Day: May 11, 2026

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan longgokan sampah yang didakwanya bertimbun di kawasan Jalan Sentosa, Taman Seri Sentosa, sehingga menimbulkan bau busuk serta kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan penduduk setempat.

Beliau berkata, keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku di kawasan bandar khususnya di Wilayah Persekutuan, memandangkan rakyat membayar pelbagai bentuk cukai termasuk cukai pintu dan cukai taksiran.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan perlu lebih serius menyediakan sistem pengurusan sampah yang tersusun, termasuk lokasi pembuangan yang sesuai bagi mengelakkan sampah dibuang atau bertimbun di kawasan terbuka.

“Tengok, ini sampah. Hari-hari timbun di sini. Mesti ada satu ruang yang disediakan. Ini Taman Seri Sentosa. Sampah bertimbun macam ini,” katanya ketika meninjau kawasan berkenaan pada Isnin.

Dato’ Dr Kalaivanar turut mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672, yang sebelum ini menekankan tindakan terhadap individu yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau bersetuju sekiranya undang-undang dikenakan kepada orang awam yang membuang sampah merata-rata, namun penguatkuasaan juga perlu dilihat adil dan menyeluruh, termasuk terhadap pihak berkuasa serta wakil rakyat yang gagal memastikan kawasan mereka bersih.

“Kalau rakyat buang sampah kena denda, tetapi kalau kawasan sampah bertimbun macam ini, siapa yang bertanggungjawab? Kena ada undang-undang untuk semua,” tegasnya.

Beliau turut menggesa pemimpin dan wakil rakyat turun padang melihat sendiri keadaan di kawasan terbabit, bukannya hanya memberi nasihat kepada rakyat tanpa menyelesaikan masalah asas yang dihadapi penduduk.

Menurut beliau, isu sampah bukan sekadar soal pemandangan kotor, tetapi boleh mengundang risiko kehadiran tikus, serangga, gagak dan haiwan liar, selain menjejaskan keselesaan penduduk berhampiran.

“Ini sudah jadi tempat ular, serangga, tikus dan gagak. Bau pun kuat, sedangkan kawasan ini ada rumah penduduk,” katanya.

Dalam masa sama, Dato’ Dr Kalaivanar menyeru masyarakat supaya menilai wakil rakyat berdasarkan prestasi kerja dan kesungguhan turun padang, bukan semata-mata melihat kepada logo parti ketika pilihan raya.

Katanya, rakyat perlu memilih pemimpin yang benar-benar bekerja, prihatin terhadap masalah setempat dan sanggup turun menyelesaikan isu rakyat di lapangan.

“Lain kali pilih orang yang turun padang kerja. Jangan tengok parti sahaja. Siapa turun padang, pilih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di kawasan berkenaan pada 11 Mei 2026 kira-kira jam 5.40 petang, sambil menyifatkan keadaan itu sebagai mengecewakan dan perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkaitan.

#BeritaAAC #SampahBertimbun #TamanSeriSentosa #TurunPadang #SuaraRakyat

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2026 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail menyifatkan penganjuran Musyawarrah Nasional sebagai satu manifestasi jelas ke arah penyatuan bangsa Melayu dalam memperjuangkan isu serta nasib orang Melayu, khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata, program berkenaan yang berlangsung dengan lancar membuktikan wujudnya kesungguhan pelbagai pihak untuk mengangkat agenda Melayu secara lebih tersusun dan menyeluruh.

“Alhamdulillah, Musyawarrah Nasional berjalan dengan lancar. Ini adalah satu manifestasi yang jelas untuk bangsa Melayu bersatu bagi memperjuangkan isu dan nasib orang Melayu, terutama dalam pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Menurut Syed Rosli, usaha tersebut merupakan satu langkah yang baik dan perlu diberikan sokongan penuh oleh masyarakat Melayu bagi memastikan agenda yang dibawa tidak hanya berhenti sebagai wacana, tetapi dapat diteruskan dalam bentuk tindakan.

Beliau turut merujuk kepada ucapan penggulungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa Musyawarrah Nasional akan didaftarkan di bawah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO.

Katanya, penjelasan itu penting kerana ia menunjukkan bahawa perjuangan Musyawarrah Nasional tidak diletakkan di bawah mana-mana parti politik, individu atau kepentingan tertentu.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Musyawarrah Nasional ini akan didaftarkan di bawah NGO dan bukan di bawah mana-mana parti politik ataupun individu. Jadi ini jelas, ia adalah perjuangan untuk orang Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Rosli berharap seluruh masyarakat Melayu dapat memberikan sokongan penuh terhadap agenda Musyawarrah Nasional demi memperkukuh kedudukan bangsa dalam bidang utama yang memberi kesan langsung kepada masa depan generasi akan datang.

Beliau menegaskan bahawa penyatuan Melayu perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama, khususnya dalam memastikan isu pendidikan, ekonomi dan kebajikan bangsa terus diberi perhatian secara serius.

#BeritaAAC #MusyawarrahNasional #PenyatuanMelayu #AgendaMelayu #PendidikanDanEkonomi

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2026 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan agenda Bumiputera dan Islam tidak wajar dilihat sebagai agenda terasing, sebaliknya merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta asas kontrak sosial yang perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar secara tersusun dan berkesan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dapatan serta resolusi daripada Musyawarrah Nasional perlu diteruskan bukan hanya sebagai rumusan, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan melalui kementerian, jabatan, agensi, GLC, GLIC dan organisasi berkaitan.

“Saya akan mengambil tanggungjawab bukan hanya membawa semua resolusi dan pandangan ini ke Kabinet, tetapi saya tentunya akan mengkoordinasikan dengan kementerian, jabatan, agensi, badan-badan GLC dan GLIC serta organisasi tertentu untuk pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil pembentangan Musyawarrah Nasional yang disifatkannya sebagai berani, berfakta dan mempunyai pendekatan luar biasa dalam membincangkan hala tuju agenda Bumiputera serta Islam.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Musyawarrah Nasional, Tan Sri Ghani Othman serta pengerusi-pengerusi teras yang telah membentangkan pandangan dan cadangan masing-masing berdasarkan fakta.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perbincangan tersebut tidak menyanggah mana-mana agama atau kaum, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh agenda nasional berasaskan kedudukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Tidak ada satu patah pun daripada pengerusi teras yang menyanggah mana-mana agama ataupun menyanggah mana-mana kaum. Kita bercakap tentang diri kita, tentang apa yang kita rasakan untuk menerjemahkan agenda nasional,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya setiap pengerusi teras mengadakan pembentangan lebih terperinci setiap dua bulan bagi memastikan semua cadangan dapat diperhalusi dan difahami sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata, sasaran penyelesaian bagi teras-teras berkenaan dijangka dapat dicapai menjelang pertengahan tahun hadapan, dengan pemantauan pelaksanaan dibuat melalui semua saluran kerajaan bagi menilai prestasi setiap saranan Musyawarrah Nasional.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa pindaan dan pembaharuan Akta MARA akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi, selepas Perdana Menteri mengarahkan MARA mempersiapkan pindaan akta tersebut dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, beliau telah mempengerusikan dua mesyuarat bersama ahli-ahli majlis, pegawai kanan dan panel peguam bagi meneliti perincian pindaan berkenaan.

Menurut beliau, pindaan itu penting bagi memastikan MARA kekal berada di landasan asal penubuhannya, yang bermula daripada RIDA dan berakar daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965.

“Akta ini dibuat supaya kita kembali kepada landasan asal dan supaya tata kelola pengurusan MARA ini tidak lagi berubah apabila Ketua Pengarah bertukar, Pengerusi MARA bertukar, Menteri yang menjaga MARA bertukar, apatah lagi jika kerajaan bertukar.

“Akta itu tetap digunakan bukan hanya sebagai panduan, tetapi mesti dan wajib diikuti,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan sebarang tafsiran negatif atau berbeza-beza terhadap hala tuju MARA, selain memastikan institusi tersebut terus memainkan peranan utama dalam memperkukuh pembangunan Bumiputera.

#BeritaAAC #AgendaBumiputera #AhmadZahidHamidi #MusyawarrahNasional #MARA