ismail Hj Lasim berkata, perkara itu jelas kelihatan menerusi siri pertemuan beliau bersama tokoh-tokoh tempatan PN di kawasan berkenaan.

​Menurut beliau, sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta pendukung PN di situ berada pada tahap yang amat baik dan memberangsangkan.

​”Memang tidak ada perjanjian yang termeterai dan sebagainya, tetapi apa yang ada ialah persefahaman di antara parti-parti ini.

​”Saya pernah bertemu dengan tokoh-tokoh PN di Juasseh ini dan nampaknya mereka amat positif untuk memberikan kerjasama,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual baru-baru ini.

​Tambah Ismail, situasi berkenaan turut mencakupi keseluruhan lima kawasan DUN di bawah Parlimen Kuala Pilah di mana PN tidak meletakkan calon mereka bagi persaingan PRN kali ini.

​Beliau meletakkan keyakinan bahawa jentera serta penyokong PN akan memberikan sokongan padu kepada mana-mana calon BN yang bertanding di kawasan DUN terbabit.

​Pada masa sama, beliau berpendapat amalan menyokong dan bekerjasama secara timbal balik ini merupakan satu bentuk persaingan politik yang sihat demi kestabilan.

​”Di mana calon PN bertanding, berkemungkinan besar BN di kawasan tersebut juga akan memberikan kerjasama serupa. Jadi saya nampak ini satu perkembangan yang amat sihat,” jelas beliau lagi.

#DUNJuasseh #PRNNegeriSembilan #BarisanNasional #PolitikMalaysia #BeritaAAC

JUASSEH, 22 Julai 2026 — Calon Barisan Nasional (BN) DUN N15 Juasseh, Datuk Hj Ismail Hj Lasim menyifatkan suasana kempen di kawasan berkenaan berjalan dengan amat sihat dan berhemah tanpa sebarang isu pertelingkahan antara parti yang bertanding.

​Beliau yang juga calon nombor dua bagi DUN Juasseh menyatakan rasa syukur melihat perkembangan positif kempen yang kini memasuki hari kelima selepas hari penamaan calon. Menurutnya, semua pihak yang bertanding fokus menawarkan agenda terbaik masing-masing demi kebaikan penduduk setempat.

“Setakat ini kempen berjalan dengan baik, tiada pertelingkahan. Ini satu perkara yang sihat kerana semua pihak sebenarnya berhasrat menawarkan diri untuk memberikan khidmat terbaik sekiranya dipilih,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Mengulas mengenai perancangan dan azamnya sekiranya diberi mandat pada hari pengundian kelak, Ismail menegaskan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dan penyelesaian masalah penduduk di Juasseh.

​Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh bagi penggal 2018 hingga 2023 merancang untuk meneruskan serta memperkasakan lagi agenda kebajikan yang telah dimulakan sebelum ini.

​Cadang Tubuh Tabung Pendidikan Juasseh

​Selain fokus utama terhadap kesejahteraan masyarakat, Ismail turut menekankan keutamaan dalam bidang pendidikan anak-anak di DUN Juasseh.

​Memahami kehendak dan keperluan ibu bapa serta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, beliau menyasarkan perancangan khas untuk membantu golongan ini.

“Ramai anak-anak kita yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) memerlukan bantuan dan perhatian. Antara fokus saya adalah untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Juasseh bagi memastikan nasib dan pendidikan anak-anak di sini sentiasa terbela,” tambah beliau lagi.

​Beliau turut menyatakan bahawa walaupun manifesto rasmi parti dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat, komitmen peribadinya untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan penduduk Juasseh adalah mendahului segala-galanya.

​Mengakhiri temubual, Ismail (Calon No. 02) merayu sokongan dan undi daripada seluruh pengundi di DUN N15 Juasseh bagi memberi peluang kepada beliau mewakili rakyat di kawasan tersebut untuk tempoh lima tahun akan datang.

#PRNNegeriSembilan #N15Juasseh #IsmailLasim #BarisanNasional

​JERAM PADANG — Calon Nombor 4 DUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abd Kadir, tampil menyatakan tekadnya untuk menyelesaikan tiga isu utama yang masih tergendala di kawasan berkenaan sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

​Bercakap dalam satu temubual khas bersama Berita AAC, beliau mengariskan tiga keutamaan utama yang menjadi keutamaan beliau bagi penggal baharu ini:

​Pembinaan Stadium Mini: Menyediakan kemudahan sukan dan riadah yang lebih baik untuk komuniti setempat, khususnya golongan muda di Jeram Padang.

​Pencahayaan Lampu Jalan: Menyiapkan projek pemasangan lampu jalan dari Simpang IOI Bahau hingga ke Rompin demi keselamatan pengguna jalan raya.

​Jalan Alternatif Kampung Orang Asli Pancur: Menyelesaikan projek jalan alternatif yang telah lama diusahakan agar dapat disiapkan dalam tempoh masa tersingkat.

​”Sekiranya saya diberi peluang lagi sekali oleh rakyat di Jeram Padang menjadi wakil rakyat di sini, insya-Allah ada tiga perkara yang perlu saya tekankan yang masih lagi tergendala… Itu tekad saya kali ini,” ujar beliau.

​Dalam pada itu, Dato’ Mohd Zaidy turut membuat rayuan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan pengundi DUN Jeram Padang untuk pulang ke kampung dan menjalankan tanggungjawab mengundi pada 1 Ogos 2026. Beliau menyeru pengundi agar memberi sokongan penuh kepada calon nombor 4 mewakili Gelombang Biru Negeri Sembilan.

#BeritaAAC #DUNJeramPadang #PRNNS #DatoZaidyAbdKadir #SuaraRakyatJeramPadang

​SHAH ALAM– Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Abu Hanifah menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menggugurkan jawatan Menteri atau Timbalan Menteri adalah di bawah bidang kuasa penuh Perdana Menteri.

​Menurut beliau, isu berkaitan rombakan atau penggalangan jawatan dalam Kabinet merupakan budi bicara serta kuasa mutlak yang dimiliki oleh Perdana Menteri semata-mata, dan bukannya keputusan parti seperti UMNO atau Barisan Nasional (BN).

​”Bagi saya, lantikan (atau pengguguran) Menteri dan Timbalan Menteri itu adalah bidang kuasa Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri merasakan ada Menteri atau Timbalan Menteri yang perlu digugurkan jawatan, itu atas budi bicara dan kuasa YAB Perdana Menteri,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika mengulas desas-desus berkenaan desakan mahupun khabar angin pengguguran beberapa jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

​Tambah Armand lagi, sebarang langkah pengguguran atau perombakan jawatan perlulah dihormati sebagai hak Perdana Menteri dalam memastikan pentadbiran negara berjalan dengan berkesan.

​”Ia bukan kuasa kepada Menteri, Timbalan Menteri, mahupun keputusan daripada pihak UMNO dan Barisan Nasional,” tegas beliau.

#BeritaAAC #ArmandAzha #RombakanKabinet #UMNO #PolitikMalaysia

​SHAH ALAM , 19 Julai 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka bakal memperlihatkan momentum politik yang berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, hasil sokongan positif yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan terhadap Barisan Nasional (BN).

​Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, kehadiran dan respons orang ramai sejak beberapa hari lalu memberikan isyarat jelas bahawa ‘eksperimen politik’ di negeri berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada satu gerakan politik yang signifikan.

​”Jika kita lihat perkembangan mutakhir ini, Negeri Sembilan menunjukkan satu pendekatan yang cukup positif dengan kehadiran rakyat yang memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional.

​”Saya yakin PRN di Negeri Sembilan ini akan membawa momentum berbeza kerana ‘eksperimen’ antara dua parti politik Melayu-Islam terbesar akan menggambarkan satu gerakan yang berlainan,” katanya ketika ditemui media.

​Mengulas lanjut, Armand turut memetik kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai istilah ‘kepejalan dan keanjalan politik’ yang dijangka bermula dari Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya sama ada gelombang serta strategi yang sama bakal dibawa ke negeri lain seperti Selangor atau Melaka, beliau menegaskan keutamaan buat masa ini adalah melepasi cabaran di Negeri Sembilan terlebih dahulu.

​”Pertama sekali, kita ‘don’t jump ship’ dahulu. Kita selesaikan Pilihan Raya Negeri Sembilan ini terlebih dahulu.

​”Setelah mendapat mandat dan keputusan daripada rakyat Negeri Sembilan, barulah kita akan lihat apakah strategi seterusnya untuk negeri-negeri lain,” pangkas beliau.

#PRNNegeriSembilan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #ArmandAzha #BeritaAAC

JERAM PADANG , 20 Julai 2026 – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai satu kesefahaman politik demi memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat, bukannya sekadar gabungan formal semata-mata.

​Menurut Calon BN bagi DUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir, pendekatan yang diambil membolehkan parti-parti politik utama bertanding dalam suasana yang lebih harmoni tanpa pertembungan yang memecahbelahkan pengundi.

​”Pegangan saya, kerjasama ini adalah atas dasar persefahaman atau understanding antara parti. Kali ini kita menempuh pilihan raya dalam suasana yang harmoni di mana tiada pertembungan yang tidak diperlukan,” katanya ketika ditemui portal Berita AAC.

​Beliau menambah, langkah tersebut memberi manfaat besar kepada penyatuan pengundi, di samping memperkukuh tekad untuk memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus stabil.

​Mengulas mengenai peluang kemenangan pada PRN ini, Mohd Zaidy menzahirkan keyakinan bahawa jentera parti yang bekerja keras akan membuahkan hasil positif menjelang hari penentuan kelak.

​”Saya yakin jika kita bekerja keras dalam tempoh kempen ini, insya-Allah kita akan mengecapi kemenangan. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengundi Melayu, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum—sama ada Cina, India mahupun Siam,” jelas beliau lagi.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #DUNJeramPadang #MohdZaidyAbdKadir #BarisanNasional