Month: February 2026

KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — Aktivis, Dato’ Sri Salim Abdul Rahman, tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) susulan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal menjawab isu melibatkan 5,207 hektar tanah di Nunukan yang didakwa diserahkan kepada Indonesia.

Menurut beliau, dakwaan tersebut hanyalah cubaan pembangkang untuk mencipta naratif sensasi tanpa berasaskan fakta, semata-mata bagi mengelirukan rakyat.

“Biasalah pembangkang, mereka akan cari satu benda yang ‘seksi’ untuk rakyat percaya. Tapi saya yakin rakyat Malaysia tidak bodoh lagi,” katanya ketika mengulas situasi di Parlimen.

Dato’ Sri Salim menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak akan bertindak secara semberono, sebaliknya akan membuat kajian menyeluruh termasuk meneliti fakta, dokumen serta status pemilikan sebenar tanah terbabit sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut menyifatkan sesi perbahasan di Parlimen itu sebagai tidak matang dan memalukan.

“Apa yang saya nampak tadi seolah-olah badut lawan dengan Perdana Menteri. Kelakar, sebab mereka tidak pernah cari fakta,” katanya.

Mengulas kritikan keras pembangkang yang sering mengaitkan isu agama dan doa, beliau menyatakan bahawa kepimpinan Anwar Ibrahim jelas mendapat keberkatan Allah berdasarkan perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia.

“Kalau Anwar ini iblis atau syaitan seperti dituduh, Allah tidak akan izinkan Islam berkembang seperti hari ini. Kita lihat wanita bertudung semakin ramai, pendidikan Islam berkembang — itu semua hasil perjuangan beliau sejak dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Salim turut menyuarakan keyakinannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berpotensi besar untuk memimpin negara bagi satu penggal lagi, berdasarkan prestasi ekonomi semasa berbanding era terdahulu.

“Saya boleh katakan 99 peratus, insya-Allah, Datuk Seri Anwar akan dapat satu penggal lagi. Kita boleh lihat perbezaan ekonomi dulu dan sekarang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa kekayaan dan harta dunia hanyalah sementara, manakala kepimpinan yang baik adalah yang membawa rakyat keluar daripada kemiskinan serta mendekatkan diri kepada Allah.

#BeritaAAC #IsuNunukan #PMX #AnwarIbrahim #ParlimenMalaysia #PolitikSemasa #FaktaBukanFitnah #MalaysiaMadani #IsuPanas #AACEksklusif

KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — Isu penipuan melibatkan pembelian kondominium mewah di Residensi Bukit Tiara, Seri Kembangan Kajang didakwa semakin serius apabila ratusan pembeli tampil membuat aduan terhadap sebuah pemaju yang disifatkan menggunakan skim jenayah terancang untuk mengaut keuntungan.

Perkara itu didedahkan oleh Dato’ Mohd Ridzuan Ikhlas, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, yang memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima bukti kukuh berbentuk perbualan WhatsApp dan dokumen berkaitan melibatkan janji pulangan wang (cashback) sehingga 10 peratus kepada pembeli yang mengambil pinjaman penuh (full loan).

Menurut beliau, pembeli dijanjikan pulangan kira-kira RM40,000 bagi sebuah unit kondominium berharga sekitar RM416,000 sebaik sahaja pinjaman diluluskan. Namun, janji tersebut didakwa dimungkiri apabila pemaju kemudiannya mendakwa wang tersebut telah dijadikan sebagai bayaran pendahuluan (down payment) tanpa persetujuan pembeli.

“Ini jelas satu bentuk penipuan. Kita boleh anggap pemaju ini sebagai penjenayah kerana memperdaya pembeli dengan janji palsu,” tegasnya.

Dato’ Mohd Ridzuan turut mendakwa isu ini bukan terpencil, sebaliknya berlaku secara meluas di beberapa lokasi lain, termasuk manipulasi yuran penyelenggaraan (maintenance fees) yang tinggi dan kegagalan menyerahkan pengurusan kepada penduduk walaupun projek telah berpuluh tahun siap.

Beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan unsur penipuan, salah guna kuasa dan kemungkinan wujudnya perlindungan oleh pihak tertentu.

“Jika pemaju ini berselindung di bawah wakil rakyat atau agensi kerajaan, saya tidak teragak-agak membawa perkara ini terus kepada SPRM,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam membanteras rasuah dan menegaskan isu ini turut perlu diberi perhatian serius di peringkat tertinggi kerajaan.

Setakat ini, sebahagian daripada 477 pembeli telah dikenal pasti terjejas, dan satu laporan polis besar-besaran secara serentak akan dibuat dalam masa terdekat.

Pihak Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK pernah memaksa mana-mana pembeli yang tidak terlibat dalam isu ini dan hanya akan membantu sebahagian yang terjejas yang memerlukan khidmat sahaja. Jika, sekiranya terdapat ada unsur-unsur penipuan, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK akan teragak-agak akan membantu sebahagian pembeli yang terlibat.

Pembeli dinasihatkan untuk berhubung terlebih dahulu dengan pihak Gabungan Ikhlas Malaysia bagi menyelaraskan laporan agar tindakan undang-undang dapat diambil secara tersusun dan berkesan.

Ridzuan Ikhlas juga amat bersimpati dengan pembeli yang lain dan sedia membantu jika sekiranya khidmat diperlukan.

Mengulas nasihat kepada bakal pembeli rumah, Dato’ Mohd Ridzuan menegaskan agar orang ramai berhati-hati dengan tawaran full loan dan janji pulangan tunai, serta memastikan setiap janji dibuat secara bertulis dengan surat rasmi berletterhead pemaju.

“Jangan percaya cakap mulut. WhatsApp boleh jadi bukti, tetapi dokumen bertulis jauh lebih kukuh di mahkamah,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar tidak menganggap isu ini sebagai kes terpencil dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya demi melindungi hak pembeli rumah di negara ini.

#ScamPemaju #IsuKondo #PembeliTeraniaya #FullLoanPerangkap #BeritaAAC #HakPembeli #SiasatPemaju #BuktiWhatsApp #BukitAman #SPRM

SERI KEMBANGAN, 3 Februari 2026 – Isu projek kondo yang didakwa sebagai “kondo mewah” di kawasan Seri Kembangan, Kajang mencetuskan kebimbangan serius apabila pembeli mendakwa kualiti pembinaan projek berkenaan berada pada tahap membahayakan keselamatan.

Menurut Aktivis dari Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas, projek yang melibatkan sebahagian daripada 477 unit kediaman di Blok A, yang turut dikaitkan dengan projek Rumah Selangorku, dikenal pasti mempunyai sekitar 29 kecacatan (defect) serius walaupun pemaju mendakwa projek tersebut telah siap dan sedia untuk penyerahan kunci.

“Pembeli terkejut apabila menerima kunci. Ini bukan rupa kondo mewah. Defect terlalu tinggi dan kualitinya sangat teruk,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ridzuan mendakwa beliau sendiri telah meninjau tapak projek dan mendapati keadaan bangunan amat membimbangkan termasuk siling retak, dinding merekah, kemasan reput serta ruang dapur yang tidak menepati spesifikasi jualan asal.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pembeli hilang kepercayaan terhadap pemaju sehingga ada yang sedang mempertimbangkan untuk membatalkan pinjaman perumahan dengan pihak bank.

“Pemaju kata rumah belum siap, tapi pada masa sama pembeli dipanggil untuk ambil kunci. Mana satu yang betul? Jangan kelentong dan jangan scam rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) agar memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana kegagalan menangani masalah berkenaan boleh menjejaskan imej kerajaan pusat dan negeri.

Ridzuan juga memberi amaran keras kepada pemaju supaya tidak mengugut pembeli dengan tindakan saman apabila pembeli bersuara mempertahankan hak mereka.

Pihak Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK pernah memaksa mana-mana pembeli yang tidak terlibat dalam isu ini dan hanya akan membantu sebahagian yang terjejas yang memerlukan khidmat sahaja. Jika, sekiranya terdapat ada unsur-unsur penipuan, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK akan teragak-agak akan membantu pembeli yang terlibat.

Pembeli yang terlibat dinasihatkan untuk berhubung terlebih dahulu dengan pihak Gabungan Ikhlas Malaysia bagi menyelaraskan laporan agar tindakan undang-undang dapat diambil secara tersusun dan berkesan.

“Waktu jual, janji macam-macam. Siap janji pokok durian boleh tampung yuran penyelenggaraan. Bila nak ambil kunci, pokok kecil, buah pun tak ada,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya isu ini gagal diselesaikan segera, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Bukit Aman, memandangkan ia melibatkan keselamatan lebih 1,000 penghuni sekiranya projek itu diduduki kelak.

“Ini melibatkan nyawa. Kita ada bukti bergambar, bukan cakap kosong. Kalau belum duduk pun dah rosak, apa akan jadi bila dah diduduki?” katanya.


Beliau menggesa semua pembeli yang terlibat supaya mengumpulkan nama dan bukti, bagi membolehkan perkara itu dibawa terus ke pejabat Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

#KondoMewah #DefectTeruk #PemajuScam #RumahSelangorku #BelaRakyat #HakPembeli #IsuPerumahan #PMXPrihatin #BeritaAAC #SuaraRakyat

KUALA LUMPUR – Aktivis, Rahimuddin Mat Harun, mempersoalkan ketelusan dan keadilan dalam tindakan penguatkuasaan kes rasuah apabila didakwa hanya pihak penerima, khususnya dalam kalangan orang Melayu, sering menjadi sasaran pendakwaan.

Menurut beliau, situasi tersebut dilihat sebagai sesuatu yang “ajaib” kerana walaupun penerima rasuah dikenakan hukuman berat, pihak yang memberi rasuah pula seolah-olah terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Penerima rasuah dihukum sekeras-kerasnya, tetapi pemberi rasuah ini langsung kita tak pernah dengar siapa dia,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.

Rahimuddin menegaskan bahawa hakikatnya pihak yang paling mendapat keuntungan dalam transaksi rasuah adalah pemberi rasuah itu sendiri, namun mereka jarang dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berpandangan bahawa tindakan undang-undang sepatutnya dikenakan secara bersama terhadap kedua-dua pihak tanpa pengecualian.

“Sepatutnya mereka berjemaah, kena angkut juga dua-dua. Bukan hanya satu pihak sahaja,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh peranan pemberi maklumat yang seharusnya dipertahankan dan dihargai oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan.

“Yang patut dipertahankan adalah pemberi maklumat, bukan pemberi rasuah. Pemberi maklumat inilah yang sepatutnya dihargai,” katanya.

Tambah Rahimuddin, isu ini wajar diberi perhatian serius kerana ia melibatkan persepsi awam terhadap keadilan sistem perundangan serta integriti institusi penguatkuasaan negara.

#BeritaAAC #IsuRasuah #KeadilanUndangUndang #SPRMDipertikai #SuaraRakyat #IsuSemasa #IntegritiNegara #PemberiRasuah #PemberiMaklumat #MalaysiaPrihatin

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Tiga mangsa sindiket ahlong tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan fizikal, termasuk dipukul, diculik serta diserbu beramai-ramai hanya kerana gagal melunaskan pinjaman haram yang mengenakan faedah melampau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata kes yang dibawa ke pejabat MHO hari ini adalah luar biasa berbanding kes ahlong sebelum ini yang kebiasaannya melibatkan ugutan, baling cat atau pendedahan di media sosial.

“Kes ini unik dan sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa dipukul. Ini bukan lagi ugutan biasa, tetapi sudah menjurus kepada jenayah ganas,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, mangsa pertama memaklumkan pinjaman awal sebanyak RM10,000 meningkat sehingga RM50,000 dalam tempoh tujuh bulan, sebelum dia ditahan dan dipukul oleh tiga individu menggunakan tongkat serta ditampar di muka.

Mangsa kedua pula mendakwa diculik di kawasan Manjalara, apabila empat hingga lima individu ahlong menaiki kenderaannya sebelum membawanya ke lokasi lain dan memukulnya sehingga mengalami lebam teruk di muka.

Lebih mengejutkan, mangsa ketiga mendakwa telah membayar sehingga RM1.5 juta akibat pinjaman berlapis-lapis (overlap), sebelum rumahnya diserbu kira-kira 40 individu yang menuntut bayaran.

“Hanya selepas menonton video MHO, mangsa ini baru sedar bahawa kadar faedah sah yang dibenarkan undang-undang hanyalah 18 peratus setahun,” jelas Hishamuddin.

Sehubungan itu, MHO menggesa pihak polis agar membuka semula kertas siasatan termasuk kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai NFA, dengan menyiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, seperti yang dilakukan oleh Ketua Polis Kelantan.

Beliau turut menegaskan bahawa kes melibatkan ugutan, kekasaran dan kecederaan perlu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala kes pukul dan mencederakan di bawah Seksyen 323 atau 324, dan sekiranya melibatkan sindiket terancang, di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, Hishamuddin menyeru orang ramai supaya berhenti membayar ahlong dan tampil membuat laporan polis agar sindiket ini dapat didakwa serta dikenakan hukuman berat.

“Masuk tahun 2026, kita perlu azam baru. Stop rundingan, stop bayar ahlong. Ambil tindakan undang-undang. Jika seluruh Malaysia konsisten, saya yakin menjelang 2030, ahlong boleh pupus di negara ini,” tegasnya.

#BanterasAhlong #StopBayarAhlong #JenayahTerancang #KeadilanUntukMangsa #MHO #AhlongPukulMangsa #LawanAhlong #KesJenayahBerat #AACMedia #MalaysiaSelamat

KUALA LUMPUR – Isu pendirian rumah anutan haram di atas tanah awam dan tanah persendirian bukan berpunca daripada kelemahan undang-undang, sebaliknya kegagalan pelaksanaan serta campur tangan politik, tegas peguam, Hanif Khatri.

Menurut beliau, pergerakan yang digerakkan oleh aktivis termasuk Zamri Vinoth merupakan satu inisiatif rakyat bagi menyuarakan masalah yang telah berlarutan sejak berdekad lamanya, melibatkan pembinaan struktur rumah anutan tanpa kebenaran di seluruh negara.

“Undang-undang kita lengkap. Masalah sebenar bukan ketiadaan undang-undang, tetapi kegagalan pelaksanaannya. Amanah yang diberikan tidak dilaksanakan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

Hanif menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai undang-undang bagi mengawal isu-isu sensitif masyarakat, namun ia menjadi tidak bermakna apabila penguatkuasaan gagal dilaksanakan atas alasan sensitiviti politik.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat sering tersalah arah dengan menyalahkan undang-undang, sedangkan punca sebenar terletak kepada pelaksana undang-undang yang berada di peringkat pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan serta polis, yang menurutnya sering diganggu oleh campur tangan ahli politik.

“Apabila tindakan mahu diambil, ada ahli politik masuk campur dan mendesak supaya isu ini tidak disentuh atas alasan sensitif. Ini salah. Wakil rakyat sepatutnya mendidik masyarakat supaya patuh undang-undang, bukan melanggarnya,” tegas beliau.

Mengulas isu istilah, Hanif menegaskan bahawa penggunaan frasa ‘rumah anutan haram’ adalah tepat dari sudut bahasa dan undang-undang, serta tidak boleh dikompromi hanya kerana sensitiviti pihak tertentu.

Dalam perkembangan sama, Hanif menggesa Kementerian Perpaduan Negara menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian dan bancian menyeluruh terhadap semua rumah anutan di Malaysia, melibatkan kuil, tokong, gereja, gudwara, surau dan masjid.

Beliau mencadangkan supaya rumah anutan dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu yang wujud atas faktor sejarah dan yang dibina secara baharu tanpa kelulusan, sebelum kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen dalam tempoh enam bulan.

“Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap penceroboh sebenar, tetapi pada masa sama, rumah anutan bersejarah perlu diurus dan diputihkan mengikut undang-undang, tanpa membengkokkan peraturan,” katanya.

Hanif turut menegaskan bahawa isu ini bukan berkaitan anutan agama, sebaliknya berkaitan struktur dan pematuhan undang-undang tanah, yang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira agama atau bangsa demi keharmonian negara.

#BeritaAAC #RumahAnutanHaram #IsuTanah #KedaulatanUndangUndang #PergerakanRakyat #PolitikDanUndangUndang #IsuSensitif #KementerianPerpaduan #MalaysiaMadani #HarmoniNegara

KUALA LUMPUR – Aktivis, Rahimuddin Mat Harun, mendakwa polemik isu babi, kuil haram dan tokong yang kembali diperkatakan ketika ini bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya berkemungkinan digunakan sebagai strategi politik berasaskan sentimen 3R (agama, kaum dan raja) oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, rakyat seolah-olah dihalang daripada membincangkan isu 3R atas alasan sensitiviti, namun dalam masa yang sama, pelbagai perkara yang menyentuh hak orang Melayu, agama dan adat berlaku secara keterlaluan.

“Isu ladang babi di Bukit Tagar contohnya, kalau bukan kerana titah Sultan Selangor, saya percaya ia hampir pasti diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika mengulas perkembangan terkini isu berkenaan.

Rahimuddin berkata, titah Tuanku Sultan Selangor telah membuka mata rakyat, khususnya di Selangor, selepas terdapat percanggahan kenyataan apabila seorang EXCO negeri didakwa menyatakan kononnya Tuanku telah memperkenankan pembinaan kandang babi moden, sedangkan baginda dengan jelas bertitah tidak membenarkan sebarang penempatan baharu kandang babi di Bukit Tagar.

“Itulah realiti permainan politik hari ini,” tegasnya.
Mengulas isu pembinaan kuil haram, Rahimuddin menyifatkan situasinya hampir sama, malah menyarankan agar rakyat memohon campur tangan Majlis Raja-Raja kerana kepercayaan terhadap ahli politik semakin terhakis.

Beliau turut menggesa supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber kewangan kuil-kuil haram yang dibina secara berleluasa, khususnya di kawasan pembangunan baharu.

“Kita lihat di mana ada projek pembangunan, di situlah muncul kuil baharu. Bila dibantah, mereka dakwa kuil itu wujud sejak zaman Parameswara,” katanya sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak munasabah.

Rahimuddin turut menyentuh contoh kuil yang dikaitkan dengan isu lama di kawasan Jakel, yang menurutnya hanya mula wujud sekitar tahun 1980-an, namun kini didakwa sebagai tapak lama.

Dalam perkembangan lain, beliau mengkritik kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang didakwa sering menyalahkan pembangkang dalam isu tertentu demi kepentingan politik, tetapi gagal mengambil tanggungjawab dalam isu-isu besar seperti SST, GST, banjir, pencemaran sungai dan infrastruktur negeri.

Mengulas hubungan kepimpinan negeri dengan Sultan Selangor, Rahimuddin berkata rakyat amat menghargai keprihatinan Tuanku yang berulang kali menegur kerajaan negeri agar bertindak segera menyelesaikan masalah rakyat.

“Bila Tuanku sudah beberapa kali bertitah secara terbuka dan masalah masih berlarutan, saya rasa rakyat sendiri boleh menilai tahap kecekapan kepimpinan negeri hari ini,” katanya.

#BeritaAAC #Isu3R #TitahSultanSelangor #BukitTagar #KuilHaram #HakOrangMelayu #PolitikMalaysia #Selangor #SuaraRakyat #MajlisRajaRaja

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Hanif Khatri, menegaskan bahawa pendiriannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah didorong oleh kebencian peribadi atau sentimen politik kepartian, sebaliknya berpaksikan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menurut Hanif, beliau sering dilabel sebagai “pembenci Anwar” atau berpihak kepada tokoh politik tertentu, sedangkan realitinya beliau bukan ahli politik dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Katanya, budaya politik di Malaysia gemar melabel individu tanpa memahami pendirian sebenar seseorang.

“Saya bukan orang politik. Saya orang kedaulatan undang-undang. Kalau dikatakan saya taksub, saya taksub kepada Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.

Hanif turut mengingatkan bahawa rekod profesionalnya membuktikan beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang walaupun terhadap kerajaan yang pernah diwakilinya sendiri. Malah, beliau mendakwa sebagai satu-satunya peguam yang pernah menyaman kerajaan di bawah Perdana Menteri yang juga merupakan anak guamnya sendiri dalam beberapa kes berbeza.

Mengimbau kembali sejarah panjang kaitannya dengan isu Anwar Ibrahim, Hanif menjelaskan pandangannya terhadap tokoh politik itu bermula seawal tahun 1982, jauh sebelum krisis politik 1998 yang sering menjadi rujukan umum.

Beliau menceritakan pengalaman peribadi ketika masih bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kulim, membaca laporan akhbar mengenai ucapan pertama Anwar Ibrahim selepas menyertai UMNO. Jawapan Anwar pada ketika itu, menurut Hanif, telah menimbulkan keraguan awal terhadap kepercayaan dan konsistensi prinsip politik tokoh tersebut.

“Pada umur 14 atau 15 tahun, saya sudah buat penilaian sendiri. Bukan untuk menghukum, tapi saya tak percaya,” katanya.

Hanif juga menafikan dakwaan bahawa penglibatannya sebagai peguam kepada Allahyarham Khalid Jafri, penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, menjadikan beliau ejen politik UMNO atau mana-mana tokoh tertentu. Tegasnya, beliau sekadar menjalankan tanggungjawab profesional sebagai peguam.

Dalam konteks politik semasa, Hanif mengakui beliau pernah memainkan peranan penting menjelang PRU14 dalam menentukan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, dengan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tempoh peralihan demi kestabilan negara — satu keputusan yang sekali lagi menghalang Anwar Ibrahim daripada memegang jawatan tersebut pada waktu itu.

Namun, Hanif menegaskan bahawa penolakannya terhadap Anwar Ibrahim tidak pernah berkait dengan isu peribadi.

“Itu antara dia dengan Allah SWT. Bukan urusan saya,” katanya.

Sebaliknya, beliau mengkritik budaya politik Malaysia yang menurutnya sarat dengan penipuan, perubahan pendirian, dan manipulasi persepsi rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Walaupun tidak menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Hanif menegaskan beliau tetap bersikap adil dan profesional sebagai pengkritik.

“Perkara yang betul, saya akan puji. Perkara yang salah, kita kena berani cakap salah, walau siapa pun,” ujarnya.

Hanif menyifatkan dirinya sebagai sebahagian kecil rakyat yang tidak menyanjung pemimpin secara membuta tuli, sebaliknya memilih untuk menilai kepimpinan berdasarkan prinsip, rekod dan kesan terhadap tadbir urus negara.

#HanifKhatri #AnwarIbrahim #PolitikMalaysia #KedaulatanUndangUndang #KeluhuranPerlembagaan #IsuSemasa #BeritaAAC #AnalisisPolitik #PRU15 #RakyatBerhakTahu

KUALA LUMPUR, 31 Januari 2026 – Aktivis sosial, Zamri Vinoth, hari ini menyuarakan pandangan tegas berhubung isu kewujudan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, khususnya melibatkan kuil haram, yang menurutnya sering mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Menurut Zamri, reaksi masyarakat terhadap kuil haram dilihat jauh lebih kuat berbanding rumah ibadat lain seperti tokong atau gurdwara yang turut berdepan isu sama. Beliau berpandangan, perbezaan ini bukan semata-mata berpunca daripada faktor agama, sebaliknya dipengaruhi oleh pendekatan dan sikap pihak terlibat apabila isu tersebut dibangkitkan.

“Majoriti tokong dan gurdwara yang berdepan status haram biasanya mengambil pendekatan berunding dan bekerjasama untuk mencari penyelesaian mengikut undang-undang. Namun ada pihak tertentu yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah bertindak mengadakan perhimpunan dan mencetuskan kekecohan,” katanya.

Tambah Zamri, faktor jumlah juga tidak boleh dinafikan apabila beliau mendakwa bilangan kuil yang dibina tanpa kelulusan adalah jauh lebih tinggi berbanding rumah ibadat haram yang lain, sekali gus menyumbang kepada kemarahan rakyat.

Beliau turut menggesa pemimpin politik, khususnya dalam kalangan masyarakat India, supaya memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam mendidik komuniti masing-masing agar mematuhi undang-undang dan bertindak secara bertamadun.

“Pemimpin sepatutnya mengajar perkara yang baik, menegur kesalahan, bukan menyokong perbuatan yang jelas bercanggah dengan undang-undang. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh pemimpin masyarakat sendiri,” tegasnya.

Zamri juga menekankan bahawa penyelesaian isu rumah ibadat haram perlu dilakukan melalui saluran undang-undang, bukannya dengan mengambil atau menuntut tanah awam dan tanah milik pihak lain, yang menurutnya boleh menjejaskan keharmonian negara.

#BeritaAAC #IsuSemasa #KuilHaram #RumahIbadat #UndangUndang #KeharmonianNegara #ZamriVinoth #SuaraRakyat #MalaysiaMadani #ViralMalaysia