KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Nabil tampil mendedahkan pengalaman hitamnya selepas terjerumus hampir dua tahun dalam satu kumpulan ajaran menyimpang yang didakwa dipimpin individu bergelar “penyampai”, namun bertindak seolah-olah rasul.

Menurut Nabil, segalanya bermula ketika beliau berdepan masalah rumah tangga dan krisis emosi akibat hidup sebagai anak yatim piatu tanpa sokongan keluarga.
“Saya waktu itu betul-betul mencari jalan kembali kepada Allah. Dalam keadaan tertekan, saya berdoa supaya dipertemukan dengan orang yang boleh ‘betulkan’ saya,” katanya.
Tambah Nabil, beliau kemudiannya mengalami mimpi pelik sebelum diajak seorang rakan bertemu individu terbabit — pertemuan yang disifatkannya sebagai dejavu kerana hampir sama seperti apa yang dilihat dalam mimpi.
Di situlah bermulanya proses doktrinasi secara halus.
Beliau mendakwa individu berkenaan menggunakan pendekatan kononnya berasaskan tauhid, hakikat dan makrifat, selain sering “menguji” pengikut dengan perbuatan mencabar akidah termasuk memijak kitab tafsir serta mendakwa Al-Quran sebenar adalah “diri manusia”.
“Dia tak guna hadis. Semua jawapan bersandar pada ayat Al-Quran ikut tafsiran dia sendiri. Masa tu saya nampak macam logik, sebab setiap soalan dia boleh jawab,” katanya.
Nabil berkata, kepercayaan itu semakin menebal apabila keluarganya sendiri mula dipengaruhi melalui sesi pertemuan tertutup, sehingga beliau pula dilabel sesat dan kafir.
Lebih membimbangkan, kumpulan tersebut mengamalkan kehidupan terasing di kawasan pondok, bercucuk tanam sekadar untuk hidup, serta diajar menyerahkan harta atas alasan ‘penyucian diri’.
“Dia manipulasi kelemahan kita. Semua dikaitkan dengan firman. Bila kita beri duit atau harta, katanya itu jalan untuk dekat dengan Allah,” ujarnya.
Nabil turut mendakwa wujud unsur hukuman fizikal terhadap ahli kumpulan, termasuk sebatan terbuka atas alasan melaksanakan hukum agama, selain cerita mistik seperti kehadiran ‘wali ghaib’ dan tokoh-tokoh agama yang kononnya muncul secara spiritual.
Beliau turut menyentuh bagaimana individu terbabit didakwa membina imej seolah-olah memiliki ‘karamah’, malah mengaitkan kejatuhan tokoh politik sebagai balasan kerana menentangnya, termasuk menyebut nama bekas Perdana Menteri, Najib Razak, serta perbandingan dengan idea “one million thinking” era Mahathir Mohamad.
“Saya harap pihak berkuasa ambil serius. Ini bukan isu kecil. Kalau dibiarkan, generasi akan datang boleh rosak akidah,” tegasnya.
Nabil menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dengan ajaran yang menggunakan agama sebagai topeng manipulasi, serta tampil melapor jika mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan dakwaan kenabian atau kepimpinan spiritual melampau.
#BeritaAAC #RasulPalsu #AjaranSesat #Pendedahan #AkidahUmat #IsuSemasa #Malaysia #KesedaranAwam #BeritaTular #LindungiGenerasi