
PULAU PINANG, 11 Mac 2026 – Seorang balu orang kurang upaya (OKU) mendakwa menghadapi situasi mengelirukan apabila baki pinjaman perumahannya dikatakan meningkat sehingga RM666,000 walaupun beliau telah membuat bayaran bulanan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu didedahkan oleh aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, yang juga mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SKBN), selepas menziarahi mangsa, Puan Mogana a/p Narayana Samy, di kediamannya di Blok Desa Green, Jelutong, Pulau Pinang.
Menurut Kalaivanar, Puan Mogana membeli rumah tersebut pada 24 Februari 2021 dengan harga sekitar RM275,921 melalui pinjaman daripada Malaysian Building Society Berhad (MBSB).
Beliau berkata, pinjaman itu turut melibatkan perlindungan insurans Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) bernilai kira-kira RM14,000.
Namun menurut beliau, mangsa kini terkejut apabila menerima maklumat bahawa baki hutang pinjaman rumahnya didakwa meningkat sehingga RM666,000, walaupun bayaran ansuran bulanan telah dibuat secara berterusan.
“Kalau ikut kiraan asal pinjaman itu, bayaran bulanan sekitar RM1,300 hingga RM1,500. Tetapi persoalannya, bagaimana baki hutang boleh meningkat sehingga RM666,000?” katanya.
Tambah beliau, mangsa juga mengalami kehilangan kaki kanan selepas menjalani rawatan di hospital pada tahun 2023, dan telah disahkan oleh pakar perubatan sebagai Total Permanent Disability (TPD).
Menurut Kalaivanar, dalam situasi seperti itu, perlindungan MRTA sepatutnya memainkan peranan bagi melindungi peminjam dengan menjelaskan baki pinjaman kepada pihak bank.
Namun dakwanya, tuntutan insurans mangsa didakwa ditolak atas alasan beliau tidak mengisytiharkan penyakit diabetes ketika menandatangani borang insurans sebelum ini.
“Persoalannya, ketika polisi dijual, adakah pihak bank atau insurans membawa peminjam untuk pemeriksaan kesihatan oleh panel perubatan? Jika tidak, bagaimana kesalahan itu boleh diletakkan sepenuhnya kepada peminjam?” katanya.
Kalaivanar turut mendakwa mangsa hanya diminta menandatangani dokumen insurans tanpa penerangan terperinci mengenai kandungannya.
Sementara itu, Puan Mogana berkata beliau tidak mengetahui secara jelas mengenai butiran polisi insurans yang ditandatangani ketika proses pinjaman dilakukan.
“Saya hanya diminta tandatangan borang. Saya tidak isi apa-apa pun, semuanya sudah diisi. Saya hanya sign sahaja,” katanya.
Beliau berkata keadaan menjadi lebih membingungkan apabila pihak insurans memulangkan kira-kira RM9,000 ke dalam akaunnya tanpa penjelasan terperinci.
Puan Mogana yang kini hidup sebagai balu dan OKU berkata beliau hanya mengharapkan keadilan dalam kes tersebut.
“Saya cuma mahu keadilan. Saya bukan sengaja kehilangan kaki untuk tuntut insurans,” katanya.
Dalam masa sama, Kalaivanar berharap pihak bank serta syarikat insurans dapat meneliti semula kes tersebut dan menyelesaikannya secara profesional tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang.
#BeritaAAC #KeadilanUntukMangsa #IsuPinjamanRumah #MRTA #BankMalaysia #HakPengguna #KesBaluOKU #IsuInsurans #MalaysiaPrihatin #ViralMalaysia