
JOHOR BAHRU – Pemimpin dan ahli UMNO, khususnya yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya akan datang, digesa untuk tidak ‘meroyan’ atau meluahkan kekecewaan secara keterlaluan sehingga boleh merosakkan imej diri dan parti.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan menegaskan bahawa tindakan meluahkan protes atau kekecewaan selepas digugurkan adalah satu bentuk penghinaan dalam kerjaya politik seseorang. Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk menerima keputusan tersebut dengan reda sebagai sebahagian daripada takdir.
”Meroyan tak dapat calon ini bagi saya satu penghinaan dalam politik. Kalau nama tidak ada, jangan meroyan. Kita kena terima takdir Allah. Maksudnya, kalau tidak jadi (calon), tidak jadilah,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah digugurkan selepas hanya sepenggal berkhidmat sebagai Wakil Rakyat (YB). Bagaimanapun, beliau memilih untuk kekal tenang dan istiqamah dalam perjuangan parti tanpa mencetuskan sebarang kekecohan.
Mengulas lanjut, Dr Azam mengingatkan bahawa prestasi kerja yang cemerlang bukanlah jaminan mutlak untuk seseorang kekal dicalonkan, memandangkan jawatankuasa pemilihan juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, beliau menasihatkan para pemimpin yang terkesan agar tidak memuat naik hantaran yang mengundang kontroversi di media sosial.
”Jangan buat kenyataan seperti ‘jangan hantar anak’ atau buat posting mempertikaikan kenapa bapa menang Ketua Bahagian tetapi tidak dapat (pencalonan). Don’t spoil your future in politics (Jangan rosakkan masa depan anda dalam politik).
”Bila kita bertindak balas (retaliate), kita akan lagi merosakkan imej sendiri. Jangan lagi membuka ruang dan membalas,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Dr Azam turut menyeru jentera parti agar tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi pihak lawan sepanjang tempoh dua minggu menjelang hari pengundian bagi mengelakkan manipulasi sentimen negatif oleh pihak luar.
#UMNO #PolitikMalaysia #DrAzamRauzan #PRNJohor2026 #BeritaAAC
