
KUALA LUMPUR, 1 April 2026 – Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia hari ini melakar satu lagi detik bersejarah apabila menganjurkan Majlis Pelancaran Buku “Jasamu Dikenang” sempena sambutan 70 tahun penubuhannya sejak tahun 1955.
Majlis penuh bermakna itu dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Musa bin Tan Sri Hassan sebagai simbol penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang telah berkhidmat mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.
Pemangku Presiden Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, Ahmad Zaki Ibrahim, berkata pelancaran buku berkenaan amat bersejarah buat persatuan dan seluruh anggotanya yang kini dianggarkan berjumlah sekitar 60,000 orang di seluruh negara.
Menurut beliau, penerbitan buku “Jasamu Dikenang” adalah satu usaha penting untuk merakam sejarah ringkas penubuhan persatuan selain mendokumentasikan kisah perjuangan anggota keselamatan terdahulu yang pernah berdepan pelbagai cabaran ketika zaman darurat dan ancaman komunis.
“Buku ini menghimpunkan sebahagian kisah perjuangan anggota keselamatan yang pernah berdepan detik sukar termasuk serangan hendap, jerangkap samar dan operasi di kawasan hutan seperti di Hulu Perak serta Gerik. Ini penting supaya generasi hari ini dapat memahami pengorbanan mereka,” katanya.
Beliau berkata, persatuan itu menghimpunkan pelbagai bekas pasukan keselamatan yang pernah memainkan peranan besar dalam sejarah negara seperti Special Constable (SC), Home Guard, Pasukan Polis, Polis Khas, British Armour, Senoi Praaq, Pasukan Kawalan Kampung serta beberapa lagi unit keselamatan lain di bawah naungan persatuan.
Tambah beliau, asas penubuhan persatuan sejak 1955 adalah bagi menjaga kebajikan bekas anggota keselamatan termasuk balu dan anak-anak mereka, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli.
Dalam majlis sama, kira-kira 40 hingga 50 peserta yang hadir turut menerima Watikah Penghargaan “Setia Berjasa” sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa mereka kepada agama, bangsa dan negara.
Ahmad Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, walaupun tidak dapat hadir pada saat akhir atas komitmen yang tidak dapat dielakkan. Penghargaan sama turut dizahirkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Malaysian Community Crime Care (MCCC) yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Menurut beliau, buat masa ini buku berkenaan dicetak sekitar 120 naskhah sebagai edaran cenderamata kepada bekas anggota keselamatan dan para penaja program, namun tidak menolak kemungkinan ia akan dijual pada masa akan datang berikutan kos penerbitan yang tinggi.
Selain itu, beliau memaklumkan persatuan juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak kisah perjuangan individu daripada 14 unit pasukan di bawah naungan persatuan dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai kesinambungan usaha mendokumentasikan sejarah perjuangan wira negara.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi usaha pendigitalan persatuan meliputi aspek penceritaan sejarah, komuniti dan kebajikan supaya pengurusan persatuan menjadi lebih telus serta tersusun.

Sementara itu, Tan Sri Musa Hassan berkata program berkenaan amat penting kerana buku tersebut bukan sahaja menjadi lambang penghargaan kepada bekas anggota tentera dan polis, malah menjadi bahan sejarah yang boleh membuka mata generasi muda mengenai bagaimana pasukan keselamatan terdahulu berkorban demi menjaga keamanan negara.
“Buku ini penting untuk rakyat, khususnya golongan muda, mengetahui cara dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara sehingga Malaysia dapat menikmati keamanan seperti hari ini,” katanya.
Majlis pelancaran itu bukan sahaja menjadi platform memperingati sejarah perjuangan wira keselamatan, malah turut menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan ahli persatuan serta generasi baharu agar terus menghargai jasa mereka yang telah berbakti tanpa mengharapkan balasan.

#JasamuDikenang #WiraNegara!#BekasPasukanKeselamatan!#SejarahMalaysia #BeritaAAC