Day: February 5, 2026

‘Ini Fitnah & Salah Faham’

SEREMBAN, 5 Februari 2026 – Restoran terkenal RB Bistro Nasi Kandar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan premis berkenaan dengan amalan membasuh lebihan makanan untuk digunakan semula kepada pelanggan.

Menurut kenyataan rasmi pihak RB Bistro, rakaman video yang tular itu telah disalah tafsir dan tidak menggambarkan situasi sebenar. Tindakan membasuh lebihan makanan yang dirakam bukan bertujuan untuk dikitar semula atau dihidangkan semula kepada pelanggan, sebaliknya dilakukan semata-mata bagi tujuan pelupusan lebih bersih dan terkawal serta kegunaan bukan manusia, termasuk makanan haiwan.

Pemilik RB Bistro Nasi Kandar, Datuk Hj Fadzil A Bakar, menjelaskan bahawa insiden tersebut berpunca daripada salah faham, selain kesilapan prosedur apabila proses pelupusan dilakukan di kawasan terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif orang awam.

“Barang-barang yang dirakam itu adalah sisa makanan atau waste yang memang tidak boleh dimakan lagi. Ia dibersihkan semata-mata untuk tujuan pelupusan dan diberikan kepada kegunaan lain seperti makanan haiwan. Mustahil untuk kita masak semula untuk pelanggan,” tegas beliau.

Tambah beliau, kesilapan sebenar pihak restoran adalah menjalankan proses tersebut di kawasan luar yang boleh dilihat pelanggan, sedangkan amalan sepatutnya dilakukan di ruang tertutup.

“Bila orang nampak, sebagai pelanggan mereka berhak bertanya. Tapi malangnya rakaman itu terus diviralkan tanpa rujukan kepada pihak pengurusan, hingga menjejaskan reputasi perniagaan kami,” katanya.

Susulan penularan video berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah hadir menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel di premis RB Bistro. Pihak restoran mengesahkan mereka memberi kerjasama penuh dan akur dengan tindakan pihak berkuasa.

“Kalau saya pegawai kerajaan pun, bila sesuatu isu jadi viral, memang patut diambil tindakan. Kita terima apa sahaja keputusan KKM,” ujar Datuk Fadzil.

RB Bistro turut mengesahkan laporan polis telah dibuat bagi merekodkan kejadian tersebut, selain menegaskan video yang disebarkan telah menjejaskan nama baik serta kepercayaan pelanggan terhadap restoran yang telah beroperasi sejak tahun 2016, manakala jenama Rahman Brothers pula bermula seawal 1956.

Sebagai langkah penambahbaikan segera, pihak RB Bistro telah melaksanakan beberapa tindakan termasuk:

  • Pelupusan lebihan makanan hanya dilakukan di ruang tertutup
  • Semua lebihan makanan disimpan dalam bekas bertutup
  • Rekod pelupusan makanan direkodkan dalam log rasmi

RB Bistro menegaskan keselamatan, kebersihan dan kualiti makanan sentiasa menjadi keutamaan, serta kekal terbuka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kepercayaan pelanggan terus terpelihara.

#RBbistro #IsuViral #FaktaBukanFitnah #KeselamatanMakanan #KKMMalaysia #SalahFaham #PortalAAC #BeritaSemasa #ViralMediaSosial #HakPeniaga

KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — Seorang aktivis, Dato’ Sri Salim Abdul Rahman tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), susulan dakwaan dan tohmahan yang mengaitkan pemimpin negara itu dengan Amerika Syarikat serta individu kontroversi antarabangsa, Jeffrey Epstein.

Menurut beliau, tuduhan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas dan berpunca daripada salah faham terhadap hubungan diplomatik serta ekonomi Malaysia dengan kuasa besar dunia.

“Kalau nak kata PMX ada kaitan dengan Amerika, kita kena lihat dari sudut realiti geopolitik dan ekonomi. Kenapa Donald Trump berani datang ke Malaysia? Sebab dia tahu kekuatan Perdana Menteri kita dalam ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan wartawan.

Dato’ Sri Salim menegaskan bahawa hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat adalah bersifat perdagangan dua hala, bukan tunduk kepada mana-mana kuasa asing.

“Barang Amerika masuk Malaysia, barang kita pun masuk ke sana. Itu hubungan dagang, bukan hubungan kawalan. Mereka datang kerana hormat dan mahu bersahabat,” jelasnya.

Beliau turut memuji kepakaran ekonomi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya berjaya menstabilkan ekonomi negara, termasuk pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

“Kita pernah lihat ringgit RM4.78, tetapi hari ini kembali sekitar RM3 lebih. Ini bukan kebetulan. Ini hasil kepakaran ekonomi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan rakyat kini dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil apabila sektor pertanian, nelayan serta bantuan rakyat terus diberikan perhatian.

“Rakyat boleh keluar makan, boleh beli-belah. Ada susah, ya, tapi negara ini lebih stabil berbanding sebelum ini,” tambahnya.

Dato’ Sri Salim turut menyentuh soal keadilan peruntukan kepada negeri-negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, yang menurutnya tetap menerima bantuan meskipun berbeza fahaman politik.

“Itu tanggungjawab seorang pemimpin Islam. Tidak boleh anak tirikan mana-mana negeri. Itu yang saya kagum dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Perdana Menteri kini diperhatikan oleh dunia dan menjadi faktor yang membuatkan kuasa besar “takut” terhadap kebangkitan semula kekuatan ekonomi Malaysia.

#BeritaAAC #PMX #AnwarIbrahim #IsuEpstein #PolitikMalaysia #EkonomiMalaysia #Ringgit #NaratifSongsang #BeritaSemasa #MalaysiaBerdaulat