
KUALA LUMPUR, 13 Februari 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mempersoalkan hala tuju negara yang didakwa semakin terkesan dengan pelbagai isu ekonomi serta lambakan warga asing tanpa dokumen yang memberi tekanan terhadap sektor pekerjaan tempatan khususnya industri pengangkutan berat.
Menurut beliau, nasib pemandu lori dan pengusaha lori kini berada dalam keadaan semakin terhimpit susulan tindakan penguatkuasaan yang disifatkan tidak seimbang serta kegagalan pihak berwajib memberi maklum balas terhadap memorandum yang telah diserahkan kepada kerajaan sebelum ini.
Beliau turut mendakwa bahawa lebih 4,000 peserta terdiri daripada pemandu dan pengusaha lori dari seluruh negara telah hadir berhimpun di hadapan Parlimen Malaysia pada 19 November lalu bagi menyerahkan memorandum yang mengandungi 27 tuntutan serta cadangan penyelesaian kepada pihak berkaitan.
Namun, sehingga kini memorandum tersebut didakwa masih belum mendapat sebarang maklum balas rasmi daripada Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh Anthony Loke Siew Fook.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme pembayaran saman secara ansuran kepada pemandu lori yang berdepan kompaun tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit selain mendakwa terdapat kes penyitaan kenderaan yang memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan mereka.
Tambah beliau, satu gerakan solidariti berskala besar melibatkan pemandu dan pengusaha lori dijangka akan dilancarkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina sekiranya tiada maklum balas diterima daripada pihak kerajaan berhubung isu tersebut.
Gerakan berkenaan menurutnya akan digerakkan secara serentak di seluruh negara sebagai usaha menuntut penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh pemain industri logistik darat tempatan.
#BeritaAAC #IsuPemanduLori #IndustriLogistik #EkonomiRakyat #SolidaritiLori #MemorandumRakyat #PengangkutanMalaysia #NasibPekerja #SuaraMarhaen #MalaysiaPrihatin