KUALA LUMPUR, 26 Januari 2026 – Aktivis pendidikan, Prof Dr Riduan Tee, menegaskan bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sahaja tidak perlu, malah tidak patut langsung diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, kerana sistem tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Dong Zong, tanpa sebarang badan peperiksaan bebas seperti sistem arus perdana negara.
Menurut beliau, hujah terhadap pengiktirafan UEC adalah jelas dan konsisten sejak dahulu, memandangkan sekolah-sekolah yang menggunakan sistem tersebut memilih sendiri untuk keluar daripada sistem pendidikan kebangsaan, termasuk enggan menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).
“Kamu pilih sendiri untuk keluar daripada sistem pendidikan negara. Tidak ada siapa paksa. Jadi, bila kerajaan tidak iktiraf atau bantu, itu perkara biasa,” katanya.
Prof Dr Riduan turut mempersoalkan keabsahan UEC yang dikendalikan oleh sebuah NGO yang menentukan sendiri silibus, lembaga peperiksaan serta piawaian kelulusan.
“Di mana dalam dunia ini NGO mengeluarkan sijil peperiksaan? Kita ada SPM dengan Lembaga Peperiksaan, A-Level dengan badan sendiri, tetapi UEC ini dikawal sepenuhnya oleh Dong Zong,” tegas beliau.
Beliau berkata, antara isu paling serius ialah silibus sejarah dan Bahasa Melayu dalam sistem UEC dan sekolah aliran Cina, yang didakwa tidak selari dengan keperluan nasional serta identiti negara.
Menurutnya, Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) hanya diajar 180 minit seminggu, dan cubaan kerajaan untuk menambah kepada 240 minit juga ditentang oleh Dong Zong.
“Bahasa Melayu diajar 40 minit sekali, itu pun bukan setiap hari. Standard Bahasa Melayu di SJKC jauh lebih rendah berbanding sekolah kebangsaan,” katanya.
Beliau turut mendakwa kerajaan sering tunduk kepada tekanan NGO pendidikan demi kepentingan politik dan undi, sekali gus mengorbankan masa depan generasi akan datang.
“Pemimpin negara berdosa kepada generasi akan datang kerana mempolitikkan isu pendidikan. Kita tahu masalah ini, tetapi tidak berani bertindak,” katanya.
Mengulas sejarah pendidikan Cina, Prof Dr Riduan menegaskan bahawa komuniti yang memilih untuk terus menetap di Tanah Melayu selepas era penjajahan seharusnya mengikut sistem dan tata cara negara tempat mereka tinggal.
“Yang tinggal di sini sepatutnya ikut sistem kita. Tetapi kita tidak laksanakan sepenuhnya, sebab itu masalah ini berlarutan,” ujarnya.
Beliau turut mencabar pihak berkaitan supaya menguji tahap penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SJKC melalui interaksi, debat dan syarahan dalam bahasa kebangsaan.
“Pergi cuba berinteraksi dengan pelajar SJKC dalam Bahasa Melayu. Lihat sendiri keupayaan mereka. Ini bukan cakap kosong,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai UEC tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu melibatkan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan sistem pendidikan Cina di Malaysia.
#UEC #PendidikanNegara #BahasaMelayu #DongZong #IsuPendidikan #BeritaAAC #SJKC #KedaulatanBahasa #SistemPendidikan #IsuSemasa