Day: February 8, 2026

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Aktivis dan penganalisis politik, Prof Dr Riduan Tee, menyifatkan tindakan penahanan terhadap beberapa peserta perhimpunan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Menurut beliau, ketika tiba di lokasi sekitar jam 8.20 pagi, beliau menyaksikan beberapa individu telah ditahan oleh pihak berkuasa walaupun perhimpunan tersebut diadakan secara aman dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan.

“Pada saya, kebebasan berhimpun ini dijamin oleh perlembagaan. Kita berhimpun dengan niat yang baik, untuk berkata benar — yang salah itu salah, yang benar itu benar,” katanya kepada media.

Prof Dr Riduan Tee turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan beberapa pemimpin tertinggi negara yang didakwa mengugut peserta perhimpunan dengan hukuman penjara. Menurut beliau, kenyataan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin yang menggelarkan diri sebagai negarawan.

“Perhimpunan sebegini sepatutnya diraikan, bukan diugut atau dihalang. Ia tidak menimbulkan ancaman keselamatan,” katanya lagi.

Mengulas insiden penahanan, beliau mendakwa terdapat elemen kekerasan digunakan oleh pihak berkuasa, sesuatu yang menurutnya tidak wajar berlaku terhadap rakyat yang hanya ingin menyuarakan pandangan secara aman.

Dalam masa sama, Prof Dr Riduan Tee menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan, termasuk berkaitan rumah ibadat yang didakwa tidak mempunyai status sah, adalah berlandaskan fakta sejarah dan perundangan, bukannya sentimen atau hasutan.

Beliau menjelaskan bahawa dari sudut sejarah, pembinaan rumah ibadat oleh imigran ketika zaman penjajahan British bersifat sementara, selari dengan status mereka pada ketika itu.

Namun, menurutnya, selepas kemerdekaan, terdapat pembinaan rumah ibadat di atas tanah yang bukan milik sendiri termasuk di kawasan rizab dan tanah awam tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

“Sepatutnya penguat kuasa, PBT, Majlis Perbandaran dan pemimpin negara mengambil tindakan lebih awal. Bila mereka gagal, rakyat akhirnya bersuara — dan bila rakyat bersuara, mereka pula dikatakan salah,” ujarnya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa dan kepimpinan politik menangani isu secara tegas hanya akan mendorong lebih ramai rakyat turun ke jalanan bagi menyatakan pendirian.

“Kalau rakyat terus dihalang, saya yakin semakin ramai akan datang dan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka,” katanya.

Prof Dr Riduan Tee turut menyifatkan situasi semasa sebagai cerminan kepada prinsip “matlamat menghalalkan cara” seperti yang dihuraikan oleh Machiavelli, sesuatu yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.

#BeritaAAC #KebebasanBersuara #HakBerhimpun #DemokrasiMalaysia #RakyatBersuara #Perlembagaan #IsuRumahIbadat #SuaraRakyat #TindakanPolis #MalaysiaBangkit

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 — Aktivis masyarakat, Rahimuddin Mat Harun, meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang menahan beberapa individu ketika masyarakat cuba menyuarakan aduan berhubung kewujudan bangunan haram, dalam satu kejadian yang disifatkannya sebagai “pelik dan tidak masuk akal”.

Menurut beliau, tindakan pihak polis menahan individu yang hadir secara aman amat mengecewakan, malah mereka yang hadir bukan terdiri daripada pendemo agresif, sebaliknya golongan warga emas, ustaz dan orang awam yang prihatin terhadap isu pembangunan di kawasan setempat.

“Saya harap kawan-kawan kita yang ditahan tadi dapat dibebaskan malam ini. Yang datang ini bukan pendemo ganas, cuma pakcik-pakcik dan ustaz-ustaz,” katanya.

Rahimuddin turut mempersoalkan kegagalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani isu bangunan haram, termasuk pencawang elektrik dan laluan awam yang didakwa berubah menjadi struktur tidak sah.

“Bila rakyat mengadu tentang bangunan haram, PBT nampak macam tak mampu kendalikan. Pencawang TNB jadi pencawang haram, highway pun jadi highway haram,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat Islam secara umumnya bersikap terbuka dan sanggup berkorban apabila masjid atau surau terpaksa dipindahkan demi pembangunan, namun perkara sebaliknya didakwa berlaku terhadap rumah ibadat lain.

“Kalau masjid dan surau, orang Islam rela demi pembangunan. Tapi bila melibatkan kuil atau rumah sembahan lain, mereka enggan berganjak dan langsung tidak mahu bertolak ansur,” katanya lagi.

Dalam nada lebih keras, Rahimuddin menggesa kepimpinan politik Melayu, khususnya wakil rakyat, agar tidak terus berdiam diri atau terlalu bimbang kehilangan undi sehingga mengabaikan amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Jangan gadaikan hak kita demi undi. Jangan jadi pelacur politik. Bila nak pilihan raya, laung hidup Melayu, hidup Islam. Bila dah berkuasa, masyarakat ditinggalkan,” tegasnya.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya pemimpin bangkit mempertahankan hak rakyat dan tidak terus berkompromi demi kepentingan politik sempit.

#BeritaAAC #IsuBangunanHaram #HakRakyat #KeadilanUntukSemua #PBTDipertikai #SuaraRakyat #JanganGadaiHak #PolitikBermaruah #PembangunanTidakAdil #BangkitPertahankanHak

KUALA LUMPUR, 8 Februari 2026 – Hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, semalam, beberapa individu yang mengambil bahagian dalam himpunan aman di hadapan Sogo telah ditahan pihak berkuasa.

Menurut laporan, mereka yang ditahan dijangka akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan. Susulan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma kepada individu yang bakal didakwa, bagi memastikan hak mereka dipertahankan.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri apabila hak rakyat untuk berhimpun diceroboh.

“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun, sepatutnya hak ini juga perlu dipertahankan oleh kerajaan hari ini, dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan menahan rakyat yang menyuarakan pandangan mereka dalam himpunan aman adalah sesuatu yang tidak wajar, sebaliknya pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang menceroboh tanah.

“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah, bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!” tegas Dr Akmal Saleh dalam kenyataannya.

Tindakan ini mendapat perhatian ramai dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat, terutama mengenai soal kebebasan bersuara dan hak berhimpun yang dijamin dalam perlembagaan negara.

Pemuda UMNO menerusi inisiatif ini berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia yang bakal didakwa kerana himpunan aman ini mendapat pembelaan sewajarnya tanpa sebarang kos.

HakBerhimpun #KebebasanBersuara #PemudaUMNO #HimpunanAman #BelaHakRakyat #PerlembagaanMalaysia #TegakkanHakRakyat #SuaraRakyat #TahanPencerobohBukanRakyat #PerjuanganPemuda

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Isu pembinaan kuil dan tokong di atas tanah kerajaan serta tanah persendirian tanpa kebenaran perlu ditangani segera oleh kepimpinan negara sebelum ia mencetuskan ketegangan kaum yang lebih serius, tegas Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas.

Menurut beliau, situasi semasa semakin membimbangkan apabila pihak polis dilaporkan telah menahan kira-kira 16 individu susulan satu himpunan yang berlangsung hari ini.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah gambaran keadaan politik negara yang semakin tegang. Pemimpin parti politik perlu segera mencari jalan penyelesaian berhubung isu kuil dan tokong, termasuk tokong Cina,” katanya.

Ridzuan menegaskan, isu berkenaan tidak boleh lagi dipandang ringan dan memerlukan satu kata putus yang jelas melalui perbincangan antara pemimpin politik, khususnya melibatkan wakil kaum India.

Beliau mencadangkan agar pemimpin negara duduk semeja bersama pemimpin parti politik kaum India, terutamanya MIC, bagi merangka satu kaedah menyeluruh untuk menghentikan pembinaan rumah ibadat di tanah rizab kerajaan dan tanah milik individu tanpa kebenaran.

“Perlu ada perjanjian dan keputusan muktamad. Jika perkara ini tidak ditangani dari sekarang, saya sangat yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, negara berisiko berdepan rusuhan kaum yang lebih dahsyat,” katanya dengan nada bimbang.

Ridzuan turut mengimbas sejarah komuniti India pada zaman penjajahan British yang ditempatkan di kawasan estet, di mana pembinaan kuil dilakukan khusus untuk keperluan pekerja ladang ketika itu.

Namun jelasnya, perubahan landskap pembangunan negara menyaksikan banyak kawasan estet telah bertukar menjadi kawasan perumahan dan pembangunan komersial, menyebabkan komuniti India berpindah dan berpecah ke kawasan baharu.

“Apabila mereka keluar dari estet, mereka berpecah kepada kelompok kecil. Dari situlah wujudnya banyak pembinaan kuil di pelbagai lokasi baharu. Ini realiti yang kerajaan perlu kaji secara serius,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, agar mengetepikan kepentingan undi dan keberanian politik demi keharmonian negara.

Ridzuan turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas melibatkan kerajaan dan pembangkang bagi menangani isu pembinaan kuil dan tokong secara menyeluruh dan berfakta.

#IsuKuil #TanahKerajaan #HimpunanTerkini #PolitikMalaysia #PerpaduanNegara #BeritaAAC #SensitivitiKaum #KeamananNegara #IsuSemasa #AACBreaking

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Peguam, Zambri Mohd Isa, meluahkan rasa terkilan dan perasaan tidak adil yang dirasai oleh sebahagian masyarakat Melayu terhadap tindakan penguatkuasaan undang-undang, khususnya apabila melibatkan isu perobohan atau pencerobohan tanah.

Mengulas soalan wartawan yang mempersoalkan mengapa masyarakat Melayu sering dilihat menjadi sasaran, Zambri menegaskan beliau tidak membuat sebarang tuduhan atau andaian terhadap mana-mana pihak, namun mengakui perasaan tersebut wujud dalam kalangan orang Melayu.

“Saya tak boleh buat satu assumption, tapi saya rasa negara ini negara yang ada undang-undang. Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan tanpa mengira warna kulit,” katanya.

Menurut beliau, wujud perasaan seolah-olah masyarakat Melayu dilayan tidak sama rata berbanding kaum lain, sehingga ada yang merasakan diri mereka seperti ‘pendatang’ di tanah air sendiri.

“Kita orang Melayu rasa macam second class punya bangsa kat sini. Itu perasaan yang saya rasa dan saya percaya ramai yang rasa perkara sama,” ujarnya.

Zambri menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan seharusnya dilakukan secara adil dan konsisten tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, termasuk melibatkan rumah ibadat.

“Kalau tanah masjid salah, roboh. Surau salah, roboh. Kuil salah, roboh. Gereja atau gurdwara pun sama. Kalau salah, kita terima,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa masyarakat Melayu tidak mempertahankan kesalahan, sebaliknya bersedia menyelesaikan isu secara beradab dan mengikut undang-undang, seperti kes sebuah masjid di Perak yang akhirnya menyelesaikan isu pencerobohan dengan pampasan.

Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan apabila wujud tindakan yang dianggap berlebihan, termasuk dakwaan beliau diperlakukan secara kasar.

“Kalau tidak ada perasaan ini, takkanlah saya sampai kena nak kena tumbuk. Saya rasa kalau peguam lain, kaum lain, mungkin tak jadi begitu,” katanya.

Zambri berharap pihak penegak undang-undang dapat bertindak secara adil dan profesional demi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

#BeritaAAC #IsuKeadilan #UndangUndangMalaysia #KeadilanUntukSemua #SuaraRakyat #PenguatkuasaanAdil #IsuSemasa #HakRakyat #MalaysiaNegaraUndangUndang #AACTrending