Day: February 2, 2026

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Tiga mangsa sindiket ahlong tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan fizikal, termasuk dipukul, diculik serta diserbu beramai-ramai hanya kerana gagal melunaskan pinjaman haram yang mengenakan faedah melampau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata kes yang dibawa ke pejabat MHO hari ini adalah luar biasa berbanding kes ahlong sebelum ini yang kebiasaannya melibatkan ugutan, baling cat atau pendedahan di media sosial.

“Kes ini unik dan sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa dipukul. Ini bukan lagi ugutan biasa, tetapi sudah menjurus kepada jenayah ganas,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, mangsa pertama memaklumkan pinjaman awal sebanyak RM10,000 meningkat sehingga RM50,000 dalam tempoh tujuh bulan, sebelum dia ditahan dan dipukul oleh tiga individu menggunakan tongkat serta ditampar di muka.

Mangsa kedua pula mendakwa diculik di kawasan Manjalara, apabila empat hingga lima individu ahlong menaiki kenderaannya sebelum membawanya ke lokasi lain dan memukulnya sehingga mengalami lebam teruk di muka.

Lebih mengejutkan, mangsa ketiga mendakwa telah membayar sehingga RM1.5 juta akibat pinjaman berlapis-lapis (overlap), sebelum rumahnya diserbu kira-kira 40 individu yang menuntut bayaran.

“Hanya selepas menonton video MHO, mangsa ini baru sedar bahawa kadar faedah sah yang dibenarkan undang-undang hanyalah 18 peratus setahun,” jelas Hishamuddin.

Sehubungan itu, MHO menggesa pihak polis agar membuka semula kertas siasatan termasuk kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai NFA, dengan menyiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, seperti yang dilakukan oleh Ketua Polis Kelantan.

Beliau turut menegaskan bahawa kes melibatkan ugutan, kekasaran dan kecederaan perlu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala kes pukul dan mencederakan di bawah Seksyen 323 atau 324, dan sekiranya melibatkan sindiket terancang, di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, Hishamuddin menyeru orang ramai supaya berhenti membayar ahlong dan tampil membuat laporan polis agar sindiket ini dapat didakwa serta dikenakan hukuman berat.

“Masuk tahun 2026, kita perlu azam baru. Stop rundingan, stop bayar ahlong. Ambil tindakan undang-undang. Jika seluruh Malaysia konsisten, saya yakin menjelang 2030, ahlong boleh pupus di negara ini,” tegasnya.

#BanterasAhlong #StopBayarAhlong #JenayahTerancang #KeadilanUntukMangsa #MHO #AhlongPukulMangsa #LawanAhlong #KesJenayahBerat #AACMedia #MalaysiaSelamat

KUALA LUMPUR – Isu pendirian rumah anutan haram di atas tanah awam dan tanah persendirian bukan berpunca daripada kelemahan undang-undang, sebaliknya kegagalan pelaksanaan serta campur tangan politik, tegas peguam, Hanif Khatri.

Menurut beliau, pergerakan yang digerakkan oleh aktivis termasuk Zamri Vinoth merupakan satu inisiatif rakyat bagi menyuarakan masalah yang telah berlarutan sejak berdekad lamanya, melibatkan pembinaan struktur rumah anutan tanpa kebenaran di seluruh negara.

“Undang-undang kita lengkap. Masalah sebenar bukan ketiadaan undang-undang, tetapi kegagalan pelaksanaannya. Amanah yang diberikan tidak dilaksanakan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

Hanif menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai undang-undang bagi mengawal isu-isu sensitif masyarakat, namun ia menjadi tidak bermakna apabila penguatkuasaan gagal dilaksanakan atas alasan sensitiviti politik.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat sering tersalah arah dengan menyalahkan undang-undang, sedangkan punca sebenar terletak kepada pelaksana undang-undang yang berada di peringkat pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan serta polis, yang menurutnya sering diganggu oleh campur tangan ahli politik.

“Apabila tindakan mahu diambil, ada ahli politik masuk campur dan mendesak supaya isu ini tidak disentuh atas alasan sensitif. Ini salah. Wakil rakyat sepatutnya mendidik masyarakat supaya patuh undang-undang, bukan melanggarnya,” tegas beliau.

Mengulas isu istilah, Hanif menegaskan bahawa penggunaan frasa ‘rumah anutan haram’ adalah tepat dari sudut bahasa dan undang-undang, serta tidak boleh dikompromi hanya kerana sensitiviti pihak tertentu.

Dalam perkembangan sama, Hanif menggesa Kementerian Perpaduan Negara menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian dan bancian menyeluruh terhadap semua rumah anutan di Malaysia, melibatkan kuil, tokong, gereja, gudwara, surau dan masjid.

Beliau mencadangkan supaya rumah anutan dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu yang wujud atas faktor sejarah dan yang dibina secara baharu tanpa kelulusan, sebelum kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen dalam tempoh enam bulan.

“Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap penceroboh sebenar, tetapi pada masa sama, rumah anutan bersejarah perlu diurus dan diputihkan mengikut undang-undang, tanpa membengkokkan peraturan,” katanya.

Hanif turut menegaskan bahawa isu ini bukan berkaitan anutan agama, sebaliknya berkaitan struktur dan pematuhan undang-undang tanah, yang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira agama atau bangsa demi keharmonian negara.

#BeritaAAC #RumahAnutanHaram #IsuTanah #KedaulatanUndangUndang #PergerakanRakyat #PolitikDanUndangUndang #IsuSensitif #KementerianPerpaduan #MalaysiaMadani #HarmoniNegara

KUALA LUMPUR – Aktivis, Rahimuddin Mat Harun, mendakwa polemik isu babi, kuil haram dan tokong yang kembali diperkatakan ketika ini bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya berkemungkinan digunakan sebagai strategi politik berasaskan sentimen 3R (agama, kaum dan raja) oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, rakyat seolah-olah dihalang daripada membincangkan isu 3R atas alasan sensitiviti, namun dalam masa yang sama, pelbagai perkara yang menyentuh hak orang Melayu, agama dan adat berlaku secara keterlaluan.

“Isu ladang babi di Bukit Tagar contohnya, kalau bukan kerana titah Sultan Selangor, saya percaya ia hampir pasti diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika mengulas perkembangan terkini isu berkenaan.

Rahimuddin berkata, titah Tuanku Sultan Selangor telah membuka mata rakyat, khususnya di Selangor, selepas terdapat percanggahan kenyataan apabila seorang EXCO negeri didakwa menyatakan kononnya Tuanku telah memperkenankan pembinaan kandang babi moden, sedangkan baginda dengan jelas bertitah tidak membenarkan sebarang penempatan baharu kandang babi di Bukit Tagar.

“Itulah realiti permainan politik hari ini,” tegasnya.
Mengulas isu pembinaan kuil haram, Rahimuddin menyifatkan situasinya hampir sama, malah menyarankan agar rakyat memohon campur tangan Majlis Raja-Raja kerana kepercayaan terhadap ahli politik semakin terhakis.

Beliau turut menggesa supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber kewangan kuil-kuil haram yang dibina secara berleluasa, khususnya di kawasan pembangunan baharu.

“Kita lihat di mana ada projek pembangunan, di situlah muncul kuil baharu. Bila dibantah, mereka dakwa kuil itu wujud sejak zaman Parameswara,” katanya sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak munasabah.

Rahimuddin turut menyentuh contoh kuil yang dikaitkan dengan isu lama di kawasan Jakel, yang menurutnya hanya mula wujud sekitar tahun 1980-an, namun kini didakwa sebagai tapak lama.

Dalam perkembangan lain, beliau mengkritik kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang didakwa sering menyalahkan pembangkang dalam isu tertentu demi kepentingan politik, tetapi gagal mengambil tanggungjawab dalam isu-isu besar seperti SST, GST, banjir, pencemaran sungai dan infrastruktur negeri.

Mengulas hubungan kepimpinan negeri dengan Sultan Selangor, Rahimuddin berkata rakyat amat menghargai keprihatinan Tuanku yang berulang kali menegur kerajaan negeri agar bertindak segera menyelesaikan masalah rakyat.

“Bila Tuanku sudah beberapa kali bertitah secara terbuka dan masalah masih berlarutan, saya rasa rakyat sendiri boleh menilai tahap kecekapan kepimpinan negeri hari ini,” katanya.

#BeritaAAC #Isu3R #TitahSultanSelangor #BukitTagar #KuilHaram #HakOrangMelayu #PolitikMalaysia #Selangor #SuaraRakyat #MajlisRajaRaja

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Hanif Khatri, menegaskan bahawa pendiriannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah didorong oleh kebencian peribadi atau sentimen politik kepartian, sebaliknya berpaksikan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menurut Hanif, beliau sering dilabel sebagai “pembenci Anwar” atau berpihak kepada tokoh politik tertentu, sedangkan realitinya beliau bukan ahli politik dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Katanya, budaya politik di Malaysia gemar melabel individu tanpa memahami pendirian sebenar seseorang.

“Saya bukan orang politik. Saya orang kedaulatan undang-undang. Kalau dikatakan saya taksub, saya taksub kepada Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.

Hanif turut mengingatkan bahawa rekod profesionalnya membuktikan beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang walaupun terhadap kerajaan yang pernah diwakilinya sendiri. Malah, beliau mendakwa sebagai satu-satunya peguam yang pernah menyaman kerajaan di bawah Perdana Menteri yang juga merupakan anak guamnya sendiri dalam beberapa kes berbeza.

Mengimbau kembali sejarah panjang kaitannya dengan isu Anwar Ibrahim, Hanif menjelaskan pandangannya terhadap tokoh politik itu bermula seawal tahun 1982, jauh sebelum krisis politik 1998 yang sering menjadi rujukan umum.

Beliau menceritakan pengalaman peribadi ketika masih bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kulim, membaca laporan akhbar mengenai ucapan pertama Anwar Ibrahim selepas menyertai UMNO. Jawapan Anwar pada ketika itu, menurut Hanif, telah menimbulkan keraguan awal terhadap kepercayaan dan konsistensi prinsip politik tokoh tersebut.

“Pada umur 14 atau 15 tahun, saya sudah buat penilaian sendiri. Bukan untuk menghukum, tapi saya tak percaya,” katanya.

Hanif juga menafikan dakwaan bahawa penglibatannya sebagai peguam kepada Allahyarham Khalid Jafri, penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, menjadikan beliau ejen politik UMNO atau mana-mana tokoh tertentu. Tegasnya, beliau sekadar menjalankan tanggungjawab profesional sebagai peguam.

Dalam konteks politik semasa, Hanif mengakui beliau pernah memainkan peranan penting menjelang PRU14 dalam menentukan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, dengan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tempoh peralihan demi kestabilan negara — satu keputusan yang sekali lagi menghalang Anwar Ibrahim daripada memegang jawatan tersebut pada waktu itu.

Namun, Hanif menegaskan bahawa penolakannya terhadap Anwar Ibrahim tidak pernah berkait dengan isu peribadi.

“Itu antara dia dengan Allah SWT. Bukan urusan saya,” katanya.

Sebaliknya, beliau mengkritik budaya politik Malaysia yang menurutnya sarat dengan penipuan, perubahan pendirian, dan manipulasi persepsi rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Walaupun tidak menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Hanif menegaskan beliau tetap bersikap adil dan profesional sebagai pengkritik.

“Perkara yang betul, saya akan puji. Perkara yang salah, kita kena berani cakap salah, walau siapa pun,” ujarnya.

Hanif menyifatkan dirinya sebagai sebahagian kecil rakyat yang tidak menyanjung pemimpin secara membuta tuli, sebaliknya memilih untuk menilai kepimpinan berdasarkan prinsip, rekod dan kesan terhadap tadbir urus negara.

#HanifKhatri #AnwarIbrahim #PolitikMalaysia #KedaulatanUndangUndang #KeluhuranPerlembagaan #IsuSemasa #BeritaAAC #AnalisisPolitik #PRU15 #RakyatBerhakTahu